Lubang benam: Harga hartanah di Kuala Lumpur dijangka susut - Utusan Malaysia

Lubang benam: Harga hartanah di Kuala Lumpur dijangka susut

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEJADIAN seorang wanita warganegara India terjatuh ke dalam lubang benam (sinkhole) di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur pada 23 Ogos lalu amat mengejutkan semua pihak dan menarik perhatian masyarakat di seluruh negara.

Lebih menyedihkan, sehingga kini, tiada sebarang penemuan wanita itu susulan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) terpaksa menghentikan kaedah penyelaman dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Jalan Masjid India kerana terlalu berisiko.

Rentetan daripada kejadian tersebut, mula timbul pelbagai spekulasi mengenai keadaan hartanah di negara ini.

Daripada prospek ekonomi, insiden lubang benam berkemungkinan mendorong pembeli lebih berhati-hati dan kurang berminat dengan hartanah di kawasan yang kini dianggap berisiko tinggi.

Malah, terdapat beberapa laporan mendakwa Kuala Lumpur terletak di bumbung gua batu kapur dan risiko kejadian lubang benam boleh berlaku bila-bila masa.

Ada juga pihak yang mendakwa pembangunan tanpa henti, sistem saliran tidak teratur, mendapan tanah atau pasir jerlus dan bebanan melampau akibat kepadatan penduduk menjadi penyumbang kepada bencana berkenaan.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berpendapat, kesan lubang benam sememangnya signifikan kepada harga hartanah terutamanya kawasan perumahan.

Ujarnya, dalam masa jangka pendek, pasti harga hartanah di kawasan Masjid India turun mendadak termasuk harga sewa hartanah di kawasan berdekatan.

“Selain itu, saya tidak mempunyai data tertentu, cuma saya boleh katakan dalam tempoh terdekat satu ke tiga tahun, harga hartanah di Kuala Lumpur akan menurun.

“Saya tidak mahu meletakkan berapa rosot nilai tersebut namun mungkin tidak seteruk yang pernah berlaku di Florida, Amerika Syarikat (AS) apabila nilai hartanah di sana menjunam antara 40 ke 50 peratus selepas berlaku kejadian lubang benam yang teruk.

“Bagaimanapun, dalam jangka masa sederhana, ia akan kembali semula pada harga semasa, itupun jika tiada peristiwa yang sama berulang semula dalam tempoh lima tahun lagi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Menurut beliau, hartanah yang dibina di atas kawasan terdedah dengan bencana lubang benam sudah tentu mewujudkan persepsi negatif seterusnya mendatangkan masalah untuk urusan penjualan kelak.

“Bukan sahaja syarikat insuran mula mengambil kira kejadian tersebut dengan meningkatkan premium, tetapi ia boleh membawa kepada kos pembaikan yang besar jika berlaku atau di sekitar hartanah anda.

“Ramai juruukur memeriksa kestabilan tanah untuk rumah terutamanya jika ia berada di kawasan yang berpotensi banjir dan ini sudah tentu boleh memberi kesan negatif ke atas nilai hartanah,” katanya.

Jelas beliau, tidak kira di kawasan bandar atau pinggir bandar, lubang benam adalah berbahaya kerana ia boleh memusnahkan lebuh raya dan bangunan.

“Lubang benam juga boleh menyebabkan masalah kualiti air. Semasa runtuhan, air permukaan mungkin bocor ke dalam akuifer (badan batuan berliang atau sedimen yang tepu dengan air bawah tanah) sumber air minuman bawah tanah kita.

“Air bawah tanah memasuki akuifer apabila kerpasan meresap melalui tanah. Lubang benam boleh menyebabkan kerosakan struktur dan ketidakstabilan di bawah bangunan, jalan raya dan jambatan.

“Untuk membaiki (lubang benam) tersebut selepas runtuh adalah mahal dan memerlukan pengetahuan khusus. Punca dasar lubang benam mesti ditangani terlebih dahulu, atau pembaikan mungkin hanya sementara,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr. Wong Woei Chyuan pula menjangkakan insiden ini tidak akan membawa impak yang signifikan kepada pasaran hartanah di kawasan sekitar kerana kejadian seumpamanya jarang berlaku di negara ini.

“Susut nilai mungkin akan berlaku jika kerajaan dapat mengenal pasti punca lubang benam umpamanya selepas melakukan pemetaan bawah permukaan menggunakan kaedah geofizik.

“Kejadian yang berlaku di Masjid India adalah insiden terpencil dan tidak mencerminkan kualiti pembinaan kita yang rendah.

“Dari segi peratusan penurunan, satu kajian berkenaan dengan kejadian banjir di Malaysia menunjukkan bahawa nilai pasaran hartanah kediaman bandar dan luar bandar menurun dengan ketara sebanyak 18.5 peratus dan 13.6 peratus, jadi susut nilai untuk lubang benam mungkin di dalam lingkungan yang sama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×