PETALING JAYA: Dietmonsta Sdn. Bhd. (Dietmonsta) dengan usaha sama pengusaha gim di sekitar Lembah Klang, kini menawarkan konsep pilihan makanan sihat yang lebih fleksibel dalam perkhidmatan berkonsepkan ‘Pilih & Padan’.
Perkhidmatan Pilih & Padan itu telah dilancarkan di RevoGym Setapak, Pump Fitness Cheras, Evolveflex Fitness Petaling Jaya dan Fitokio Bangsar pada akhir tahun 2023 lalu.
Pengarah Dietmonsta, Chai Kah Fei berkata, kerjasama Dietmonsta bersama para pengusaha gim itu bertujuan menyediakan makanan sihat sejuk beku di premis mereka.
“Pek makanan Dietmonsta ini mesra muslim dan mudah untuk dipanaskan (disediakan) di mana-mana, di samping memberi banyak pilihan menu kepada pelanggan kami”, ujarnya kepada Utusan Malaysia.
Jelas Kah Fei, para pengguna gim tersebut boleh mendapatkan nutrien dari makanan dengan mudah dan cepat bagi melengkapkan rutin kecergasan fizikal mereka.
“Konsep Mix N Match (Pilih & Padan) Dietmonsta memberi kebebasan kepada pelanggan untuk memilih protein atau karbohidrat mengikut keperluan pada hari tersebut.
“Mereka boleh memilih pelbagai jenis protein seperti ayam, ikan atau daging dan dinikmati bersama nasi basmathi, beras perang atau pasta sebagai komponen karbohidrat sebelum dan selepas bersenam,” katanya.
Beliau menambah, Dietmonsta turut menyediakan pelbagai kemudahan, termasuk peti sejuk beku (display chiller) sebagai inisiatif menyokong kolaborasi ini, selain dari insentif tambahan kepada pengusaha gim.
Katanya, konsep itu diterima baik bukan sahaja dari pusat gim di kawasan Lembah Klang, malah dari Pulau Pinang dan Johor.
“Kami juga bersedia menerima sebarang usaha sama dari pengusaha gim atau pihak-pihak lain yang berminat untuk memberi tambah nilai kepada pelanggan mereka,” katanya.
Dietmonsta menyediakan perkhidmatan penghantaran makanan sihat ke Semenanjung Malaysia menerusi www.dietmonsta.com.










