Pakar jangka ringgit, Bursa Malaysia lebih kukuh

Pakar jangka ringgit, Bursa Malaysia lebih kukuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pakar ekonomi menjangkakan ringgit berada pada julat RM4.50 hingga RM4.80 menjelang hujung tahun susulan campur tangan Bank Negara Malaysia (BNM).

Campur tangan Bank Pusat tersebut dilihat telah menarik minat pedagang dan meningkatkan permintaan terhadap ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan mata wang utama lain, termasuk mata wang serantau.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, hanya melalui polisi monetari BNM dilihat berupaya melaksanakan inisiatif untuk mengukuhkan ringgit, seperti kerjasama dengan syarikat milik negara seperti dengan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLC), syarikat berkaitan kerajaan (GLIC).

Katanya, ia strategi mempengaruhi syarikat multinasional di Malaysia dan organisasi berkaitan mempunyai pegangan wang asing untuk membeli ringgit Malaysia.

“Saya menjangkakan julat pada kadar RM4.70 hingga RM4.80. Ini akan menjadi penunjuk arah kepada pasaran mata wang setelah ringgit dibiarkan sepenuhnya kepada kuasa pasaran sahaja.

“Intervensi BNM juga ke dalam pasaran mata wang secara keseluruhannya memberikan kesan positif kepada nilai ringgit yang dikatakan sendiri oleh gabenor sebagai ‘undervalue’ atau di bawah nilai sebenar.

“Inilah yang dimahukan oleh pasaran mata wang yang menyokong intervensi BNM dan tindakan bersama GLC dan GLIC negara dengan ‘berkat’ dari kerajaan perpaduan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains İslam Malaysia (USIM), Dr. Mohd. Faisol Ibrahim pula berkata, campur tangan BNM secara terus ini sedikit sebanyak telah melonjakkan kembali ringgit menjadi lebih kukuh berbanding mata wang utama dunia.

Katanya, BNM telah menzahirkan untuk menjual mata wang dolar AS daripada rizab untuk menyekat kelemahan ringgit yang berlebihan.

“Saya percaya dengan tindakan ini, ia memberi satu persepsi positif kepada pelabur-pelabur tentang kesungguhan kerajaan untuk menguatkan ekonomi negara melalui pengukuhan ringgit berbanding mata wang lain.

“Justeru, ringgit dijangka akan mencecah RM4.50 hingga RM4.70 pada hujung tahun ini adalah bergantung kepada kekuatan ekonomi Malaysia dan kemasukan pelaburan asing ke Malaysia serta kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS.

“Selain itu, kenaikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) kepada 8 peratus diharap mampu menjana lebihan pendapatan kepada kerajaan dengan syarat kuasa beli rakyat yang stabil dan kukuh akan membantu menaikkan KDNK 2024 seterusnya akan mengukuhkan ringgit,” katanya.

Jelas Mohd.Faisol, selain itu pengurusan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang mantap melalui penentuan kadar faedah turut akan mempengaruhi aliran keluar dan masuk modal dalam negara sekiranya AS menurunkan kadar faedah tahun ini, akan membantu melonjakkan ringgit.

Dalam pada itu, pakar turut menjangkakan Indeks penanda aras Bursa Malaysia, FBM KLCI dalam berprestasi lebih baik sekitar 1,530 hingga 1,550 mata minggu ini.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, prestasi FBMKLCI setakat ini, agak memberangsangkan dengan peningkatan sebanyak 5.73 peratus dari awal tahun hingga kini.

“Penilaian yang rendah telah mendorong pelabur asing utk mula memasuki pasaran Malaysia dengan indeks FBMKLCI mencecah paras tertinggi 1,558.80 mata pada bulan Februari.

“Bagaimanapun, isu-isu luaran terutama jangkaan penurunan kadar faedah di Amerika Syarikat (AS) masih lagi membelenggu sentimen pasaran,” katanya.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi Putra Business School (PBS), Prof.Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff pula menjangkakan FBMKLCI sekitar 1,530 ke 1,540 mata.

“Hal ini kerana mengambil sentimen data daripada China yang masih belum menunjukkan petanda ekonomi mereka akan kembali melonjak dengan positif, tetapi kerajaan (China) sudah mula melaksanakan stimulus fiskal.

“Oleh itu, ada potensi untuk Bursa Malaysia kekal atas 1,530 ,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN