KEADAAN ekonomi global yang semakin sukar diramal dengan kenaikan harga barang saban hari telah mempengaruhi peningkatan harga rumah masa kini. Perkara ini membebankan golongan berpendapatan rendah dan sederhana untuk memiliki kediaman sendiri.
Kerajaan telah mengambil inisiatif bagi memenuhi tanggungjawab sosial kepada orang ramai dengan mengadakan Program Perumahan Rakyat (PPR). Program ini diperkenalkan sebagai langkah mitigasi dalam mengatasi masalah setinggan di samping menyediakan tempat tinggal yang murah, selesa dan selamat kepada golongan ini.
Berdasarkan kajian-kajian lepas, jelas menunjukkan sesebuah kawasan perumahan yang penuh dengan pelbagai kemudahan dengan tahap kualiti perumahan yang tinggi boleh dianggap sebagai perumahan yang sempurna. Penghuni juga akan lebih gembira dan berpuas hati sekiranya kerajaan menyediakan perumahan yang berkualiti tinggi terutamanya dari aspek keselamatan dan keselesaan.
Hal ini yang cuba diusahakan oleh kerajaan dalam membantu komuniti setempat dalam meningkat kualiti hidup yang mana ia selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang ke 3(Kesihatan Baik dan Kesejahteraan) dan ke 11(Bandar dan Masyarakat Mampan).
Menurut Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, status pelaksanaan perumahan PPR setakat September 2022 adalah sebanyak 72 projek bersamaan 22,415 unit, manakala PPR disewa sebanyak 114 projek bersamaan 88,918 unit.
Semua maklum di mana penyediaan PPR adalah bertujuan untuk penempatan semula setinggan dan memenuhi keperluan tempat kediaman bagi golongan berpendapatan rendah. Secara asasnya, rumah PPR yang disediakan mempunyai 3 bilik tidur dan 2 tandas dengan keluasan tidak kurang dari 700 kaki persegi. PPR terdiri daripada dua kategori iaitu PPR untuk disewakan dan PPR untuk dimiliki.
Pembinaan PPR untuk disewakan ini mensasarkan golongan keperluan seperti ibu tunggal, dan golongan berpendapatan rendah di mana pendapatan isi rumah kurang daripada RM4,360 sebulan. Kadar sewa sangat berpatutan iaitu hanya RM 124 sebulan. Manakala harga jualan PPR dimiliki pula adalah RM 35,000 di Semenanjung dan RM 42,000 di Sabah dan Sarawak.
Usaha ini selari dengan dasar perumahan negara, di mana matlamat kerajaan adalah untuk memandu arah dan memacu sektor perumahan negara dengan menekankan perancangan, pembangunan dan pengurusan perumahan yang sistematik dan cekap bagi menjana habitat yang mampan, berdaya huni, berkualiti dan inklusif yang mampu dimiliki oleh rakyat.
Namun begitu, persoalan demi persoalan sering dicanang terutamanya hal berkaitan dengan tahap keselesaan penghuni dan kemudahan fasiliti yang disediakan di bawah pembangunan PPR. Situasi ini sedikit sebanyak menggambarkan keadaan sebenar serta kualiti fasiliti yang disediakan yang mana ia berada pada tahap yang rendah. Hal ini jelas, di mana kebanyakan kemudahan berada dalam keadaan daif dan tidak mencukupi dalam menyokong keperluan asas penduduk.
Tahap kepuasan penghuni PPR ini perlu diberi perhatian. Mereka juga berhak untuk menikmati kehidupan yang selesa dan selamat. Kepuasan dapat dinilai melalui perbezaan di antara “berapa banyak yang ada” dan “berapa banyak yang perlu ada”. Emosi yang timbul daripada perbandingan apa yang dirasai dengan jangkaan, dan ia terikat dengan kehendak dan permintaan pelanggan terhadap sesuatu produk atau perkhidmatan juga antara elemen utama dalam mengukur tahap kepuasan penghuni. Walau bagaimana pun, faktor sosio budaya juga dilihat memberi impak yang lebih besar kepada kebahagiaan penghuni di perumahan awam berbanding kualiti fasiliti di kawasan sekitar.
Kemudahan kediaman yang berfungsi dengan baik dapat memastikan penduduk mencapai tahap kepuasan perumahan yang mereka kehendaki. Walaubagaimanapun, penghuni sering berdepan dengan masalah berkaitan kualiti fasiliti PPR. Berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perumahan Negara pada tahun 2020, terdapat sebanyak 4344 aduan berkaitan penyelenggaraan dan kerosakan yang diterima. Ini adalah isyarat yang kurang memberasangkan.
Penghuni PPR di Selangor misalnya, berdepan dengan kualiti fasiliti perumahan yang rendah dan tidak berpuas hati dengan keadaan perumahan yang tidak bersih, berbau busuk, bocor sana sini dan langsung tidak selamat untuk diduduki kerana terdapat tangga yang tiada susur tangan, sampah sarap dibuang merata-rata serta timbunan sampah setinggi gunung.
PPR ini juga berdepan dengan risiko di mana penyelenggaraan yang tidak mencukupi telah menyebabkan lebih daripada 10 kemalangan telah dilaporkan. Selain itu, PPR juga menghadapi masalah tempat letak kereta yang tidak mencukupi serta masalah lif walaupun aduan sudah lama dikemukakan tetapi masih tiada sebarang tindakan diambil.
Di samping itu, kepadatan penghuni rumah juga menjadi masalah bagi penghuni PPR ini. Saiz rumah yang kecil tetapi penghuni mempunyai saiz keluarga yang besar telah mengakibatkan kekurangan tempat letak kereta terutamanya bagi penghuni PPR di bandar. Jumlah tempat letak kereta yang terhad berbanding dengan penghuni PPR telah menyebabkan jalan menjadi terlalu sesak.
Penghuni PPR memarkir kenderaan di kedua-dua bahu jalan dan hal ini menyukarkan kenderaan lain untuk melalui jalan di perumahan ini. Implikasinya, ia menimbulkan kemarahan dan rasa ketidakpuasan hati penghuni lain sehinggakan berlakunya kes pecah cermin kereta supaya brek tangan dapat dilepaskan dan kenderaan dapat dialihkan.
Bagi mengatasi masalah ini dari terus meruncing, pihak kerajaan pernah melakukan beberapa percubaan untuk membantu menawarkan kehidupan yang sejahtera kepada golongan kurang berkemampuan melalui PPR, seperti mengubah mentaliti mereka dan meningkatkan kesedaran sivik, tetapi usaha ini tidak mencukupi.
Selain itu, banyak perkara yang perlu diberi perhatian bagi mengetahui sejauhmana tahap kepuasan penduduk terhadap kualiti fasiliti perumahan di PPR. Antaranya adalah unit perumahan, keselamatan, persekitaran dan kemudahan asas. Penghuni perumahan PPR sangat mengharapkan agar isu berkaitan rumah sampah yang menunjukkan tahap kebersihan dan kekerapan pengosongan yang sangat rendah. Oleh itu, keperluan untuk penyelesaian masalah kualiti fasiliti perumahan dan perubahan drastik perlu ditekankan untuk memenuhi keperluan golongan berpendapatan rendah di PPR agar dapat memberi keselesaan kepada mereka.
Tindakan secara konsisten sangat diperlukan dalam meningkatkan kualiti hidup penghuni PPR. Isu ini hanya dapat diatasi dengan gandingan padu di antara dua pihak iaitu kerajaan yang mana perlu cakna kebajikan rakyat secara komprehensif dan efektif. Selebihnya, tepuk dada tanyalah minda apa yang terbaik perlu dilakukan selaku penghuni PPR. – UTUSAN










