BAGI menyokong aspirasi Malaysia untuk menjadi hab pusat data serantau, Tenaga Nasional Berhad (TNB) menjalin perkongsian strategik dengan GDS IDC Services (Malaysia) Sdn. Bhd. (GDS) melalui penyediaan bekalan elektrik voltan tinggi kepada kampus pertama pusat data GDS di negara ini.
Kerjasama TNB-GDS melalui Perjanjian Bekalan Elektrik (ESA) itu dimeterai pada Oktober 2022 dan di bawah perjanjian tersebut, TNB menyasarkan untuk memenuhi keperluan tenaga bagi kampus pusat data GDS di Nusajaya Tech Park di Johor Bahru.
TNB telah mengambil langkah-langkah untuk membolehkan pusat data itu mula beroperasi pada Julai 2023 melalui bekalan sementara sebanyak 16MW. Persediaan sedang dijalankan untuk memastikan peningkatan permintaan maksimum sebanyak 85.5MW dapat disalurkan dalam tempoh 2023.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, melalui penyediaan bekalan tenaga, TNB melengkapkan dasar mesra pelaburan asing kerajaan untuk memupuk pasaran pusat data yang sihat dan membantu industri mencapai objektif perniagaannya.
“Kami yakin kerjasama kami dengan GDS mempunyai potensi besar untuk memberi manfaat kepada kedua-dua pihak serta rakyat Malaysia.
“Bagi menyokong aspirasi GDS untuk menjadi syarikat pusat data pertama yang mencapai neutral karbon, dengan penggunaan 100 peratus Tenaga Boleh Baharu (TBB) menjelang 2030, TNB akan memperluaskan kerjasamanya dalam penyediaan solusi tenaga pintar,” katanya pada Majlis Menandatangani Perjanjian Tambahan kepada ESA, baru-baru ini.
Beliau menegaskan, kerjasama ini adalah salah satu daripada banyak inisiatif yang mempercepatkan pertumbuhan ekonomi digital negara, di mana ia terus didorong oleh peningkatan penggunaan perkhidmatan berasaskan awan, Internet Kebendaan (IoT), analisis data besar dan kepesatan pendigitalan di rantau ini.
Sementara itu, Pengasas, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif GDS, William Wei Huang berkata, dengan komitmen TNB yang tidak berbelah bahagi dalam menyediakan bekalan elektrik yang berdaya harap ke kampus pusat datanya di Johor, GDS berada pada kedudukan
yang baik untuk menawarkan perkhidmatan pusat data bertaraf dunia di rantau ini.
“Ia turut mengukuhkan lagi infrastruktur digital Malaysia dan mempercepatkan transformasi dan pertumbuhan digitalnya.
“Di samping itu, kami berharap kerjasama dengan TNB dalam penggunaan TBB sebagai sebahagian daripada usaha pembangunan mampan kami, seperti penyelesaian hijau pintar, termasuk solar atas bumbung dengan GSPARX, solusi sambungan dengan Allo dan teknologi
hijau baharu dengan TNB Renewables.
“Melalui kerjasama strategik ini, kami percaya kami dapat memberikan sumbangan penting untuk menyokong cita-cita Malaysia untuk menjadi hab pusat data dan memacu ekonomi digital serantau. Kami berterima kasih atas sokongan dan usaha TNB untuk memupuk perkongsian yang bermanfaat di masa hadapan,” ujarnya.
Dalam memacu peralihan tenaga negara, TNB memberi tumpuan kepada menyediakan penyelesaian tenaga mampan bagi memupuk pasaran yang kondusif untuk pelabur tempatan dan asing. Inisiatif ini berpaksikan kepada aspirasi TNB untuk mencapai pelepasan sifar bersih
menjelang 2050. – UTUSAN