SAUDARA PENGARANG,
AGENSI pelaporan kredit memainkan peranan penting dalam menggalakkan ketelusan dan akauntabiliti kewangan. Melalui skor dan laporan kredit, agensi pelaporan secara langsung memberi kuasa kepada individu dan bisnes membuat keputusan kewangan yang berinformasi. Laporan agensi pelaporan amat penting bagi institusi pinjaman menilai kelayakan kredit peminjam, memudahkan amalan pemberian pinjaman yang bertanggungjawab, dan mengurangkan risiko keingkaran.
Laporan kredit juga penting bagi bisnes dalam menilai rakan kongsi, vendor dan pelanggan. Ia dapat membantu bisnes dan individu menilai tahap kesihatan kewangan dan kestabilan rakan kongsi, di samping mengurangkan risiko dan melindungi kepentingan bisnes mereka.
Skor kredit yang rendah berpunca dari pelbagai faktor seperti kekerapan lewat bayaran, hutang yang tinggi, kebankrapan atau sejarah keingkaran pinjaman.
Sikap sambil lewa dalam membuat pembayaran dan kelewatan membayar bil atau pinjaman berulang kali akan mengakibatkan skor kredit rendah, yang mencerminkan ketidakstabilan kewangan.
Masyarakat wajar memahami bahawa manfaat daripada laporan agensi pelaporan kredit menjangkau aspek pemberian pinjaman dan urusan perniagaan.
Agensi ini juga menyumbang kepada kecekapan keseluruhan sistem kewangan dengan memberi penekanan kepada ketelusan dan akauntabiliti.
Melalui penilaian objektif kelayakan kredit, agensi-agensi ini dapat memupuk dan memperkukuhkan kepercayaan dan keyakinan dalam ekosistem kewangan, di samping menyumbang kepada urusan kewangan yang lebih lancar sekali gus menyuburkan pertumbuhan ekonomi.
Malah, laporan kredit juga memainkan peranan penting dalam memerangi penipuan dan jenayah kewangan.
Bahkan laporan ini membantu mengenalpasti risiko dan menghindar penipuan. Ini bukan sahaja melindungi pemberi pinjaman, bisnes dan individu daripada kerugian kewangan, malah dapat melindungi integriti sistem kewangan secara keseluruhan.
Walaupun kes mahkamah terbaharu membawa kritikan kepada agensi berkenaan, namun kita perlu faham terdapat dua perspektif pada setiap isu.
Kritikan yang ditujukan tidak akan memadam manfaat yang dibawa oleh perkhidmatan yang disediakan oleh agensiagensi ini kepada pelbagai bisnes dan
individu.
Akses kepada maklumat kredit yang komprehensif membolehkan mereka membina kredibiliti dengan pembekal, mendapat pembiayaan dan memperluas operasi mereka.
Dalam persekitaran bisnes yang kompetitif, sejarah kredit yang positif sudah pasti akan memberi akses kepada sumber-sumber penting dan membuka peluang pertumbuhan bisnes.
Menyalahkan laporan agensi pelaporan kredit kerana gagal bertanggungjawab dalam urusan kewangan, adalah sekadar memindahkan kesalahan dan mencerminkan sikap tidak mahu menerima kelemahan sendiri.
Sebaliknya, puncanya termasuk kecuaian pengurusan perbelanjaan, bayaran lewat berterusan dan mengabaikan hutang. Kesemuanya merupakan gejala ketidakbertanggungjawaban kewangan.
Masyarakat perlu lebih bertanggungjawab terhadap kedudukan kewangan sendiri.
Agensi pelaporan kredit menyediakan perkhidmatan penting dengan menilai risiko dan mengetengahkan ketelusan kewangan.
Daripada menyalahkan agensi-agensi ini, bukankah lebih baik kita menganggap laporan kredit mereka sebagai ‘amaran awal’.
Masyarakat juga perlu mengutamakan disiplin kewangan dan akauntabiliti persendirian agar dapat memperbaiki status kredit dan kewangan masing-masing.-UTUSAN
NAZRI MI
Sri Hartamas, Kuala Lumpur.










