Ringgit dijangka bergerak berhati-hati pada julat RM4.66 minggu ini - Utusan Malaysia

Ringgit dijangka bergerak berhati-hati pada julat RM4.66 minggu ini

ringgit
GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ringgit dijangka bergerak dalam julat berhati-hati antara RM4.66 ke RM4.70 berbanding dengan dolar Amerika Syarikat (AS) pada minggu ini, didorong oleh faktor luaran terutamanya pasaran AS.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, naik turun nilai mata wang negara berkait rapat dengan dengan keputusan Rizab Persekutuan (Fed) sama ada untuk meneruskan kadar faedah yang ketika ini pada 5.25 peratus ke 5.5 peratus.

“Para pengurus dana sedang memantau perkembangan penting termasuk Indeks Harga Pengeluar (IHPR) dan jualan runcit AS bagi Februari. Kenaikan positif dari data tersebut akan menyebabkan kadar inflasi kekal tinggi dan menyulitkan untuk mencapai sasaran kadar inflasinya pada dua peratus.

“İndikasi dari IHPR dan jualan runcit menunjukkan aktiviti masih lagi tinggi dan ini bakal menyukarkan Fed untuk menurunkan kadar faedahnya.

“Tambahan lagi, pasaran juga bimbang menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan (FOMC) AS pada minggu ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, penganalisis ekonomi, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, pergerakan ringgit dan pasaran saham Bursa Malaysia adalah perkara biasa dalam perniagaan dan perkara yang perlu diawasi adalah jurang kenaikan dan penurunan dalam dagangan tersebut.

“InsyaAllah, ringgit masih lagi bertahan pada masa ini (pada julat 4.6),” ujarnya.

Mengulas mengenai dagangan di pasaran saham, beliau berkata, jual beli adalah bergantung kepada jenis saham yang menjadi ‘rebutan’ atau ‘panas’ dan ia boleh mempengaruhi pelabur-pelabur tegar.

“Contohnya, jika ada isu yang berkaitan dengan syarikat tersebut, maka secara langsung memberi kesan kepada pembelian/penjualan berdasarkan harga belian atau jualan,” ujarnya.

Beliau berkata, bagi mengukuhkan ringgit dan pasaran saham, kerajaan perlu menunjukkan usaha untuk meningkat Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dari pelbagai sektor ekonomi.

Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, ringgit akan kembali mengukuh pada sehingga akhir bulan ini, kekal sekitar RM4.60.

Katanya, ini mengambil kira beberapa faktor iaitu asas ekonomi yang kekal kukuh dan juga jangkaan Fed AS akan menurunkan kadar faedah pada suku tahun kedua tahun ini

“Apabila ringgit kembali mengukuh, ini juga akan membantu meningkatkan prestasi Bursa Malaysia kerana pelabur asing akan mengambil kesempatan atas penurunan nilai dolar AS untuk ditukarkan kepada mata wang lain termasuklah dengan membeli saham tempatan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×