SHAH ALAM: Maggi Malaysia kekal sebagai peneraju jenama mi segera di negara ini, walaupun berdepan dengan persaingan daripada kepelbagaian jenama mi segera di pasaran.
Pegawai Eksekutif Perniagaan Maggi Malaysia dan Singapura, Ivy Tan Link Cheh berkata, pihaknya mengakui terdapat banyak persaingan dalam pasaran.
“Ini kerana orang ramai suka pada pilihan. Tapi sehingga kini, Maggi masih lagi menjadi peneraju (mi segera) dalam pasaran di Malaysia,” katanya Program Lawatan Media ke Kilang Nestle (Maggi) Batu Tiga di sini, baru-baru ini.
Sementara itu, Ivy berkata, syarikat sentiasa mengutamakan rakyat tempatan untuk mengisi peluang pekerjaan di setiap kilangnya dalam memastikan kualiti semua produknya terjaga.
Katanya, 100 peratus daripada kira-kira 1,000 pekerjanya di kilang Batu Tiga adalah terdiri daripada warga tempatan.
“Pekerja kilang di sini terdiri daripada operator, juruteknik, pemandu forklift dan pasukan jaminan kualiti.
“Tidak banyak tempat yang boleh mengatakan bahawa kilang mereka mempunyai 100 peratus pekerja warga tempatan,” ujarnya.
Beliau berkata, kilang di Batu Tiga yang dibangunkan pada 1971 menjadi tonggak utama pengeluaran mi segera Maggi dalam negara yang mematuhi piawaian kawalan kualiti dan standard halal tertinggi oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
“Kilang ini direka dengan mengambil kira kelestarian dan keselamatan, menggunakan teknologi terkini dan automasi untuk mengoptimumkan penggunaan sumber dan mengurangkan jejak alam sekitar kilang.
“Ia fasiliti pengeluaran milik Nestle yang terbesar di Asia Tenggara dan produk Maggi yang dihasilkan di kilang ini turut dieksport ke lebih 20 negara di seluruh dunia termasuk di Asia Tenggara, Australia, United Kingdom dan Korea Selatan,” katanya.
Menurutnya, kilang itu telah diperluas dan dilengkapi dengan keupayaan pengeluaran yang dipertingkatkan bagi memenuhi cita rasa rakyat Malaysia terhadap mi segera, perisa dan produk yang lain.
“Pihak kami membangunkan sendiri sistem pembuatan digital (DMO) untuk mengendalikan Loji Kuliner yang mempunyai sejumlah besar bahan dan resipi,” katanya. – UTUSAN










