PENIPUAN dalam talian bukan lagi isu yang hanya menimpa individu yang dianggap ‘naif’ dengan teknologi. Dalam dunia digital hari ini, sesiapa sahaja boleh menjadi sasaran, termasuk golongan berpendidikan, profesional dan pengguna tegar media sosial.
Ada yang kehilangan simpanan akibat penipuan pelaburan, terpedaya dengan tawaran pekerjaan palsu atau menyerahkan maklumat perbankan selepas menerima panggilan daripada individu yang menyamar sebagai pegawai bank dan pihak berkuasa.
Mengapa masih ramai menjadi mangsa walaupun kempen kesedaran semakin banyak dijalankan?
Penipuan siber bukan semata-mata mengeksploitasi kelemahan teknologi tetapi turut memanipulasi kelemahan manusia.
Penjenayah tidak semestinya perlu memecahkan sistem komputer atau menggunakan teknologi kompleks. Mereka hanya perlu membuat seseorang berasa takut, teruja, tamak, kasihan atau terdesak sehingga bertindak tanpa berfikir panjang.
Pandangan mangsa scam tidak bijak atau tidak celik teknologi juga perlu diubah. Seseorang mungkin mahir menggunakan aplikasi perbankan tetapi panik apabila menerima panggilan yang mendakwa terdapat transaksi mencurigakan dalam akaunnya.
Seorang profesional pula boleh terpengaruh dengan mesej yang menyamar sebagai ketua dan meminta bayaran segera. Dalam keadaan tertekan, manusia cenderung memberi tumpuan kepada masalah yang perlu diselesaikan segera berbanding mempersoalkan kesahihan maklumat.
Justeru, literasi digital bukan sekadar kemampuan menggunakan teknologi. Yang lebih penting ialah keupayaan menilai maklumat, mengenal pasti manipulasi, membuat pengesahan dan mengambil keputusan dengan selamat.
Cabaran ini semakin besar apabila teknologi berkembang. Jika dahulu mesej penipuan mudah dikenal pasti melalui kesalahan ejaan atau pautan mencurigakan, kini kandungannya boleh kelihatan lebih profesional dan menggunakan identiti organisasi yang dikenali.
Kecerdasan buatan (AI) pula berpotensi menjadikan penipuan lebih meyakinkan melalui teks, imej, suara atau kandungan yang menyerupai individu sebenar. Oleh itu, pengguna tidak boleh lagi bergantung kepada satu petunjuk mudah. Sebaliknya, bina tabiat berhenti seketika sebelum bertindak. Jika menerima mesej yang mendesak bayaran, meminta maklumat peribadi atau mengarahkan klik pautan, maka buat pengesahan melalui saluran rasmi.
Peranan keluarga juga penting. Individu yang lebih celik teknologi sering menjadi tempat rujukan apabila ibu bapa atau saudara-mara menerima mesej mencurigakan.
Soalan seperti “Betul ke mesej ini daripada bank?” tidak sepatutnya dipandang remeh. Jadikan bertanya sebelum bertindak sebagai budaya. Lebih baik seseorang bertanya berkali-kali daripada membuat satu keputusan yang menyebabkan kehilangan ribuan ringgit.
Maklumat tentang scam juga perlu dikongsi sebelum kejadian berlaku, bukan selepas seseorang menjadi mangsa. Jika mengetahui modus operandi baharu, terangkan kepada keluarga bagaimana penipuan itu berfungsi, maklumat yang diminta, cara penjenayah mewujudkan rasa panik serta langkah untuk mengesahkannya.
Pendidikan sebegini bukan sekadar memberi amaran tetapi membina keupayaan membuat keputusan.
Pada masa sama, mangsa tidak perlu berasa malu untuk mengakui dirinya tertipu. Rasa takut dimarahi atau dianggap cuai boleh menyebabkan seseorang lambat mendapatkan bantuan.
Kelewatan hanya memberikan lebih banyak masa kepada penjenayah. Menjadi mangsa bukan sesuatu yang memalukan.
Yang penting ialah bertindak segera, mendapatkan bantuan dan belajar daripada pengalaman tersebut. Perkongsian seorang mangsa juga boleh membantu orang lain mengelakkan modus operandi yang sama. -UTUSAN
DR. NUR SYAZWANI AHMAD
Pensyarah Kanan,
Jabatan Sains Sosial, Pusat Asasi Sains,
Universiti Malaya











