SEMUA jabatan dan agensi kerajaan sama ada di peringkat persekutuan ataupun negeri boleh memberi pertimbangan untuk tidak menganjurkan majlis sambutan hari raya. Ini susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru–baru ini yang memutuskan untuk tidak menganjurkan majlis sambutan rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri di kediaman rasmi beliau di Seri Perdana pada tahun ini.
Langkah yang diambil Perdana Menteri adalah satu tindakan yang amat bijak dan perlu diikuti semua pemimpin bawahan.
Dalam pada itu, segala wang peruntukan untuk penganjuran rumah terbuka atau majlis sambutan hari raya boleh digunakan untuk aktiviti dan program lain yang lebih membawa makna dan faedah pada rakyat dan negara. Bahkan langkah ini selari dengan saranan
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd. Zuki Ali yang meminta semua jabatan kerajaan untuk mengamalkan proses berjimat cermat.
Menurut beliau, bagi memastikan perbelanjaan kerajaan dibuat secara optimum, penganjuran acara, majlis, keraian rasmi kerajaan, mesyuarat, seminar dan bengkel, dihadkan bagi program yang benar–benar perlu sahaja.
Perkara itu dinyatakan dalam surat edaran Arahan Kawalan Perbelanjaan Awam Kementerian/Jabatan kepada semua ketua setiausaha kementerian dan ketua jabatan dan agensi kerajaan bertarikh 18 Oktober 2023, yang ditandatangani oleh Ketua Setiausaha Negara, turut menyarankan penganjuran acara atau majlis berkenaan dibuat di premis atau Institusi Latihan Awam (ILA). Mesyuarat pula digalakkan diadakan secara dalam talian atau persidangan video, bagi mengurangkan perbelanjaan logistik, mengoptimumkan masa dan perbelanjaan ke atas tuntutan perbelanjaan.
Turut dinyatakan dalam arahan berkenaan ialah penggunaan sumber utiliti seperti elektrik dan air, peralatan pejabat secara optimum dan mengelakkan pembaziran penyediaan makanan serta minuman semasa mesyuarat atau program.
Perbelanjaan awam perlulah dilaksanakan dengan berhemat, bersederhana dan selari dengan keperluan sebenar bagi mengurangkan komitmen kewangan kerajaan dan mengelakkan pembaziran sumber, menurut surat edaran itu.
Kegagalan pegawai awam mematuhi peraturan kewangan yang sedang berkuat kuasa, boleh dikenakan tindakan tegas di bawah Seksyen 18 Akta Tatacara Kewangan 1957 (Akta 61]). Sekiranya kesalahan yang dilakukan lebih serius, mana–mana pegawai yang terlibat boleh didakwa dibawah peruntukan jenayah termasuk dibawah Kanun Keseksaan (Akta 574).-UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)










