SEJAK dahulu lagi, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sinonim dengan program-program penajaan untuk pelajar yang ingin menyambung pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT) termasuk di luar negara.
Tajaan pembiayaan pengajian berprestij ini menjadi ‘rebutan’ pelajar kerana mereka yang berjaya memperoleh tajaan tersebut seolah-olah ‘gerenti dapat kerja’ setelah tamat belajar apatah lagi mereka tidak perlu bayar balik pinjaman yang ditukar kepada bentuk biasiswa jika memilih sektor kerajaan.
Kemudahan ini sekali gus memberi peluang terutama pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 lalu untuk memilih salah satu daripada sembilan jenis program tajaan ditawarkan dengan harapan penghasilan bakat kompeten untuk memenuhi keperluan guna tenaga negara.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, DATUK SERI DR. WAN AHMAD DAHLAN WAN ABDUL AZIZ berkongsi mengenai inisiatif berkenaan dengan wartawan Mingguan Malaysia, MAISARAH SHEIKH RAHIM, baru-baru ini.
MINGGUAN: Boleh Datuk Seri berkongsi sejarah penajaan JPA kepada pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran ke IPT?
Bermula tahun 1970-an, bantuan pendidikan diberikan kepada pelajar lepasan sekolah (sebelum perkhidmatan) bagi menyambung pengajian di peringkat tertiari. Penajaan JPA berevolusi mengikut keperluan semasa di mana penajaan diberikan sama ada dalam bentuk Biasiswa, Pinjaman Boleh Ubah (PBU) Berasaskan Merit Kecemerlangan Akademik dan Pinjaman Biasa.
Seterusnya, dari tahun 2000 hingga 2015, penajaan kepada pelajar diberikan dalam bentuk biasiswa.
PINJAMAN BOLEH UBAH
Difahamkan, penajaan JPA kini berbentuk pinjaman boleh ubah. Boleh Datuk Seri terangkan?
Mulai tahun 2016, penajaan JPA adalah dalam bentuk PBU Berasaskan Merit Tempat Berkhidmat. Dalam hal ini, terdapat empat kaedah ditetapkan mengikut situasi.
Pertama, pinjaman akan ditukar kepada biasiswa penuh dan dikecualikan daripada bayaran balik sekiranya pelajar berkhidmat dalam perkhidmatan awam setelah tamat pengajian.
Kedua, bayaran balik sebanyak 25 peratus daripada jumlah pinjaman yang diterima sekiranya pelajar berkhidmat dengan syarikat milik kerajaan (GLC) setelah tamat pengajian.
Ketiga, bayaran balik sebanyak 50 peratus daripada jumlah pinjaman yang diterima sekiranya pelajar berkhidmat dengan syarikat swasta dalam negara setelah tamat pengajian.
Dan keempat, bayaran balik keseluruhan pinjaman sekiranya pelajar tidak bekerja atau bekerja di luar negara.
Melalui model PBU, JPA antara penaja yang memberikan pinjaman penajaan dengan diskaun. Sehingga kini, seramai 84,486 pelajar menerima penajaan di bawah model penajaan ini.
GOLONGAN B40
Adakah JPA memperuntukkan pinjaman khusus kepada pelajar golongan B40?
JPA juga menaja pelajar dalam bentuk Dermasiswa bagi pelajar dalam kategori B40 di bawah Program Dermasiswa B40 (DB40). Program pengajian peringkat diploma ini diberikan untuk membolehkan mereka mendapat akses pendidikan berkualiti di universiti awam (UA), Government Linked Universities (GLU) iaitu UNITEN, Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Multimedia (MMU) dan Universiti Kuala Lumpur. Ini termasuk tajaan pengajian di universiti swasta terpilih dalam negara.
Berapa ramai jumlah keseluruhan pelajar tajaan JPA sejak dimulakan hingga sekarang?
Sejak tahun 1970-an, JPA melalui evolusi dasar penajaan dengan jumlah keseluruhan pelajar dan pegawai yang ditaja sebanyak 471,991 orang.
Berdasarkan rekod 2023, JPA membelanjakan sebanyak RM856.2 juta kepada seramai 15,869 orang pelajar serta pegawai merangkumi 12,381 orang pelajar (79 peratus) bagi Latihan Sebelum Perkhidmatan dan seramai 3,488 orang pegawai (21 peratus) bagi Latihan Dalam Perkhidmatan.
Apakah jenis dan bentuk penajaan JPA yang boleh dimohon pelajar pada masa ini?
Pada tahun ini, sebanyak sembilan program penajaan ditawarkan antaranya Biasiswa Yang di-Pertuan Agong (BYDPA) khusus untuk warganegara Malaysia yang cemerlang bagi pengajian peringkat Ijazah Lanjutan (Sarjana dan Kedoktoran) di dalam dan luar negara.
Selain itu, adalah Program Penajaan Nasional (PPN) ditawarkan kepada pelajar lepasan SPM yang cemerlang bagi pengajian peringkat Ijazah Pertama di 20 buah universiti terkemuka dunia di luar negara.
Program Khas Jepun, Korea, Perancis dan Jerman (JKPJ) juga ditawarkan kepada pelajar lepasan SPM cemerlang bagi pengajian peringkat Ijazah Pertama di Jepun, Korea, Perancis dan Jerman.
Program Khas JPA-MARA (PKJM) pula ditawarkan kepada pelajar lepasan SPM cemerlang bagi pengajian peringkat Ijazah Pertama di dalam dan luar negara.
JPA turut menyediakan Program Khas Lepasan SPM Dalam Negara (LSPM) ditawarkan kepada pelajar lepasan SPM cemerlang bagi pengajian peringkat Ijazah Pertama di dalam negara.
Terdapat juga tajaan Program Ijazah Dalam Negara (PIDN) untuk pelajar yang sedang mengikuti pengajian peringkat Ijazah Pertama di universiti awam dan politeknik premier di dalam negara.
Program Penajaan Ijazah Lanjutan (PIL) adalah bagi pelajar tajaan JPA peringkat Ijazah Pertama yang cemerlang untuk menyambung pengajian peringkat Ijazah Lanjutan (Sarjana dan Kedoktoran) di luar negara.
Program Penajaan Anak Diplomat (PADi) ditawarkan kepada anak-anak pegawai kerajaan yang sedang berkhidmat di sektor luar negeri untuk menyambung pengajian di peringkat ijazah pertama di dalam dan luar negara selain program DB40 seperti disebutkan tadi.
Bagaimanakah konsep penajaan ditawarkan kepada golongan pelajar B40 itu?
JPA sentiasa prihatin terhadap golongan B40 untuk mendapatkan pendidikan berkualiti. Dalam usaha mengeluarkan keluarga B40 dari kepompong kemiskinan dan menoktahkan miskin tegar, JPA menyediakan penajaan berbentuk DB40 itu.
Program pengajian peringkat diploma ini disediakan kepada pelajar itu bagi mengikuti pengajian dalam bidang akademik dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang mempunyai nilai kebolehpasaran tinggi.
Ia bertujuan membolehkan mereka mendapat akses pendidikan berkualiti dalam bidang terpilih, mendapat pekerjaan baik selepas graduasi kelak dan seterusnya boleh mengubah kehidupan keluarga mereka ke arah lebih baik.
Dengan kelayakan kemasukan minimum, iaitu 5C bagi subjek SPM tahun semasa, pelajar diberikan perhatian khusus dengan kerjasama pengurusan universiti supaya mereka dapat fokus kepada pengajian dan seterusnya berjaya menamatkan pengajian dalam tempoh tajaan diberikan. Melalui program DB40 ini, pelajar tidak perlu membayar balik penajaan itu.
Pada masa sama, program penajaan yang lain berbentuk PBU secara puratanya atau sebanyak 98 peratus tajaan setiap tahun terdiri daripada golongan B40.
MENDAPAT PEKERJAAN
Adakah pelajar tajaan JPA ini berjaya mendapatkan pekerjaan selepas tamat pengajian?
Secara purata, peratus kebolehpasaran pelajar tajaan JPA adalah tinggi iaitu sebanyak 90 peratus. Daripada jumlah tersebut, 30 peratus graduan dilantik ke sektor kerajaan dan baki 70 peratus lagi berkhidmat dalam sektor swasta dalam negara.
Daripada jumlah graduan yang dilantik dalam sektor kerajaan, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) merekodkan sebanyak 90 peratus adalah di bawah skim perkhidmatan perubatan dan kesihatan, manakala, baki 10 peratus lagi dilantik dalam pelbagai skim lain termasuk perundangan, seni bina dan sebagainya berdasarkan Kajian Pengesanan Graduan Tajaan JPA Tahun 2023.
SAMBUNG PELAJARAN
Bagaimana pula penjawat awam yang ingin menyambung pelajaran atau menimba ilmu terutama dalam bidang-bidang baharu selaras dengan aspirasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim?
JPA bertanggungjawab untuk merancang dan menerajui pembangunan modal insan berkualiti bagi melahirkan pegawai awam yang kompeten. Pelbagai program kursus jangka panjang, sederhana dan pendek dilaksanakan setiap tahun.
Dalam usaha memenuhi aspirasi Perdana Menteri, JPA bersama kementerian/jabatan meneroka kerjasama strategik dengan penyedia latihan dan pemain industri bagi menyediakan peluang latihan dalam bidang baharu di luar negara.
Sebagai permulaan, sekumpulan pegawai awam akan menjalani latihan di India selama enam bulan untuk mendapatkan pengalaman praktikal berkaitan kecerdasan buatan (AI).
TAMBAH BAIK TAJAAN
Apakah model penajaan JPA akan ditambah baik selaras dengan hasrat Ketua Setiausaha Negara (KSN) supaya menambah baik dasar sedia ada?
Model penajaan JPA sedia ada berbentuk model PBU, pelajar bertanggungjawab untuk membayar balik nilai pinjaman dan layak mendapat kemudahan pengurangan berdasarkan sektor pekerjaan.
JPA sentiasa meneliti ruang penambahbaikan bagi memastikan modul penajaan yang ditawarkan adalah menarik dan obligasi penajaan tidak membebankan pelajar serta memastikan kepentingan kerajaan dijaga.
Apakah harapan Datuk Seri terhadap perkhidmatan awam secara umumnya dan penajaan pelajar secara khusus?
Hasrat JPA melalui penajaan yang disediakan ini sebagai pemangkin kepada pembangunan Malaysia melalui penghasilan bakat kompeten untuk memenuhi keperluan guna tenaga negara.
Saya berharap agar pelajar-pelajar tajaan JPA dapat menyumbang bakti dalam apa jua cara yang boleh diusahakan, baik sebagai sumber tenaga manusia yang memberikan perkhidmatan, menyokong kewangan negara melalui pembayaran cukai dan memberi sumbang saran idea untuk negara.
JPA sebagai penaja akan terus menyediakan peluang penajaan pendidikan untuk mengupayakan potensi pelajar serta menyesuaikan pakej penajaan kepada keperluan semasa dalam memastikan mereka mendapat manfaat optimum daripada penajaan ini selaras dengan hasrat kerajaan melalui pelaksanaan prinsip Malaysia Madani. –
TIDAK KERJA DI MALAYSIA
Adakah terdapat pelajar tajaan JPA yang tidak kembali berkhidmat di Malaysia dan apakah kesannya?
Jumlah pelajar ditaja mengikuti pengajian di luar negara hanya kira-kira 4.8 peratus daripada jumlah keseluruhan pelajar tajaan JPA sejak 2016. JPA memperkenalkan dasar penangguhan balik dan ia tidak memberi impak signifikan kepada keperluan guna tenaga negara sekiranya pelajar-pelajar tersebut tidak kembali berkhidmat di Malaysia.
Ini kerana lebih 95 peratus pelajar yang ditaja JPA dalam negara mampu menyumbang pengetahuan dan kepakaran mereka dalam sektor pekerjaan yang diceburi di dalam negara.
Dalam jangka masa pendek, dasar baharu diperkenalkan kerajaan ini akan memperoleh manfaat atau pulangan balik pelaburan dalam bentuk bayaran balik pinjaman secara ansuran bulanan sepanjang tempoh penangguhan balik.
Dalam jangka masa panjang pula, kerajaan turut memperoleh manfaat melalui pengetahuan dan kemahiran pekerjaan di luar negara yang dibawa balik pelajar untuk membangunkan negara dalam sektor pekerjaan berkaitan.
Pada masa sama, kebergantungan negara terhadap ekspatriat dalam sektor pekerjaan tertentu dapat dikurangkan.

Jika dilihat jumlah tajaan adalah tinggi, apakah impak penajaan ini kepada golongan pelajar?
Sepanjang tempoh penajaan JPA, bantuan dan sokongan bukan dalam bentuk kewangan semata-mata. Malah, ia merangkumi aspek pemantauan dan pembangunan pelajar ke arah penghasilan bakat yang kompeten dan holistik. Pelajar berpeluang meneroka peluang-peluang di institusi pendidikan yang boleh memberi nilai tambah seperti program mobiliti dan pertukaran pelajar.
Selain itu, prestasi akademik pelajar dipantau rapi agar intervensi dapat diberikan tepat pada masanya bagi memastikan pelajar dapat mengatasi cabaran yang dihadapi dan bergraduat dengan jayanya.
Seterusnya, dengan adanya kelayakan pendidikan, graduan tajaan boleh mendapatkan pekerjaan yang membuka peluang kepada mereka untuk meningkatkan taraf hidup dan keluar dari kepompong kemiskinan, terutamanya bagi graduan daripada latar belakang B40.
Ruang untuk penangguhan balik bagi tujuan bekerja disediakan kepada graduan luar negara. Tambahan pula, peluang penajaan ke peringkat ijazah lanjutan turut disediakan kepada graduan tajaan yang cemerlang. –UTUSAN










