‘Kita bertanding solo, guna lambang BN dalam semua pilihan raya’ - Utusan Malaysia

‘Kita bertanding solo, guna lambang BN dalam semua pilihan raya’

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

Sebaik sahaja Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubarkan, setiap parti politik mula mencatur langkah bagi mencapai kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, begitu juga buat UMNO Sabah.

Menyifatkan kedudukan UMNO sebagai parti underdog di Sabah dan peluang terakhir untuk parti itu membuktikan prestasi, Timbalan Perdana Menteri, DATUK SERI DR. AHMAD ZAHID HAMIDI berkata, keputusan tersebut akan menjadi cerminan kepada pilihan raya berikutnya, menghampiri adalah di Melaka dan Johor, kemudiannya disusuli dengan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) .

Turut mengulas isu sokongan Melayu terhadap UMNO yang dijamin kestabilannya sejak merdeka, Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu cuba mencari jalan mengukuhkan UMNO meskipun terdapat kekangan selepas tewas pada 2018.

Sama ada pengukuhan itu diteruskan menerusi Muafakat Nasional (MN) atau sebaliknya, Ahmad Zahid merungkai persoalan tersebut bersama wartawan Mingguan Malaysia, ASLINDA NASIR dan IRWAN SHAFRIZAN ISMAIL serta dibantu jurufoto AMIR KHALID dan juruvideo ZUID SAMSON.

TIADA PARTI DOMINAN

MINGGUAN MALAYSIA: Bagaimana Datuk Seri melihat persediaan UMNO dan BN menghadapi PRN17 di Sabah?
Kita merupakan parti underdog di Sabah. Pergerakan kita bukan ke arah untuk benar-benar mencapai kedudukan dominan kerana hakikatnya, tiada satu pun parti yang akan dominan dan mampu membentuk kerajaan sendiri.

Untuk itu, kita mempunyai beberapa pendekatan. Antaranya yang telah dimuktamadkan adalah kerjasama BN dengan Pakatan Harapan (PH). Tidak ada satu kerusi pun yang akan bertindih dan kita juga tidak menghalang kerjasama PH dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Namun, kita tahu banyak kerusi yang bertindih, itu masalah mereka, manakala kita bergerak ke arah pembentukan kerajaan bersama.

Kita sangat faham bahawa politik di Sabah ini sangat volatile dan fragile, ertinya sangat dinamik dan rapuh. Situasi sebegini perlu disantuni mengikut pendekatan politik tempatan di Sabah.

Landskap politik Sabah bukan semata-mata soal parti, tetapi soal calon yang mewakili kumpulan etnik, itu menjadi keutamaan pengundi. Oleh itu, kita mengambil kira bukan sahaja calon yang sesuai mengikut syor kepimpinan, tetapi juga hasrat akar umbi.

Kita juga telah mengemukakan nama-nama berpotensi kepada pihak polis, SPRM, mahkamah, Jabatan Insolvensi dan melalui tapisan yang diperlukan, semua itu telah diselesaikan. Kita bersedia membentuk kerajaan dengan mana-mana parti gabungan di Sabah.

Bagaimana UMNO menangani sentimen ‘Sabah for Sabahan’? Adakah calon yang diletakkan mampu mengatasi sentimen itu?
Sangat benar. Untuk mengatasinya bukan melalui satu atau dua bentuk perikatan yang sama di semua kawasan, tetapi dengan mengambil kira sensitiviti dan keperluan seseorang tokoh.

Jika asasnya adalah ‘Sabah for Sabahan’, bagaimana pula kerjasama GRS dengan PH? Ini bukan soal parti dari Semenanjung, tetapi parti di peringkat Pusat.

Kita tahu juga bahawa kebanyakan parti besar di Sabah ini DNAnya berasal daripada UMNO. Jadi, jangan terbuai dengan slogan yang dibangkitkan oleh satu atau dua tokoh, sedangkan tokoh itu pun kini tiada lagi dalam GRS.

Dulu GRS pernah mengkhianati UMNO. Sekarang mereka bekerjasama dengan PH. Tidakkah UMNO terasa hati apabila PH seolah-olah mahu menyelamatkan diri demi survival politik?
Kita tidak ada rasa terguris, apatah lagi berkaitan hati dan minda. Ini hakikat politik yang harus kita hadapi.

Yang paling penting, kita memahami dinamika politik Sabah yang berbeza daripada negeri lain atau Semenanjung. Justeru, yang penting ialah rakyat perlu disantuni, masalah diatasi, pembangunan didahulukan.

Pegangan kita jelas, tiada satu pun parti atau gabungan yang dominan, maka kerjasama antara pelbagai parti amat penting. Soal kecil seperti latar belakang atau sejarah lama tidak perlu diungkit.

GRS sendiri terbentuk daripada PN; mereka bukan sahaja mengkhianati UMNO, malah PN juga. Itulah landskap politik Sabah,kita harus memandang ke hadapan, bukan menoleh ke belakang.

SELESAI BAHAGI KERUSI
Daripada segi pembahagian kerusi antara BN dan PH?
Itu telah selesai sepenuhnya. Jumlahnya akan diumumkan pada hari penamaan calon PRN17.

Bagaimana Datuk Seri melihat keputusan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) keluar daripada GRS? Adakah langkah itu memberi kelebihan kepada UMNO/BN?
Kita tidak menganggap begitu, kerana kepimpinan dan ADUN daripada STAR sendiri meninggalkan presidennya.

Dalam hal begini, kita tahu politik Sabah, siapa juga pemimpinnya, orang itu akan didukung, apatah lagi oleh parti atau gabungan yang berpeluang membentuk kerajaan.

Bezanya kini, Undang-undang Tubuh Negeri Sabah tidak lagi berdasarkan kepada pemimpin parti mana yang dipercayai boleh membentuk kerajaan, tetapi kepada mana-mana ADUN yang diyakini mampu berbuat demikian.

Tambahan pula, Akta Anti-Lompat Parti telah diluluskan Dewan Undangan Negeri. Ertinya, soal pembelian kerusi atau tawaran tidak akan berlaku lagi, kecuali keputusan dibuat secara en bloc oleh gabungan berkenaan.

Datuk Seri pernah menyatakan tindakan STAR dan SAPP hanya ‘taktik lama’. Maksudnya?
Tujuannya adalah mereka akan bergabung semula apabila pembentukan kerajaan dibuat, sebagaimana yang saya nyatakan tadi.

Itu memang taktik mereka. Saya kenal individu yang berkenaan, setiap kali pilihan raya negeri, sama ada parti lama atau parti baru, itulah sikapnya.

Daripada segi autonomi UMNO/BN di Sabah, adakah ia membantu dalam pemilihan calon dan memberi kelebihan kepada UMNO?
Autonomi telah diberikan kira-kira enam tahun lalu apabila kita merasakan UMNO Sabah harus berdiri di atas kaki sendiri.Dua perkara yang diberikan kuasa adalah pemilihan calon dan pemilihan

Ketua Menteri. Kita di Pusat hanya memberi pandangan dan nasihat mengikut kesesuaian calon.

Pendekatan sekarang memberi keutamaan kepada calon muka baharu, anak muda, wanita, Pemuda dan Puteri. Semua ini diambil kira dalam senarai calon yang akan diumumkan pada hari penamaan calon.

Pemilihan calon dan calon Ketua Menteri nanti, adakah 100 peratus keputusan daripada UMNO Sabah?
Ya, atas nasihat dan pandangan kita, serta dengan perkenan TYT.

Pengundi kini lebih cenderung memilih calon berbanding parti?
Itulah realitinya sekarang. Walaupun setiap parti dan gabungan mempunyai pendekatan masing-masing untuk menarik pengundi termasuk tawaran dalam manifesto.

Di Sabah, tiada satu pun kerusi yang akan menyaksikan pertembungan satu lawan satu.

Sekurang-kurangnya empat penjuru. Dalam PRN16 dahulu, ada pertandingan hingga 11 penjuru. Itulah dinamika politik Sabah.

BN tidak ada kerjasama dengan GRS. Jadi, apa pendirian UMNO sekiranya PH memihak kepada GRS di sesetengah kawasan?
Saya tahu, dan kita telah berbincang. Tidak perlu saya kongsikan secara terbuka kepada media. Ada hikmah dan kebijaksanaan dalam hal ini. Pertembungan antara BN dan GRS memang tidak dapat dielakkan, kerana itu pendirian masing-masing.

Bagaimana dengan kerjasama UMNO dan Parti Warisan (Warisan)? Presiden Warisan menyeru pengundi Sabah menolak parti dari Semenanjung.

Adakah ini memberi kesan kepada BN?
Mereka berhasrat bertanding di semua 73 kerusi. Seperti saya sebutkan, kita adalah underdog dalam politik Sabah dan kita bekerja dengan semangat itu.

Pendirian seperti itu bukan hanya datang daripada Warisan, tetapi juga parti-parti Sabah lain. Ia satu usaha menarik pengundi masing-masing, namun sebenarnya rakyat Sabah lebih bijaksana daripada retorik mana-mana presiden parti.

Bagaimana cara UMNO/BN menarik lebih 600,000 pengundi baharu pada PRN17 dan kaedah kempen yang digunakan?
Ada dua pendekatan iaitu komunikasi bersemuka (kaedah konvensional) yang akan diteruskan, dan komunikasi tanpa lisan (non-verbal communication) yang akan menjadi keutamaan.

Memandangkan 52 peratus pengundi kali pertama (lebih 625,000 pengundi muda), pendekatan sesuai dengan cita rasa mereka akan dilaksanakan secara berkesan.

Adakah Datuk Seri Bung Moktar Radin akan dinamakan sebagai calon Ketua Menteri?
Kita mungkin mempunyai pendekatan berbeza daripada parti lain. Kita menghormati Pengerusi BN Sabah kerana sejak 2018, hanya tiga orang kekal taat dan setia dalam UMNO.

Maka penghargaan terhadap kesetiaan itu perlu menjadi pertimbangan utama dalam keputusan yang akan dibuat kelak.

Adakah BN Sabah menolak kemungkinan membentuk kerajaan bersama GRS selepas PRN17?
Seperti yang saya sebut, politik Sabah sangat dinamik dan tiada parti yang dominan. Maka keterbukaan kita bukan sahaja sekarang, tetapi sejak dahulu lagi.

Daripada segi calon PRN17, adakah nama-nama besar akan dikekalkan?
Ada yang dikekalkan, ada juga yang akan mengundurkan diri.

PELUANG TERAKHIR BN
Apa gambaran yang diharapkan Datuk Seri dalam PRN17 ini sebagai panduan BN menghadapi PRU16?
Ini peluang terakhir untuk BN dan UMNO Sabah memperlihatkan prestasi terbaik. Ia bukan hanya berkaitan PRU16, tetapi juga PRN di Melaka dan Johor. Ia akan menjadi cerminan kepada prestasi yang kita jangkakan pada PRU16 nanti.

Setakat mana keyakinan UMNO dan BN Sabah untuk menawan kembali kerusi tradisi dalam PRN17?
Dapatan daripada pelbagai kajian telah diambil kira termasuk laporan akar umbi dan analisis pihak luar. Kita membuat perbandingan (comparative study) dan menilai bukan sahaja isu nasional dan negeri, tetapi juga keperluan serta permasalahan tempatan di kawasan calon bertanding.

Adakah keputusan PRN17 akan memberi kesan domino kepada Semenanjung?
Ia bukan kesan domino, tetapi akan menjadi cerminan kepada PRU16 dan PRN negeri lain.

CERMINAN HADAPI PRU16
Adakah keputusan itu juga mencerminkan dengan siapa UMNO akan berpakat pada PRU16?
Kita berpendirian bahawa kita harus bertanding secara solo menggunakan lambang BN. Dalam mana-mana pilihan raya, termasuk PRK atau PRN, kita telah membuktikan bahawa kita menggunakan lambang BN.

Namun, kita tidak menolak bentuk kerjasama seperti di PRK Nenggiri, Mahkota dan Ayer Kuning. Yang penting adalah understanding (persefahaman) antara parti dan gabungan dalam Kerajaan Madani.

Keputusan bertanding solo, adakah ia memberi kelebihan kepada pembangkang jika berlaku pertembungan tiga penjuru atau lebih?
Kita tidak nampak ada masalah. Yang penting, kita tidak menolak kerjasama walaupun menggunakan lambang parti sendiri. Kita perlu bijak (smart move) dalam tindakan politik.

Kita tidak menolak kerjasama, cuma tidak menggunakan lambang mereka, atau mereka menggunakan lambang kita.

Bagaimana mahu elak pertandingan tiga penjuru? Kita tidak boleh elakkan. Ia pasti berlaku antara BN, PH dan parti lain. Tetapi understanding sesama parti dalam Kerajaan Perpaduan itulah yang mengukuhkan kita dan terbukti dalam beberapa pilihan raya kecil baru-baru ini.

RAKAN KOMPONEN BN
Hubungan Datuk Seri dengan parti komponen MIC, MCA?
Dalam minggu ini sekurang-kurangnya dua ke tiga kali saya jumpa mereka.

Cuma ada pihak Bersatu, mereka nak jumpa wakil-wakil MIC untuk perbincangan.

Kita mempunyai sikap terbuka, mereka boleh jumpa, mereka boleh berbincang, tetapi bila mahu membuat keputusan, mereka mesti memaklumkan kepada dewan tertinggi BN.

Bagaimana pendirian MIC dan MCA selepas pertemuan dengan Datuk Seri?
Kita juga membuat kajian, ahli di bawah tidak mahu keluar daripada BN, tetapi satu tokoh-tokoh itu mungkin mereka perlukan toys, jadi apabila tidak dapat toys lagi, maka mereka hentak-hentakkan kaki di lantai.

Bermakna suara pemimpin parti komponen tersebut tidak mencerminkan suara parti?
Tidak.

Ada yang tidak berpuas hati sebab tidak mendapat tempat dalam Kerajaan Perpaduan. Komen?
Memang semua parti begitu, jika tidak puas hati, semua parti tidak puas hati, mustahil kita akan memperoleh 100 pratus apa yang kita perlukan.

Komitmen MIC dan MCA setakat ini mampu menaikkan sokongan terhadap BN?
Setakat yang kita adakan, sama ada konvensyen URA ataupun dalam pre-council, ahli-ahli parlimen mereka hadir. Tiada masalah.

Adakah Datuk Seri melihat Kerajaan Perpaduan ini meminggirkan MCA dan MIC?
Di peringkat awal dalam Kerajaan Perpaduan, mereka sendiri tidak mahu jawatan itu, saya pegang ke arah itu.

Tetapi kalau sekarang mereka mahu, tunggulah pilihan raya umum akan datang bila parti-parti perkenaan dan UMNO sendiri berprestasi, maka kita pasti berusaha ke arah meletakkan semua rakan-rakan di dalam kedudukan Kabinet, tetapi yang penting kita menang dulu.

Adakah UMNO merasakan MIC dan MCA menjadi pilihan sebagai rakan dalam mendepani PRU-16?
Kita adalah rakan teras dalam pembentukan parti Perikatan dahulu, selepas tahun 1969, BN dibentuk untuk mengaktifkan Perikatan pada tahun 1974, jadi saya mahu beritahu di dalam pre-council, keunikan kita ialah kita boleh berbeza pendapat,tetapi apabila kita membuat keputusan, kita buat keputusan bersama.

HANYA KEIKHLASAN DAPAT MENYATUKAN MELAYU
Bagaimana UMNO BN perlu kekal stabil dengan sokongan Melayu yang berpecah sekarang?
Pas ditubuhkan pun berasal daripada UMNO, kerana Ustaz Ahmad Fuad Hassan, Pengerusi Biro Agama UMNO ketika itu keluar dari UMNO, Pengasas UMNO sendiri, Datuk Onn Jaafar menubuhkan parti kemerdekaan dan parti negara, ketika itu UMNO dianggap berpecah.

Tahun 1981, apabila kepimpinan UMNO ditukar dan kita tahu ada pasukan A dan B pada tahun 1987, dianggap UMNO terkubur, begitu juga 1998 apabila peristiwa Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat, dijangkakan UMNO juga menghadapi perkara yang sama.

Ini satu kedinamikan politik, walaupun kita tidak lagi menjadi dominan seperti tahun dulu, tetapi salahkah kita untuk memperkukuhkan UMNO itu semula walaupun kita menghadapi kekangan?

Bezanya dulu Presiden UMNO itu adalah Perdana Menteri, Sekarang ini apabila tidak dominan, maka hanya sebagai Timbalan Perdana Menteri, tetapi ini tidak menghentikan untuk kita terus memperkukuhkan UMNO dari dalam.

Apa usaha untuk mengembalikan kekuatan politik Melayu supaya menjadi satu kuasa dominan bagi menjamin kestabilan?
Saya pernah melakukannya dengan menubuhkan penyatuan ummah, kemudian secara formal kita tubuhkan Muafakat Nasional (MN), tetapi kita hanya perlukan kawan yang setia.

Penunggangan ini dilakukan oleh parti berkenaan dengan semua pihak bagaimana hendak mewujudkan penyatuan parti-parti orang Melayu jika tidak ada keikhlasan dan kejujuran? malah mahu kawan makan kawan, menganggap kawan itu patah kaki.

Sekarang pun mereka menganggap Bersatu begitu juga kerana Bersatu tidak dominan. Mereka mahu mengambil alih sebagai kepimpinan utama dalam perikatan mereka. Ini sikap hati

Mereka. Saya tidak fikir mereka ikhlas dengan kawan-kawan, tetapi mereka hanya memikirkan tentang kepentingan mereka dan apa yang akan mereka perolehi dari segi formula politik.

Maksudnya Muafakat Nasional tidak lagi menjadi realiti dan tiada lagi ruang untuk bekerjasama semula?
Saya ucapkan selamat berjaya kepada MN yang dipimpin bekas pemimpin UMNO. Tidak ada pintu yang dibuka seluas-luasnya dan tidak ada pintu yang ditutup serapat-rapatnya.

Ada sebarang syarat diletakkan untuk kembali kepada penyatuan?
Prinsipnya adalah ikhlas dalam politik. Nabi Adam dikeluarkan daripada syurga kerana tergoda dengan Iblis sehinggalah kepada keturunan Nabi Adam, termasuk diri kita, ikhlas itu menjadi teras utama.

Pendirian UMNO sendiri ke arah penyatuan?
Kita bekerjasama dengan semua pihak dan kita sanggup bekerjasama, asalkan ikhlas demi negara dan terasnya adalah Islam dan Melayu.

Dengan PKR pun kita boleh bekerjasama, dengan yang kita benci itu pun boleh kerjasama, apatah lagi yang satu bangsa dan agama.

UMNO-DAP dilihat masih bercakaran meskipun sudah berada dalam Kerajaan Perpaduan tiga tahun. Komen?
Jika melihat kepada Pemuda, itu bukan pendirian Majlis Tertinggi pun. Pemuda zaman siapa pun begitu, zaman saya pun begitu juga. Kita layanlah Pemuda secara Pemuda.

Pentadbiran Kerajaan ini wajar dikekalkan sehingga PRU-16?
Saya tidak nampak DAP umpamanya mengganggu mana-mana kawasan UMNO, dan UMNO pun tidak pernah mengganggu mana-mana kawasan yang diwakili oleh DAP.

Setakat ini pemahaman itu berlaku, malah mereka membuktikan bahawa dalam pilihan raya kecil atau dalam pilihan raya negeri, kita pergi solo tetapi kolaborasi tetap berjalan, bukan hanya dari segi jentera, tetapi daripada segi sokongan pengundi-pengudi mereka kepada kita. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN