PETALING JAYA: Malaysia merupakan penerima aliran masuk ekuiti asing bersih kedua tertinggi di rantau ASEAN sepanjang 2024 setakat ini (YTD), menurut AmInvestment Bank Research.
Firma penyelidikan itu berkata, aliran masuk ekuiti asing bersih YTD Malaysia sebanyak RM3.1 bilion adalah yang kedua tertinggi di rantau ASEAN.
Katanya, tertinggi adalah Indonesia dengan menerima aliran masuk ekuiti asing bersih sebanyak RM7.1 bilion
“Rantau Asia Tenggara yang lain mengalami aliran keluar bersih termasuk Thailand (-RM16 bilion), Vietnam (-RM10 bilion) dan Filipina (- RM1.6 bilion).
“Pada Ogos 2024, Indonesia memimpin rantau ini dengan aliran masuk asing bersih sebanyak RM8.1 bilion, diikuti oleh India (RM5 bilion) dan Malaysia (RM2.5 bilion),” katanya dalam satu nota penyelidikan.
AmInvestment berkata, pembelian bersih ekuiti oleh pelabur asing melonjak sebanyak 92 peratus kepada RM2.5 bilion pada Ogos 2024 berbanding RM1.3 bilion pada bulan sebelumnya.
“Dengan ringgit menguat sebanyak 6.2 peratus pada Ogos 2024, indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turut naik sebanyak 3.3 peratus seiring dengan pembelian saham asing.
“Institusi tempatan merupakan penjual bersih sebanyak RM874 juta pada Ogos 2024 dengan sebahagian besar pembelian asing adalah dalam sektor perbankan sebanyak 82 peratus, diikuti utiliti (tujuh peratus) dan telekomunikasi (lima peratus) dengan baki dalam sektor pembinaan, perladangan, dan penjagaan kesihatan.
“Pada bulan lalu, pelabur asing membeli saham-saham dalam Public Bank, DIMB, Maybank, Hong Leong Bank, RHB Bank, AmBank, Alliance Bank, Tenaga, TM, Celcom Digi, Maxis, IHH Healthcare dan Sime Darby Guthrie.
“Bagaimanapun, mereka merupakan penjual bersih bagi YTL Power International, YTL Corp, MISC, Sime Darby, MyEg, Sime Darby Property dan S P Setia,” jelasnya.
Selain itu, AmInvestment berkata, dengan sokongan daripada aktiviti pembelian oleh institusi asing sebanyak RM3.1 bilion YTD yang diperkukuhkan oleh pembelian institusi tempatan sebanyak RM2.8 bilion, FBM KLCI mencatatkan kenaikan sebanyak 15 peratus setanding dengan prestasi pasaran ekuiti Jepun.
“Ini melebihi prestasi Filipina (naik tujuh peratus), Indonesia (naik enam peratus), dan Thailand (turun empat peratus).
“Satu-satunya negara ASEAN yang hampir menyamai kenaikan indeks YTD Malaysia adalah Vietnam (+13.6 peratus),” katanya. – UTUSAN










