SAYA bersetuju dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya syarikat-syarikat besar yang memperoleh keuntungan besar membayar gaji yang tinggi kepada kakitangan dan pekerja-pekerjanya.
Bukan sahaja kakitangan dan pekerja-pekerja perlu dibayar gaji tinggi sebaliknya vendor dilantik juga perlu dibayar dengan kadar lebih munasabah.
Kemampuan vendor untuk membayar gaji lebih tinggi kepada kakitangan dan pekerja-pekerjanya bergantung kepada bayaran diterima dari syarikat besar yang melantiknya sebagai vendor. Masih terdapat syarikat-syarikat besar, termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang melantik vendor berdasarkan harga terendah ditawarkan.
Sebagai contoh, kontraktor pembersihan dilantik dengan nilai kontrak kurang RM2,500 bagi setiap pekerja, sedangkan kos sebenar yang ditanggung melebihi jumlah tersebut. Bagi mengekalkan keuntungan dengan harga tawaran yang rendah, ada kontraktor yang tidak membuat caruman wajib untuk pekerja, selain tidak menyediakan cuti tahunan bergaji.
Amalan melantik vendor berdasarkan harga terendah menyebabkan pekerja-pekerja vendor teraniaya. Tanpa caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), mereka tidak mempunyai simpanan untuk masa depan.
Tanpa caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), mereka tidak dilindungi sekiranya ditimpa kemalangan di tempat kerja.
Tanpa caruman Sistem Insurans Pekerjaan (SIP), mereka tidak dilindungi sekiranya berlaku pengurangan pekerja dan tanpa caruman Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB), mereka tidak memperoleh latihan yang diperlukan. Selain itu mereka bekerja tanpa cuti tahun yang diwajibkan di bawah Akta Pekerjaan.
Saya tidak menyalahkan kontraktor pembersihan 100 peratus kerana persaingan dalam sektor ini amat sengit. Bagi mengekalkan kelangsungan perniagaan, kontraktor terpaksa menawarkan harga yang kompetitif untuk memenangi kontrak. Namun, syarikat besar dengan segala kemampuan dan sumber yang ada seharusnya menyediakan peruntukan munasabah bagi kerja pembersihan, bukannya bergantung kepada tawaran harga terendah.
Pembayaran yang lebih munasabah kepada vendor bukan sahaja dapat mengelakkan penganiayaan terhadap pekerja, malah membantu memastikan perkhidmatan diterima lebih berkualiti dan memenuhi standard ditetapkan.
Vendor juga mempunyai ruang untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan apabila pemilihan dibuat berdasarkan rekod prestasi, bukan semata-mata harga terendah.
Syarikat besar yang memperoleh keuntungan tinggi juga wajar membantu meningkatkan keupayaan usahawan kecil dan sederhana. Bayaran yang munasabah membolehkan vendor meningkatkan kemahiran serta kecekapan kakitangan melalui latihan dan pemberian insentif. Pada masa sama, mereka dapat memperkukuh pengurusan menerusi sistem pengurusan kualiti dan amalan hijau.
Syarikat besar juga perlu mempertimbangkan penyelarasan nilai kontrak selaras dengan kenaikan gaji minimum.
Kontraktor semakin sukar mengurangkan bilangan pekerja bagi sesuatu kontrak tanpa menjejaskan kualiti perkhidmatan.
Setiap kali gaji minimum dinaikkan, kontraktor sering diminta mengurangkan jumlah pekerja untuk mengekalkan harga kontrak lama, sedangkan produktiviti pekerja sudah mencapai tahap maksimum. –UTUSAN
NORUDDIN IDRIS
Persatuan Pengurusan Pembersihan Malaysia (MACM)











