Kuasa beli diunjur rendah, pengaruhi sektor pengguna - Utusan Malaysia

Kuasa beli diunjur rendah, pengaruhi sektor pengguna

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selepas Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) ekonomi yang suram, unjuran penggunaan peribadi menurun kepada 4.3 peratus daripada 6.1 peratus sebelumnya, menurut Kenanga Research.

Firma penyelidikan itu berkata, pelaksanaan subsidi bahan api bersasar bakal dikuatkuasakan bermula 1 Januari 2024 juga bakal memberi kesan kepada perbelanjaan pengguna.

Namun, katanya, walaupun berlaku kelembapan, pasaran ekonomi yang stabil dan pekerjaan yang cergas sepatutnya terus menyokong perbelanjaan pengguna.

“Golongan T20 dijangka masih dapat memelihara kesihatan kewangan mereka namun kumpulan berpendapatan sederhana atau M40 mungkin menghadapi pengurangan pendapatan boleh guna disebabkan subsidi bahan api bersasar yang diperkenalkan.

“Sebaliknya, sektor kumpulan berpendapatan rendah atau B40 masih akan menikmati sepenuhnya bahan api bersubsidi dan oleh itu tiada hakisan kuasa perbelanjaan kumpulan.

“Justeru, kami menurunkan pendirian daripada overweight kepada neutral bagi sektor pengguna didorong jangkaan pelaksanaan subsidi bahan api bersasar yang mungkin mengurangkan kuasa perbelanjaan golongan M40.

Menurut Kenanga Research, peralihan berkenaan didorong beban kewangan yang tidak mampan dalam persediaan sedia ada, dengan 35 peratus daripada subsidi berjumlah RM77.3 bilion pada 2022 telah digunakan untuk subsidi bahan api yang banyak memanfaatkan kumpulan T20 yang lebih kaya.

Ujarnya, dengan memanfaatkan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang mengintegrasikan data daripada pelbagai agensi kerajaan termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), kerajaan berhasrat untuk mengenal pasti penerima menggunakan kriteria pendapatan boleh guna bersih yang bertujuan mengecualikan sebahagian besar demografi T20.

“Kami percaya sebahagian daripada kumpulan M40 juga mungkin tersisih, menyebabkan kuasa perbelanjaan kumpulan pengguna ini berkurangan. Justeru, kami berhati-hati terhadap peruncit pasaran pertengahan,” ujarnya.

Sementara itu, Kenanga Research percaya syarikat-syarikat asasi pengguna bakal menikmati kelonggaran rentetan penurunan harga beberapa komoditi ringan, yang membawa kepada potensi peningkatan dalam margin keuntungan.

“Harga beberapa komoditi ringan utama telah menurun dalam beberapa bulan kebelakangan ini termasuk susu, gandum dan jagung, serta kos pengangkutan yang berkaitan sekitar 10 hingga 30 peratus setakat ini.

“Namun tidak semua harga komoditi ringan menunjukkan penurunan, misalnya harga gula dan koko memperlihatkan peningkatan lebih daripada 30 peratus setakat ini,” katanya.

Jelasnya, kenaikan harga gula boleh dikaitkan dengan beberapa faktor termasuk hujan tidak bermusim di India, tanaman bit di bawah tara di Eropah dan kemarau semasa musim panas.

“Begitu juga dengan kenaikan harga koko yang mana sebahagian besarnya didorong oleh cuaca buruk di Afrika Barat yang memberi kesan kepada pengeluaran komoditi ringan berkenaan.

“Kami percaya turun naik harga komoditi utama ini berkemungkinan di susuli dalam prestasi kewangan pemain industri dalam tempoh tiga hingga enam bulan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya