PETALING JAYA: Ringgit dijangka lebih kukuh menjelang hujung tahun ini berbanding dolar Amerika Syarikat (dolar AS) kerana Malaysia sedang beralih kebergantungan daripada dolar AS kepada mata wang Yuan China.
Dolar AS juga diramal terus merosot apabila kebanyakan negara seperti India dan Brazil mula beralih kepada mata wang alternatif BRICS dan sentimen ‘benci’ sokongan AS ke atas penduduk Palestin.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penganalisis Ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, trend nilai ringgit yang tidak menentu akan berakhir apabila AS$ mengalami kejatuhan.
“Kadar pertukaran ringgit dengan dolar AS yang lemah ini merupakan indikator jangka pendek kerana kadar pertukaran tersebut akan terus turun naik setiap hari disebabkan pelbagai perkara iaitu antaranya perbezaan Kadar Dasar Semalam (OPR) di mana Malaysia tiga peratus manakala AS 5.5 peratus. Perbezaan sebanyak 2.5 peratus itu adalah satu perbezaan besar dalam sektor kewangan.
“Namun, saya melihat ia sebagai jangka pendek. Saya dan beberapa pakar lain menjangkakan dolar AS akan menjadi semakin lemah, ringgit pula akan semakin kukuh. Dianggarkan akan mengukuh hujung tahun ini dalam lingkungan 4.4 atau 4.5 ringgit bagi setiap 1 dolar AS.
“Ia juga disebabkan pengukuhan Yuan. Rakan dagang besar Malaysia yang utama sebenarnya adalah China dan diikuti dengan Singapura, AS pula negara ketiga. Kita berdagang dengan China lebih 40 peratus sekarang serta hari ini sudah mula berdagang menggunakan Yuan,” katanya ketika dihubungi.
RINGGIT
Terdahulu, media melaporkan, ringgit mengukuh berbanding dolar AS pada sesi awal urusniaga pada Rabu selepas permintaan terhadap mata wang negara maju itu susut susulan pengumuman data ekonomi AS.
Perkembangan itu menyaksikan data Indeks Harga Pengguna (IHP) AS susut daripada jangkaan ramai kepada 3.2 peratus pada Oktober berbanding 3.3 peratus yang dijangkakan.
Mengulas lanjut, Dr. Barjoyai berkata, apabila dolar AS jatuh dan Malaysia berdagang menggunakan mata wang tersebut ia akan membawa keuntungan kepada negara.
Beliau berkata, kerajaan juga perlu mengurangkan jumlah import negara iaitu kini lebih 80 peratus bagi memastikan pengukuhan ringgit dapat direalisasikan.
“Negara eksport lebih 80 peratus barangan keluaran tetapi kita juga import lebih 80 peratus barangan keperluan kita. Jadi aktiviti import tu perlu lebih dikawal, cari strategi pergantian barangan import untuk mengurangkan ia.
“Iaitu antaranya mengukuhkan sekuriti makanan kita, sebab ia akan menunjukkan kesan serta merta. Misalnya, hari ini kita tanam sayur selepas 30 hari kita sudah boleh mendapatkan hasil,” jelasnya.
Pensyarah kanan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM), Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, dolar AS kini berada di ambang kejatuhanyang mana akan memberi impak positif kepada ringgit.
“Selain disebabkan BRICS iaitu mata wang alternatif yang sudah mencorak langkah, kejatuhan dolar AS juga disebabkan perang di Timur Tengah yang mana AS menyokong segala tindakan yang Israel lakukan ke atas Palestin.
“
Perkara ini ditentang umat Islam seluruh dunia sehinggakan hampir semua barangan keluaran AS diboikot. Jadi jika krisis antara Palestin dan Israel berpanjangan hingga hujung tahun ini, AS akan menghadapi kesukaran mengekalkan nilai mata wang mereka tetapi secara tidak langsung ia memberi kelebihan kepada ringgit,” katanya.- UTUSAN










