Ringgit dijangka diniagakan sekitar RM4.67 ke RM4.69 minggu ini - Utusan Malaysia

Ringgit dijangka diniagakan sekitar RM4.67 ke RM4.69 minggu ini

ringgit
GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pakar ekonomi menjangkakan ringgit diniagakan sekitar RM4.67 ke RM4.69 minggu ini.

Ringgit dijangka diniagakan kukuh berikutan pihak Rizab Persekutuan (Fed) dilihat masih lagi menyatakan komitmen untuk menurunkan kadar faedah pada tempoh yang sesuai.

Ketua Ekonomi dan Analisis Pasaran dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, ini berdasarkan kenyataan pengerusi Rizab Persekutuan AS Jerome Powell pada Kongres pada minggu ini.

Selain itu, Mesyuarat Jawatankuasa Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) pada minggu lalu juga telah memberikan penilaian positif terhadap prospek ekonomi negara yang bakal dipacu oleh permintaan luaran dan domestik.

“Pihak BNM juga mengekalkan pendirian bahawa nilai ringgit masih lagi kurang daripada nilai saksama atau undervalued.

“Perkara menggambarkan bahawa prospek nilai untuk mengukuh masih jelas. Justeru, ringgit dijangka diniagakan sekitar RM4.67 ke RM4.69,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Mohd. Afzanizam berkata, Bursa juga dijangka bergerak positif hasil daripada komen daripada pengerusi rizab persekutuan AS yang masih menyatakan kemungkinan pemotongan kadar faedah bakal berlaku pada tahun ini.

“FBMKLCI dijangka berlegar sekitar 1535 ke 1545 pada mggu hadapan,” katanya.

Pensyarah Kanan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains İslam Malaysia (USIM), Dr. Mohd. Faisol Ibrahim berpendapat, beliau menjangkakan unjuran ringgit pada kadar RM4.68 hingga 4.69.

“Saya menjangkakan ringgit akan terus menunjukkan peningkatan dan pengukuhan berbanding USD dengan mengambil kira pengumuman OPR baru-baru ini dan andaian kadar faedah US yang mungkin dikurangkan oleh bank pusat AS,” katanya.

“Ini sekali gus akan memberi suntikan positif kepada bursa tempatan untuk memberi nilai dagangan yang positif dimana indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI dijangkakan mengalami peningkatan pada minggu hadapan,” katanya.

Menurut beliau, dijangkakan kaunter-kaunter untung akan mengatasi kaunter-kaunter rugi susulan keyakinan pelabur kembali positif terhadap pasaran ekonomi di Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN