NASIHAT yang sering diberikan kepada seorang ahli keluarga yang mengalami masalah kesihatan mental ialah supaya bersabar, memahami dan terus memberikan sokongan.
Nasihat itu tidak salah kerana keluarga sering menjadi pihak pertama menyedari perubahan tingkah laku serta orang terakhir yang masih bertahan ketika orang lain mula menjauh.
Namun, apa yang harus dilakukan apabila individu yang kita sayangi mula mengamuk, mengugut, merosakkan barang atau memukul ahli keluarga sendiri?
Apabila keselamatan mula terancam, keluarga juga perlu dilindungi. Pada masa sama, kita tidak boleh menganggap individu yang mengalami masalah kesihatan mental sebagai ganas kerana tanggapan sedemikian hanya menambahkan stigma.
Dalam krisis tertentu, seseorang boleh menjadi terlalu gelisah, keliru, mengalami halusinasi atau menunjukkan perubahan ketara pada pemikiran dan tingkah laku. Keadaan boleh menjadi lebih rumit apabila melibatkan penyalahgunaan dadah atau bahan terlarang.
Justeru, keluarga tidak seharusnya membuat diagnosis sendiri. Tingkah laku agresif atau luar kebiasaan boleh berpunca daripada masalah kesihatan mental, penggunaan bahan, keadaan perubatan tertentu atau gabungan beberapa faktor.
Ini bermakna, penilaian profesional diperlukan untuk menentukannya.
Apabila keadaan tidak terkawal, keutamaan pertama ialah keselamatan. Elakkan tindakan yang boleh meningkatkan kemarahan dan jauhkan kanak-kanak, warga emas serta ahli keluarga lain daripada keadaan berbahaya.
Jika berlaku serangan fizikal, ancaman mencederakan diri atau orang lain, selain terdapat risiko kecederaan nyata, keluarga tidak seharusnya mengendalikan keadaan seorang diri. Bantuan kecemasan perlu diperoleh.
Membawa seseorang ke hospital bukan bermaksud keluarga sudah tidak menyayanginya, sebaliknya boleh menjadi tindakan paling bertanggungjawab.
Selepas keadaan stabil, proses pemulihan mungkin masih panjang dan memerlukan rawatan susulan, terapi, rehabilitasi atau intervensi berkaitan.
Dalam proses ini, penjaga juga tidak harus dilupakan. Mereka boleh penat, takut dan tertekan selepas berdepan keadaan sukar berbulan-bulan atau bertahun-tahun.
Keluarga sememangnya penting dalam pemulihan tetapi mereka tidak boleh diharapkan menjadi doktor, jururawat, kaunselor dan petugas keselamatan serentak.
Ada waktunya, tindakan paling menyayangi seseorang ialah mengakui keluarga tidak lagi mampu mengendalikan krisis itu sendirian dan bantuan profesional perlu diperoleh. –UTUSAN
DR. KHAIRUL HAFEZAD ABDULLAH
Program Pengurusan Keselamatan
dan Kesihatan Pekerjaan,
Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan,
Universiti Utara Malaysia (UUM)











