WALAUPUN rakyat berdepan masalah kos sara hidup yang semakin tinggi dan keadaan semasa yang menekan, namun minat dalam pembelian hartanah di negara ini dilihat semakin kukuh.
Perkara ini terbukti dalam Kajian Sentimen Pengguna (CSS) Separuh Kedua 2023 oleh PropertyGuru Malaysia yang menunjukkan 46 peratus daripada responden berdepan cabaran yang berterusan bagi mendapatkan pembiayaan untuk skim perumahan mampu milik.
Namun, hutang isi rumah mencatatkan pertumbuhan pada kadar yang sederhana sebanyak 5.1 peratus pada akhir Jun 2023, menurut Tinjauan Ekonomi 2024 sempena pembentangan Belanjawan 2024 bulan lalu.
Pertumbuhan pada separuh pertama itu didorong oleh pembelian hartanah kediaman di bawah program insentif pemilikan rumah, sekali gus menunjukkan bank memberikan pembiayaan hartanah kediaman yang tertinggi bagi kategori hutang isi rumah dalam tempoh itu.
Presiden Institut Ejen Hartanah Malaysia (MIEA), Tan Kian Aun berkata, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan permohonan pembiayaan perumahan bakal pembeli ditolak oleh pihak bank.
Ujarnya, ini termasuk harga hartanah yang tidak selari dengan harga pasaran seterusnya menimbulkan keraguan dalam proses pembelian tersebut.
“Sebagai contoh, pembeli memohon pinjaman untuk rumah berharga RM600,000 namun pihak bank menilai hartanah tersebut pada RM500,000. Jadi, permohonan pinjaman tersebut akan menjadi masalah kerana harga hartanah itu tidak sama dengan penilaian semasa.
“Selain itu, kemungkinan pemohon pembiayaan cuba untuk membuat pinjaman untuk rumah kedua atau ketiga. Sudah pasti sukar untuk mendapat pembiayaan 100 peratus dan kebiasaannya pihak bank hanya meluluskan pinjaman untuk 90 atau 70 peratus sahaja,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, beliau berkata, faktor paling utama adalah komitmen pemohon yang terlalu tinggi dan tahap gaji yang kelihatan sukar untuk menampung pembiayaan baharu, seterusnya menyukarkan pihak bank meluluskan pinjaman.
Tegasnya, dalam keadaan semasa yang tidak menentu dan kos sara hidup yang meruncing, golongan B40 dan M40 paling terjejas jadi pihak bank sudah tentu memandang ke hadapan sekiranya peminjam berdepan masalah melunaskan pinjaman sehingga membawa kepada proses lelongan rumah dan sebagainya.
“Sekarang pun harga rumah di Lembah Klang semakin mahal, jadi terdapat jurang yang besar antara pendapatan dan kemampuan membayar pembiayaan rumah. Justeru, pihak bank pasti meneliti risiko termasuk kemungkinan Kadar Dasar Semalaman (OPR) naik lagi seterusnya membebankan peminjam untuk melunaskan bayaran bulanan yang lebih tinggi.
“Sejak OPR naik, kadar rumah yang dilelong juga meningkat, membuktikan kesan kenaikan komitmen kepada peminjam. Apabila rumah dilelong pula kadang-kala tidak menarik minat pembida jadi bank terpaksa melepaskan rumah itu pada kadar yang rendah jadi bank akan rugi.
“Bank sudah tentu mahu untung dengan memberikan pembiayaan kepada orang ramai, namun pemohon juga perlu menepati kriteria yang telah ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) supaya lebih mudah mendapat kelulusan pembiayaan perumahan,” ujarnya.
Sementara itu, Pensyarah Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Mohamad Khair Afham Muhamad Senan berkata, kebanyakan bakal pembeli rumah sudah menanggung hutang sedia ada yang tinggi seterusnya mengakibatkan pihak bank tidak berani untuk mengambil risiko memberi hutang rumah baharu kepada mereka.
“Data juga menunjukkan peningkatan yang tinggi kepada peratusan pinjaman kad kredit golongan muda di Malaysia, dan ini memberi impak yang tinggi ketika membuat permohonan pembelian rumah,” katanya.
Justeru, beliau menegaskan, bagi membantu rakyat lebih mudah mendapat kelulusan pinjaman perumahan, kerajaan perlu memainkan peranan dari segi pengawalan harga rumah.
Katanya, kerajaan juga boleh mengawal selia tahap gaji terutamanya kepada golongan muda supaya seiring dengan kenaikan harga rumah sekali gus membantu memudahkan urusan mereka untuk memiliki rumah.
“Ramai juga yang lebih memilih untuk menyewa berbanding membeli atas dasar perlu menyediakan wang pendahuluan yang tinggi. Namun, jika diturunkan nilai wang pendahuluan ini, pihak bank pula akan berdepan dengan ketidakpastian yang lebih tinggi.
“Ini secara tidak langsung mengakibatkan pihak bank menanggung risiko yang lebih besar. Jadi, mungkin pihak kerajaan boleh berkompromi dengan pihak bank dari sudut ini,” katanya. – UTUSAN










