Kembalikan kompas moral masyarakat

Kembalikan kompas moral masyarakat

MASYARAKAT harus sedar bahawa setiap individu, tidak kira keadaan mereka, berhak mendapat layanan yang adil, hormat dan belas kasihan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEJADIAN menyayat hati di Pasar Tani Padang Astaka Chukai, Kemaman, Terengganu yang menyaksikan seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) mental dipukul dan dimaki menonjolkan sisi gelap masyarakat yang tidak manusiawi. 

Insiden ini bukan sahaja mencerminkan kekurangan empati dan adab dalam masyarakat tetapi menunjukkan keperluan mendesak untuk mendidik masyarakat dengan nilai-nilai luhur yang sepatutnya menjadi teras kehidupan bermasyarakat.

Setiap manusia, tidak kira keadaan mental, fizikal atau apa jua status sosialnya berhak diperlakukan dengan hormat dan rahmah. Inilah ajaran agama Islam yang diturunkan untuk memperbaiki akhlak dan mengangkat martabat manusia.

Kezaliman terhadap insan yang lemah dan tidak berdaya bertentangan dengan nilai agama mahupun norma kemanusiaan. 

Tindakan memukul, menyeret,  memalukan mangsa secara terbuka mencerminkan kejahilan terhadap ajaran agama yang menekankan prinsip ihsan dan kasih sayang.

Dalam sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, diceritakan bahawa seorang lelaki Arab Badwi telah membuang air kecil di dalam masjid. Perbuatan tersebut menimbulkan kemarahan para sahabat yang segera memarahinya. 

Namun begitu, Rasulullah dengan tenang mengawal keadaan dan meminta para sahabat supaya menyiram tempat yang terkena najis itu dengan sebekas air. Baginda memahami bahawa perbuatan sedemikian hanya dilakukan oleh seseorang yang belum memahami ajaran agama dengan mendalam.

Baginda bersabda, “Siramlah dengan sebekas air.” Penyelesaian ini dilaksanakan tanpa rasa marah atau benci. Selepas itu, baginda mendekati lelaki tersebut dan memberikan nasihat dengan penuh kasih sayang. 

Sikap hikmah serta kebijaksanaan yang ditunjukkan baginda menjadi panduan unggul dalam berdakwah dan mendidik umat manusia.

Oleh itu, ibu bapa memainkan peranan utama dalam membentuk nilai dan akhlak anak-anak. Namun, kejadian ini menimbulkan kebimbangan  bagi sesetengah ibu bapa mungkin telah menjadi tidak peka terhadap keganasan, sehingga gagal melindungi anak-anak daripada terdedah kepada perlakuan tidak bermoral.

Jika keganasan diterima sebagai perkara biasa, anak-anak akan membesar dengan persepsi yang salah tentang cara menguruskan konflik dan hubungan manusia.

Masyarakat pula harus bertindak sebagai penjaga nilai-nilai murni yang seharusnya menjadi asas kepada kehidupan bermasyarakat agar kesejahteraan dan keharmonian dapat berkekalan. 

Kejadian melampaui batas terhadap lelaki OKU mental ini seharusnya menjadi pengajaran penting kepada kita semua. Masyarakat harus sedar setiap individu, tidak kira keadaan mereka, berhak mendapat layanan yang adil, hormat dan belas kasihan.

Kita perlu kembali kepada nilai-nilai murni yang menjadi asas kepada kehidupan bermasyarakat dengan mengambil teladan daripada ajaran agama dan akhlak mulia yang telah digariskan oleh Rasulullah.

Dengan usaha bersama, kita mampu membentuk sebuah masyarakat yang lebih bertamadun, berempati dan bertanggungjawab.-UTUSAN

BASMIN MAAROF
Pegawai Jabatan Komunikasi Korporat
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN