PEMAJU hartanah, Matrix Concepts Holdings Bhd. menawarkan pangsapuri berkonsepkan hotel premium, Levia Residence di Pandan Perdana, Cheras.
Projek pembangunan di atas tanah seluas 1.9 hektar itu membabitkan 778 unit meliputi dua menara kediaman setinggi 36 tingkat.
Setiap menara menawarkan 389 unit dengan harga bermula RM684,000.
Ketua Pegawai Eksekutif Matrix Concepts, Chai Keng Wai, berkata bagi menara pertama yang dilancarkan pada Oktober 2023, sebanyak 75 peratus telah digunakan dan semua unit Jenis A dijual sepenuhnya, berharga daripada kira-kira RM300,000.
“Manakala, untuk Jenis B, C dan D menara pertama masih boleh didapati dengan harga bermula daripada RM684,000 dengan jangkaan kedua-dua menara itu siap pada suku ketiga 2027,” katanya.
Keng Wai berkata, menara kedua Levia Residence akan dibuka untuk jualan kemudian dengan saiz binaan unit sama dengan menara pertama, tetapi harganya akan lebih tinggi sedikit.
Jelas beliau, pembangunan itu menawarkan empat susun atur berbeza memenuhi keperluan pembeli rumah kali pertama, profesional dan keluarga pelbagai generasi.
“Levia Residence juga memberi peluang kepada pembeli merasai pengalaman mewah selain menyasarkan pilihan menarik bagi individu dengan menawarkan suasana hotel, premium dalam kediaman dengan harga bermula daripada RM684,000,” katanya.
Apabila siap, Levia Residence akan dilengkapi 25 landskap termasuk taman herba,kolam infiniti 35 meter dan jakuzi, ruang istirahat, taman permainan kanak-kanak dan gimnasium.
Di samping itu, Levia Residence menyediakan sistem keselamatan yang dipertingkatkan oleh kamera litar tertutup (CCTV) berkuasa literasi kecerdasan buatan (AI) pintar.
Termasuk juga kiosk layan diri digital, simulator golf, stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV) serta akses pengecaman muka dan iris pintar ke lobi lif ditawarkan kepada pembeli.
Selain itu, Levia Residence turut menawarkan pemandangan menarik Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC), Merdeka 118 dan Tun Razak Exchange (TRX).
Pangsapuri itu terletak berdekatan dengan stesen Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Sungai Buloh Kajang dan berhampiran dengan Hospital Pantai, Cheras dan UCSI University.
Levia Residence juga boleh diakses melalui Lebuhraya Lingkaran Tengah 2, Lebuhraya Hubungan Timur-Barat, Lebuhraya Kajang-Seremban dan Lebuhraya Sungai Besi. – UTUSAN










