SAUDARA PENGARANG,
NOVEMBER lalu, pasaran dunia kewangan dikejutkan dengan berita firma perdagangan mata wang kripto, FTX jatuh muflis. Sebagai pasaran mata wang kripto kedua terbesar dunia selepas Binance, berita ini sudah pastinya menggemparkan pasaran kewangan.
Oleh kerana jual beli dalam pasaran mata wang kripto tidak sama seperti di bursa saham, maka tiada banyak maklumat diketahui atau disebarkan kepada orang awam. Bahkan mata wang ini juga tidak sama dengan mata wang tradisional dipanggil sebagai mata wang fiat disokong secara sah dari segi undang-undang oleh kerajaan yang menerbitkan mata wang tersebut. Penilaian sesuatu mata wang tertakluk kepada faktor yang berkaitan dengan negara penerbit sama ada ekonomi, politik, geopolitik dan lain-lain lagi.
Perkara ini tidak berlaku pada mata wang kripto. Pertama, mata wang kripto bersifat virtual. Ia perlu ditukarkan terlebih dahulu kepada mata wang fiat sekiranya hendak membeli barangan atau perkhidmatan. Oleh demikian, mata wang kripto belum lagi memenuhi sifat asas mata wang yang pertama iaitu keupayaan untuk menjadi medium pertukaran dan urus niaga kerana ada pihak yang tidak menerimanya.
Kedua, penerbitan dan penawarannya tidak bergantung kepada sesebuah negara atau kerajaan. Sebaliknya penawaran mata wang kripto dibekalkan oleh mereka yang dipanggil sebagai penggali (miners).
Penganalisis teknologi berpendapat, pada masa depan bilangan mata wang kripto yang dihasilkan akan semakin banyak apabila teknologi dan kemahiran semakin meningkat tinggi. Ini bererti besar kemungkinan mata wang ini yang dihasilkan tiada sebarang nilai bermakna.
Salah satu mata wang kripto, Bitcoin jatuh nilainya daripada RM240,000 kepada RM75,000 per unit yang merupakan kejatuhan lebih dua pertiga daripada nilai awalnya dalam tempoh setahun. Kejatuhan yang begitu tinggi dalam tempoh pendek menunjukkan ia tidak memenuhi satu lagi ciri utama iaitu keupayaan menyimpan nilai dengan baik.
Justeru, mata wang kripto belum mampu menggantikan mata wang tradisional yang boleh digunakan sebagai medium pertukaran dan transaksi atau yang boleh menyimpan nilai dengan baik. Walaupun begitu, ramai pelabur sama ada individu atau institusi yang sanggup mengambil risiko dengan melabur dalam pasaran mata wang kripto. Ini terbukti apabila banyak pelabur institusi mengalami kerugian besar dalam pelaburan FTX ini, antaranya Temasik Holdings dari Singapura yang rugi 275 juta dolar Amerika Syarikat.
Namun, pengalaman lepas menunjukkan teknologi baharu perlukan masa yang lama antara 10 hingga 20 tahun sebelum diterima baik dalam pasaran dan pengguna.
Buat masa ini, mata wang kripto masih belum mampu menggantikan mata wang fiat sebagai salah satu cara berurus niaga kerana bersifat spekulatif. Harga mata wang kripto turun dan naik tanpa disokong oleh sebarang asas ekonomi yang kuat.
Wujud unsur ketidakpastian (gharar) yang besar dalam urus niaga mata wang kripto menyebabkan urus niaga ini meragukan dari sudut muamalat Islam. Ini adalah satu isu harus dilihat dengan lebih serius terutamanya oleh pelabur institusi yang mewakili organisasi dan perniagaan Islam.-UTUSAN
DR. AZIAN MADUN
Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya