PETALING JAYA: TH Properties Sdn. Bhd. (TH Prop), melalui syarikat usahasama, 59 Inc. Sdn. Bhd. (59 Inc.), melancarkan Padang Residences yang merupakan fasa pertama Kota Semarak dan projek pembangunan bercampur bangunan tinggi sulungnya di Kuala Lumpur.
Kota Semarak mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) RM3.1 bilion dan juga merupakan projek pertama 59 Inc. bagi usaha sama 70:30 antara TH Prop dan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB).
Terletak di atas tanah prime seluas 27 ekar di Jalan Sultan Yahya Petra akan dibangunkan dalam tiga fasa, merangkumi komponen pangsapuri perkhidmatan, pejabat kedai dan pusat beli-belah.
Kota Semarak turut mempunyai jumlah 1,226 unit pangsapuri perkhidmatan di empat menara, termasuk 100 unit RUMAWIP dan 29 unit pejabat kedai serta dijangka siap pada Februari 2027.
Pembangunan itu menawarkan reka bentuk kontemporari dan terancang dengan baik bagi unit 2 hingga 4 bilik tidur, berkeluasan antara 802 kps hingga 2,400 kps dengan susun atur teliti untuk memaksimumkan akses kepada pemandangan bandar yang menakjubkan.
Ahli Lembaga TH Prop, Datuk Wan Hashimi Albakri W.A.A Jaffri berkata, pembeli akan menikmati pelbagai ciri hijau seperti stesen pengecasan kenderaan elektrik; stesen skuter; keselamatan pelbagai peringkat; sistem pengurusan sisa mesra alam; dan sistem pengumpulan air hujan.
Menurutnya, jarak dari KLCC hanya 4km dengan akses mudah ke Lebuhraya Duta Ulu-Kelang (DUKE) serta dekat dengan kemudahan seperti Taman KLCC; Kelab Golf Titiwangsa PDRM; dan Setapak Golf Range.
“Pembangunan itu akan menarik minat penduduk bandar yang sibuk; golongan muda profesional; dan keluarga kecil yang ingin mengalami gaya hidup bandar yang lebih berkualiti,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, Kota Semarak juga sesuai untuk pelaburan jangka panjang kerana kawasan yang baik dan berdekatan dengan hospital dan institusi pendidikan terkemuka seperti Hospital Kuala Lumpur; Institut Jantung Negara; dan Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur.
Beliau berkata, TH Prop menyatakan pembangunan itu adalah lonjakan kepada rancangan jangka panjang penyediaan persekitaran tinggal yang lebih mesra alam dan mampan dalam projek-projek Kumpulan.
Jelasnya, Inisiatif itu adalah sebahagian daripada usaha Kumpulan untuk mengurangkan kesan ekologi dan menyelaraskan amalan-amalan dengan Matlamat Pembangunan Mampan Kebangsaan.
Dalam pada itu, Wan Hashimi berkata, Kumpulan itu turut memikirkan cara untuk menyertakan lebih banyak ciri hijau dalam pembangunan-pembangunan mereka dan memenuhi keperluan yang semakin meningkat pada masa hadapan.
“Kehendak terhadap produk kami tetap kuat seperti yang ditunjukkan oleh penjualan produk industri dan perumahan kami di Bandar Enstek dan Warisan Puteri 2, Seremban.
“Kami berancang untuk mengekalkan momentum ini dengan produk yang lebih baik dan kami berharap dapat terus menerima sokongan yang kukuh dari pembeli dan pelabur,” ujarnya.
TH Prop adalah anak syarikat sepenuhnya Lembaga Tabung Haji dan pemain berpengalaman dalam industri itu dan aktif sejak 1980 melalui penubuhan Syarikat Pembinaan dan Perumahan Tabung Haji Sdn. Bhd.
Bandaraya terbesarnya pada masa ini ialah Bandar Enstek di Negeri Sembilan, seluas 5,119 ekar yang terletak berdekatan dengan KLIA dan KLI2.
Bandar Enstek adalah sebuah bandar yang matang dengan lebih daripada 2,842 rumah yang telah siap dan diserahkan kepada pemilik sejak pembinaannya pada tahun 1999. – UTUSAN









