OPR dijangka kekal 3.0 sepanjang 2025

OPR dijangka kekal 3.0 sepanjang 2025

PENGEKALAN OPR pada 3.0 peratus akan menyokong permintaan domestik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kadar Dasar Semalam (OPR) dijangka kekal pada 3.0 peratus tahun ini bagi menyokong permintaan domestik, menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB). 

Bank pelaburan berkata, pihaknya meramalkan sedikit pelonggaran dalam pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun ini iaitu jangkaan pada pertumbuhan 4.9 peratus pada 2025, anggaran awal 2024 pada 5.1 peratus di tengah cabaran luar dari dasar Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan sokongan domestik daripada perbelanjaan pengguna yang lebih kukuh serta kitaran pelaburan yang berterusan.

“Kami mengekalkan pandangan bahawa OPR akan kekal pada 3.0 peratus tahun ini bagi menyokong pertumbuhan domestik, di tengah cabaran luar yang disebabkan oleh ketidakpastian mengenai langkah-langkah dasar Trump dan risiko kenaikan dan walaupun boleh dikawal serta inflasi domestik,” katanya dalam nota penyelidikan. 

Maybank IB berkata, walaupun pihaknya menjangkakan kadar inflasi yang lebih tinggi tahun ini (unjuran 2025 3.0 peratus,  2024: +1.8 peratus) ini terutama disebabkan oleh faktor ‘cost-push’, mencerminkan pembaharuan struktur dan fiskal yang amat diperlukan serta penyesuaian yang sudah lama tertangguh seperti kos buruh yang lebih tinggi daripada kenaikan gaji minimum dan levi pelbagai peringkat bagi pekerja asing serta sumbangan mandatori Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). 

“Selain itu, faktor lain termasuk rasionalisasi subsidi petrol RON95 yang disasarkan, peningkatan cukai kerajaan tempatan dan semakan kadar asas elektrik Tenaga Nasional  Bhd. (TNB) yang berpotensi pada Julai 2025,” katanya. 

Mengenai inflasi, selepas kadar inflasi +1.8 peratus pada 2024, Bank Negara Malaysia (BNM) menjangkakan inflasi yang ‘boleh dikawal’ pada 2025 dengan keadaan kos global yang semakin reda serta harga komoditi global yang dijangka menurun dan ketiadaan tekanan permintaan yang berlebihan.

“Pandangan BNM adalah bahawa faktor-faktor ini akan membantu mengekang impak daripada pembaharuan dasar domestik yang baru diumumkan, terutamanya yang berkaitan dengan pasaran buruh dan dasar fiskal. 

“Untuk makluman, unjuran kadar inflasi rasmi untuk 2025 adalah dalam julat yang luas antara +2.0 peratus dan +3.5 peratus,” katanya.

Turut berpandangan yang sama, CIMB Treasury and Market Research menjangkakan OPR akan kekal pada 3.00 peratus sepanjang tahun ini. 

“Memandangkan prospek pertumbuhan yang terus positif dan inflasi yang kekal dalam julat sasaran rasmi antara 2.0 hingga 3.5 peratus pada 2025. 

“Ini berbeza dengan Thailand dan Indonesia, di mana kebimbangan terhadap permintaan domestik mendorong pengurangan kadar dasar yang mengejutkan, dengan prospek kelonggaran dasar monetari lebih lanjut di masa depan,” katanya. 

Selain itu, secara domestik, pertumbuhan ekonomi Malaysia yang diunjur sebanyak 5.1 peratus pada unjuran 2024 dianggap berada dalam jangkaan sasaran rasmi, 4.8 hingga 5.3 peratus. 

“Momentum ini dijangka akan berterusan pada 2025, didorong oleh pemangkin-pemangkin yang menyokong perbelanjaan pengguna, pelaburan, dan eksport pada 2024, serta langkah-langkah dasar seperti kenaikan gaji minimum dan pelarasan gaji penjawat awam.

“Penilaian terhadap risiko pertumbuhan kekal utuh, dengan risiko kenaikan (impak positif daripada kitaran teknologi, aktiviti pelancongan yang lebih kukuh dan pelaksanaan projek pelaburan yang lebih pantas) terus mengatasi risiko penurunan (perlambatan pertumbuhan di negara rakan dagang utama dan pengeluaran komoditi yang lebih lemah daripada yang dijangkakan),” katanya. 

Pada 22 Januari lalu, BNM mengekalkan OPR pada 3.00 peratus untuk mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) yang ke-10 di tengah momentum pertumbuhan yang berterusan, inflasi domestik yang sederhana dan ringgit yang agak stabil berbanding dolar AS.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN