Permintaan Daging Jerky meningkat selepas peroleh sijil halal - Utusan Malaysia

Permintaan Daging Jerky meningkat selepas peroleh sijil halal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Permintaan terhadap snek berasaskan daging lembu yang dikenali dengan jenama Daging Jerky keluaran syarikat Rajin Meat Enterprise semakin meningkat sejak mendapat pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 2019.

Pengarahnya, Azura Mohd. Bakri berkata, syarikat Rajin Meat Enterprise yang berpangkalan di Kampung Guar Tinggi, Kuala Ketil, dekat sini merupakan syarikat pertama yang mendapat pensijilan halal Jakim bagi produk Daging Jerky.

Menurutnya, perniagaannya itu bermula secara kecil-kecilan sejak 2018 dan hanya dipasarkan di platform media sosial sahaja namun mula berkembang maju pada 2019 dengan peningkatan jualan sebanyak 100 peratus.

Katanya, resepi Daging Jerky diilhamkan oleh suaminya, Muhamad Rajin Abdullah, 73, yang merupakan seorang mualaf berasal dari Australia.

“Saya dan suami pernah bekerja dalam industri berasaskan daging sebelum ini dan suami juga seorang pakar dalam bidang industri haiwan di pelbagai negara kerana sudah berkecimpung dalam bidang ini sejak dia berusia 13 tahun lagi,” katanya.

“Produk Daging Jerky ini merupakan snek berasaskan daging yang terkenal dalam kalangan masyarakat di negara barat.

“Oleh itu, pensijilan halal Jakim bagi produk berasaskan haiwan ini amat penting untuk meningkatkan keyakinan pembeli dalam kalangan masyarakat beragama Islam di negara ini,” katanya.

Jelasnya, secara asasnya snek daging lembu ini disediakan dengan kaedah membuang lemak, memotong nipis daging tersebut sebelum diperap dengan perisa dan dikeringkan untuk dijadikan snek.

“Setakat ini kami sudah keluarkan empat perisa Daging Jerky iaitu perisa cili, perisa ketumbar, lima perisa rempah dan perisa tropika,” ujarnya.

Menurut Azura, produk Daging Jerky boleh didapati di semua rangkaian pasar raya Aeon dan Jaya Grocer di seluruh negara dengan harga RM15 bagi setiap paket dengan berat 50 gram.

“Kini saya dan beberapa rakan perniagaan telah menubuhkan syarikat Rajin Food Industries Sdn. Bhd. yang beroperasi di kawasan perindustrian Kedah Halal Park.

“Kami kini sedang dalam proses untuk mendapatkan pensijilan halal bagi 12 lagi produk berasaskan daging haiwan yang disasarkan bakal mendapat sambutan tinggi di pasaran nanti,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya