PETALING JAYA: PAWADA di bawah syarikat Pawa Canning Corporation (Malaysia) Sdn. Bhd. terus mengukuh selama 25 tahun bersama sijil halal yang diperolehnya sejak 1999.
Pengarah Pawa Canning Corporation (Malaysia) Sdn. Bhd., Azaliza Safarida Wasli, 42 berkata, Perniagaan PAWADA bermula dari tahun 1987 oleh Tuan Haji Wasli secara perusahaan kotej.
“Idea untuk melibatkan diri dalam penghasilan produk makanan halal tercetus apabila melihat peluang dan permintaan untuk produk halal.
“Pada masa itu kurangnya pengusaha produk makanan halal,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini.
Beliau berkata, Pawa kini mempunyai mempunyai dua kilang pembuatan makanan di Kuching, Sarawak dan di Batu Caves, Kuala Lumpur.
“Kami menghasilkan lebih dari 50 jenis produk, antaranya sos cili, sos tomato, sos lada hitam, sos bbq, daging lembu asap (corned beef) dan ayam asap (corned chicken),” ujarnya.
Azaliza berkata, sijil halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) amat penting untuk memasarkan produk-produknya ke pasaran Malaysia.
“DI pasaran ada hampir 20 produk dipasarkan di seluruh pasaraya di Malaysia, seperti di Giant, Lotuss, AEON, MYDIN, HERO, ST Rosyam dan turut memasarkan produk secara dalam talian iaitu di Shoppee, LAZADA, TIKTOK dan Grab,” katanya.
Tambahnya, mereka ingin membesarkan pasaran tempatannya terlebih dahulu, walaupun berada di kebanyakkan pasaran utama di Malaysia supaya lebih ramai boleh memiliki produknya.
“Disamping itu, kami akan meneruskan lagi usaha untuk mendapatkan pasaran antarabangsa yang baru,” katanya.
Beliau berkata, sijil halal memberikan satu keyakinan kepada pengguna kerana mempunyai proses audit yang dijalankan oleh Jakim.
“Bahkan pengguna bukan Islam akan melebihkan pembelian produk yang diiktiraf halal disebabkan oleh kualiti audit dan kebersihan premis.
“Pengguna tidak kenal kepada pengeluar produk tetapi pengguna akan menggunakan produk kami kerana yakin adanya logo halal Jakim,” katanya. – UTUSAN










