Skim sewa-beli beri lebih masa pembeli buat keputusan - Utusan Malaysia

Skim sewa-beli beri lebih masa pembeli buat keputusan

SKIM sewa-beli memberikan lebih masa kepada bakal pembeli untuk menilai sama ada mereka mahu tetap tinggal di rumah yang disewa itu atau sebaliknya. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM era ekonomi yang mencabar, ramai bakal pembeli rumah pertama merasakan pelaksanaan skim sewa-beli seperti skim Maybank Islamic HouzKEY sebagai satu cara terbaik untuk mereka memiliki rumah pertama.

Skim itu menjadi titik tolak signifikan bagi mereka yang ingin memiliki rumah tetapi menghadapi cabaran kewangan yang besar terutamanya, bagi golongan beli yang masih belum memiliki rumah sendiri.

Konsep skim rumah sewa-beli atau skim pemilikan rumah bersewa adalah satu bentuk pembiayaan perumahan yang memberi peluang kepada individu untuk menyewa rumah untuk jangka masa tertentu dengan opsyen untuk membelinya pada akhir tempoh sewa.

Eksekutif kanan perhubungan awam, Syafiq Shafiee, 31, berkata, skim HouzKEY merupakan satu skim yang boleh membantu dan menarik minat orang ramai untuk membeli rumah pertama mereka memandangkan rumah merupakan aset yang penting.

“Skim ini biasanya membantu golongan belia seperti saya yang baharu bekerja dan ingin memiliki rumah tetapi menghadapi cabaran kewangan yang besar untuk membayar deposit rumah secara langsung,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini.

Jelas Syafiq, skim itu memberikan fleksibiliti kepada pembeli dan dapat menetap dalam rumah yang diidamkan sambil memiliki masa untuk mengumpul dana untuk membelinya.

“Skim ini turut memberikan peluang kepada saya menilai keadaan pasaran hartanah serta memastikan saya membuat keputusan pembelian yang bijak tanpa perlu tergesa-gesa,” katanya.

Fareesya Nadyana Minhad

Bagi cikgu kelas membaca, Fareesya Nadyana Minhad, 25, dengan skim sewa-beli seperti HouzKEY, pembeli dapat menyewa rumah untuk tempoh tertentu dengan pilihan untuk membelinya pada akhir tempoh sewa.

“Ini memberi saya cukup ruang dan peluang untuk membeli rumah tanpa mengeluarkan komitmen kewangan yang besar pada awalnya, sekali gus dapat mengurangkan tekanan kewangan saya dalam jangka pendek.

“Ia berbaloi berbanding perlu menyewa rumah atau bilik yang harganya lebih kurang dengan membeli rumah melalui skim itu. Dalam tempoh menyewa, sekiranya saya rasa selesa dengan rumah dan persekitaran, saya boleh teruskan dengan membeli rumah berkenaan dan tidak lagi menyewa.

“Jadi, ini merupakan satu langkah bijak dalam membuat pelaburan memiliki aset rumah sendiri, namun kita haruslah sedar dengan kemampuan diri sendiri ketika melakukannya,” katanya.

Dalam pada itu, pembantu veterinar, Afkar Hamizan, 27 berkata, skim sewa-beli itu memberikannya satu kelegaan dalam mendapatkan sebuah rumah sendiri dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu.

Afkar Hamizan

“Saya akui memiliki rumah amat penting, namun dengan harga rumah yang mahal sekarang ini tidak memungkinkannya, namun skim HouzKEY antara jalan penyelesaian kepada masalah itu,

“Secara tidak langsung juga ia membolehkan saya mengekalkan keseimbangan kewangan yang sihat dan merancang kewangan untuk masa hadapan, terutama untuk jangka masa panjang,” katanya.

Beliau berkata, skim itu mempunyai kelebihan untuk membelinya selepas menyewa dan ia memberikan ketenangan fikiran kepada pembeli.

“Walaupun ketika itu saya masih dalam proses menyewa rumah, tetapi kebolehan untuk membelinya pada masa akan datang memberikan ketenangan fikiran kerana saya mempunyai pilihan untuk membeli rumah pada akhir tempoh sewa,” katanya.

Katanya, bagaimanapun, amat penting untuk memahami sepenuhnya semua terma dan syarat yang terlibat sebelum membuat keputusan mengambil skim itu.

“Kita perlu mendapatkan nasihat daripada pakar perumahan atau perunding kewangan supaya boleh membantu kita membuat keputusan yang bijak berkenaan dengan pemilikan rumah,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN