AL-QURAN dan sunnah memberikan penekanan yang besar terhadap penjagaan alam sekitar. Setiap manusia dituntut untuk memelihara alam sebagai kurniaan dan nikmat Allah SWT yang tidak ternilai.
Islam melarang perbuatan yang mencemarkan dan memusnahkan alam sekitar. Sebaliknya, manusia digalakkan memanfaatkan serta memelihara khazanah alam dengan sebaik-baiknya demi kebaikan bersama.
Usaha memelihara alam sekitar amat mulia di sisi Islam, malah dianggap sebagai satu bentuk ibadat yang mendapat ganjaran daripada Allah SWT.
Alam sekitar bukan sekadar berkaitan keindahan dan kebersihan fizikal. Keseimbangan alam serta ekosistem turut mempengaruhi keharmonian dan kesejahteraan hidup manusia. Oleh itu, pembangunan negara dan kemajuan ekonomi perlu bergerak seiring dengan usaha memelihara alam sekitar.
Tanpa pokok dan hutan yang mencukupi, menyebabkan kawasan tadahan hujan akan terjejas sehingga mengganggu bekalan air. Kemusnahan hutan juga mengurangkan keupayaan alam menyerap karbon dioksida, manakala pencemaran udara mengancam kesihatan manusia dan hidupan lain.
Ajaran agama menjelaskan alam sekitar merupakan antara tanda kebesaran Allah SWT dalam penciptaan alam semesta. Islam turut mengajar manusia supaya menghormati aturan alam dan memelihara keseimbangannya. Atas dasar itu, penjagaan alam sekitar turut diketengahkan sebagai salah satu teras konsep Islam Hadhari.
Setiap orang beriman hendaklah berusaha memastikan alam sekitar sentiasa bersih dan terpelihara, bukan sahaja ketika keadaan aman tetapi dalam apa-apa jua situasi.
Islam mengajar umatnya supaya memelihara kelestarian alam kerana kehijauan hutan, kebiruan langit dan keindahan bumi mencerminkan kebesaran Allah Yang Maha Berkuasa lagi Maha Pencipta.
Bumi ini bukan milik manusia untuk diperlakukan sesuka hati. Sebaliknya, bumi ialah milik Allah yang diamanahkan kepada manusia untuk didiami bersama makhluk lain. Amanah ini menuntut manusia mematuhi perintah Allah SWT serta menjaga kesejahteraan seluruh kehidupan.
Sebagai khalifah Allah SWT di muka bumi, manusia bertanggungjawab memelihara alam dan tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya seolah-olah segala perbuatannya tidak akan dipersoalkan. Setiap amanah perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab kerana setiap perbuatan akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah.
Setiap kebaikan dan tanggungjawab yang dilaksanakan dengan ikhlas pasti mendapat ganjaran yang setimpal. Sesungguhnya Allah Maha Adil, Maha Pemurah lagi Maha Bijaksana.
Ayuh, rakyat Malaysia! Jika benar kita menyayangi alam sekitar, buktikanlah melalui tindakan. Ketika mengagumi kejora di langit biru, jangan dilupakan kehijauan rumput di bumi. Apalah gunanya bangunan pencakar langit menjulang tinggi jika hutan semula jadi pula gondol akibat kerakusan manusia. –UTUSAN
IBNU ARASY DZIKRULLAH
Kepala Batas,
Pulau Pinang











