Pan Mee halal dapat sambutan - Utusan Malaysia

Pan Mee halal dapat sambutan

FOO Chuen (dua dari kanan) menunjukkan produk makanan segera, pan mee keluaran Meet Mee Kitchen yang telah disahkan halal oleh Jakim.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Usaha Meet Mee Kitchen Sdn. Bhd. mengeluarkan produk pan mee dengan pengesahan halal membantu orang muslim untuk menikmati makanan masyarakat Cina itu tanpa rasa sangsi.

Pengasas bersama, Foo Chuen berkata, peka dengan sensitiviti tersebut, pihaknya memulakan proses memohon sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tahun lalu.

“Kami tahu ramai yang beragama Islam gemar makan pan mee yang sangat terkenal khususnya di Pulau Pinang tapi mereka lebih terdedah dengan restoran atau kedai menjual pan mee tanpa pengesahan sijil halal.

“Jadi, kami fikir kami perlu lakukan sesuatu bagi menarik lebih ramai pelanggan tanpa mengira bangsa dan agama untuk sama-sama menikmati hidangan ini. Akhirnya, pada Ogos 2022, produk makanan segera kami telahpun menerima pensijilan halal Jakim,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Menurut beliau, walaupun menggunakan bahan halal untuk semua produknya sejak permulaan perniagaan pada 2020, namun mereka hanya mula giat mempromosikan pan mee selepas sah mendapatkan sijil halal kerana lebih yakin dengan penerimaan pelanggan.

“Apabila produk kami diiktiraf halal, kami lebih mudah menarik pelanggan dan buat masa ini kami sering melakukan promosi dan memperkenalkan produk kami menerusi medium TikTok.

“Kami juga telah mengeksport produk halal kami ke Singapura, Australia dan Kanada. Selain itu, kami juga telah melakukan ujian pasaran ke China untuk mengembangkan lagi perniagaan kami di pasaran negara itu.

“Akan datang, kami juga berhasrat untuk meningkatkan eksport ke negara-negara jiran dan Asean antaranya Indonesia dan Brunei,” ujarnya.

Jelasnya, idea untuk menjual produk makanan segera ini timbul setelah enam cawangan restoran Meet Mee yang diusahakan sejak 2016 terpaksa ditutup berikutan penularan wabak Covid-19 pada 2020.

“Oleh kerana sekatan pergerakan yang tidak membolehkan restoran kami beroperasi sepenuhnya, kami memikirkan cara lain supaya pelanggan masih dapat menikmati makanan dan boleh disimpan untuk tempoh lebih lama.

“Dari situ timbul idea untuk kami menghasilkan produk makanan segera dan pelanggan hanya perlu memasaknya seperti mi segera biasa namun mampu menikmati keenakannya seperti sedang menjamu selera di restoran,” katanya.

Kini, Meet Mee Kitchen mempunyai lebih 20 produk makanan antaranya Mee Wantan Cili Kering, Tom Yum Pan Mee dan Sup Yee Mee, semuanya menggunakan bahan berkualiti dan halal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya