FILEM boleh menjadi medium untuk memupuk perpaduan, termasuk melalui genre komedi yang santai dan mudah diingati, terutama apabila dialog lucunya terus disebut semula selepas menonton.
Dalam situasi hari ini, kehadiran warga asing yang bekerja dan menetap di negara ini sememangnya semakin biasa.
Mungkin kerana faktor itu, watak warga asing sesekali dipilih dalam babak komedi, khususnya untuk menonjolkan sebutan bahasa Melayu mereka.
Namun, perkara tersebut tidak seharusnya dinormalisasikan secara berlebihan.
Sebutan pelat warga asing yang berulang dalam filem atau drama dikhuatiri menjadi ikutan, terutama dalam kalangan kanak-kanak yang mudah menyerap apa yang dilihat dan didengar.
Anak-anak sekarang juga semakin biasa menggunakan bahasa Indonesia hasil pengaruh media sosial.
Jangan sampai masyarakat kita pula terbiasa menggunakan sebutan Melayu yang terikut-ikut dengan gaya pertuturan asing ketika berkomunikasi dengan orang luar.
Sebaliknya, pihak penerbit boleh memperbanyak watak daripada pelbagai etnik tempatan dalam filem dan drama.
Pendekatan ini bukan sahaja dapat menyemai kesatuan, malah memaparkan wajah Malaysia yang kaya dengan suku kaum serta budaya.
Etnik dari Sabah dan Sarawak seperti Iban dan Dusun juga boleh diberi ruang dalam karya Melayu, kerana kehadiran mereka masih agak jarang ditampilkan.
Kepelbagaian dialek dan bahasa tempatan pula boleh menjadi penambah perisa yang menjadikan jalan cerita lebih menarik.
Kita pernah dihiburkan dengan watak seperti Param, Ayappan, Acappan dan Saathiya. Tidak adakah pelakon berbangsa India, Cina serta etnik lain yang boleh meneruskan legasi tersebut?
Sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu juga pernah memaparkan watak Melayu, Cina dan India yang hidup bersama dalam satu komuniti.
Lebih banyak filem dan telefilem yang menampilkan kepelbagaian etnik tempatan wajar dihasilkan dan diberi ruang tayangan, khususnya sempena sambutan seperti Hari Malaysia.
Karya sebegini mampu menjadi hiburan yang mencerminkan kepelbagaian masyarakat, sekali gus menyuburkan semangat perpaduan. – UTUSAN
PEMERHATI
Kuala Lumpur











