Apa masa depan bekalan makanan negara?

Apa masa depan bekalan makanan negara?

PERTANIAN bandar boleh menjadi salah satu usaha jangka panjang untuk memperkukuh bekalan makanan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANTAIAN bekalan makanan hari ini makin mudah terganggu disebabkan beberapa faktor seperti perubahan cuaca, peningkatan harga input dan peningkatan kos sara hidup. Oleh itu, isu keterjaminan makanan penting dan tidak boleh dipandang remeh.

Keterjaminan makanan bukan sekadar tentang cukup tetapi lebih luas daripada itu. Negara perlu dapat menjamin makanan sentiasa ada, senang dicapai dan orang ramai mampu untuk membelinya. 

Dalam hal ini, pengeluaran makanan setempat mampu memainkan peranan besar dalam memperkukuhkan sistem bekalan makanan negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sehubungan itu, pertanian bandar jelas dilihat sebagai penyelesaian jangka panjang. Ia bukan sekadar dapat menjamin bekalan makanan tidak putus tetapi turut membina sistem yang lebih mantap, fleksibel dan dekat dengan rakyat.

Antara kelebihan utama pertanian bandar adalah rakyat boleh menghasilkan sendiri sebahagian keperluan makanan dan betul-betul dekat dengan golongan pengguna. Selain itu, ruang yang terhad dapat dimanfaatkan dengan menggunakan teknologi penanaman moden seperti hidroponik, pertanian bertingkat dan sistem menegak.

Sebagai contoh, melalui kaedah hidroponik, sayur boleh ditanam tanpa tanah dan tanaman disusun secara bertingkat dalam satu ruang. Ini dapat menambah hasil walaupun keluasan terhad. 

Ruang seperti halaman rumah, balkoni, ruang komuniti dan kawasan atas bangunan boleh dimanfaatkan. Walaupun skala pengeluaran pertanian bandar secara kecil-kecilan tetapi mampu menjadi pelengkap kepada rantaian bekalan makanan sedia ada.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan juga sedang giat mempromosi konsep Pertanian Kebuniti. Kebun komuniti membawa idea ruang milik komuniti di bandar boleh ditransform menjadi kawasan yang menghasilkan makanan dan di samping menjadi tempat masyarakat berkumpul menimba ilmu mempelajari teknologi dan amalan pertanian moden. 

Dengan wujudnya ruang hijau seperti ini dapat memberikan wajah baharu kepada kawasan bandar yang lazimnya dipenuhi dengan bangunan konkrit. Ia boleh diibaratkan sebagai oasis hijau di tengah-tengah pembangunan bandar.

Bagi menjayakannya memerlukan kerjasama banyak pihak. Dari segi dasar kerajaan, teknologi, latihan, dana, sehinggalah kepada kerjasama serta semangat komuniti. 

Peruntukan atau sumbangan dana sangat penting dan wajar untuk disalurkan ke program pembangunan komuniti, latihan teknikal, teknologi terbaharu dan modal pertanian bandar. 

Program pemerkasaaan, pemantauan serta penyelenggaraan berterusan dan kesungguhan penglibatan komuniti juga penting bagi meningkatkan daya tahan pertanian bandar. 

Pertanian bandar ini tidak boleh dianggap sekadar trend sekejap. Ia harus jadi wawasan jangka panjang negara untuk membina sistem bekalan makanan yang kukuh. 

Justeru, dalam memperkukuh keterjaminan makanan negara, kerjasama antara kerajaan dan masyarakat merupakan tunjang utama. Kerajaan boleh menyediakan dasar dan sokongan, manakala masyarakat pula menjadi penggerak di peringkat komuniti. 

Kerjasama tersebut boleh mewujudkan ekosistem pertanian bandar yang lebih kukuh. Mungkin pertanian bandar bukan satu-satunya penyelesaian kepada isu keterjaminan makanan, namun boleh menjadi antara komponen penting dalam membina sistem bekalan makanan yang lebih berdaya tahan. 

Tidak mustahil, masa depan pertanian Malaysia bermula bukan di kawasan tanah yang luas tetapi di sebuah kebun kecil milik komuniti yang tumbuh di tengah-tengah bandar. –UTUSAN

 

DR. ROZANA SAMAH

Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB),

Universiti Utara Malaysia (UUM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×