Apa makna tanggal 31 Ogos kepada Sabah?

Apa makna tanggal 31 Ogos kepada Sabah?

31 Ogos mempunyai makna tersendiri dalam sejarah Sabah, manakala 16 September menyatukan perjalanan dalam pembentukan Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP kali tiba 31 Ogos, rakyat Malaysia menyambut Hari Kebangsaan bagi memperingati kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 1957.

Pada 16 September pula, kita memperingati Hari Malaysia, iaitu pembentukan Persekutuan Malaysia pada 1963. Namun, dari perspektif Sabah, 31 Ogos mempunyai satu lagi makna penting dalam perjalanan politik negeri itu.

Pada 31 Ogos 1963, Sabah yang ketika itu dikenali sebagai Borneo Utara memasuki fasa baharu apabila pentadbiran kolonial British berakhir dan pemerintahan sendiri berkuat kuasa. Justeru, tarikh tersebut membawa dua memori sejarah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Di Persekutuan Tanah Melayu, 31 Ogos 1957 menandakan kemerdekaan daripada British. Di Sabah pula, 31 Ogos 1963 menandakan berakhirnya pemerintahan kolonial dan bermulanya pemerintahan sendiri, 16 hari sebelum pembentukan Malaysia.

Perbezaan pengalaman ini penting untuk difahami kerana sejarah Malaysia tidak terbina daripada satu latar yang seragam.

Menjelang pembentukan Malaysia, masa depan politik Borneo Utara mendapat perhatian serius. Gabenor British terakhir Borneo Utara, Sir William Goode, pada 28 Ogos 1963 mengumumkan Sabah akan mempunyai kerajaan sendiri dengan Perlembagaan Negeri baharu yang berkuat kuasa mulai 31 Ogos 1963. Persiapan turut dibuat di seluruh daerah bagi memperingati tarikh tersebut.

Dalam konteks inilah 31 Ogos 1963 memperoleh kedudukan tersendiri dalam sejarah Sabah. Ia bukan 31 Ogos 1957 dan bukan juga 16 September 1963, sebaliknya menjadi titik penting dalam perjalanan Sabah daripada pemerintahan kolonial kepada pemerintahan sendiri sebelum pembentukan Malaysia.

Selepas sekian lama kurang diberikan perhatian, Kerajaan Sabah menghidupkan kembali sambutan Hari Sabah pada 31 Ogos 2023. Perkembangan lebih penting berlaku pada 5 Jun 2024 apabila 31 Ogos secara rasmi diisytiharkan sebagai Hari Sabah.
Perisytiharan itu disiarkan dalam Warta Kerajaan Sabah pada 20 Jun 2024 dengan pernyataan bahawa “31 August is hereby declared as Sabah Day.”

Maka, tidak tepat untuk mengatakan Hari Sabah belum diwartakan. Pengiktirafan tersebut sudah jelas. Namun, satu persoalan masih wajar diberikan perhatian.

Berdasarkan Ordinan Hari Kelepasan (Sabah Bab 56)yang dikemas kini sehingga 25 Mei 2026, pelbagai Hari Kelepasan Am Negeri Sabah disenaraikan, termasuk Hari Pekerja, Pesta Kaamatan, Hari Kebangsaan, Hari Malaysia, Deepavali dan Hari Krismas. Namun, Hari Sabah belum disenaraikan secara berasingan dalam Jadual Pertama Ordinan tersebut.

Bagi 31 Ogos, yang disenaraikan ialah Hari Kebangsaan.

Persoalannya kini bukan sama ada Kerajaan Sabah mengiktiraf Hari Sabah kerana pengiktirafan itu sudah jelas. Sebaliknya, adakah pengiktirafan tersebut perlu diterjemahkan dengan lebih jelas dalam struktur perundangan Hari Kelepasan Am negeri?

Berbeza dengan Sarawak, kalendar rasmi negeri itu menyenaraikan 22 Julai sebagai Hari Sarawak, selain 31 Ogos sebagai hari Kebangsaan dan 16 September sebagai Hari Malaysia.

Namun, perbincangan ini bukan untuk membandingkan atau mempertandingkan tarikh kerana 31 Ogos 1957, 31 Ogos 1963 dan 16 September 1963 mempunyai konteks sejarah masing-masing.

Malaysia terbentuk daripada wilayah yang mempunyai pengalaman kolonial serta perjalanan politik berbeza. Memahami sejarah Sabah tidak mengurangkan kepentingan sejarah Tanah Melayu, begitu juga sebaliknya. Ketiga-tiga tarikh tersebut saling melengkapi dalam membentuk naratif sejarah Malaysia.

Kini, setelah Hari Sabah dihidupkan kembali dan 31 Ogos diwartakan sebagai Hari Sabah, persoalan seterusnya ialah bagaimana kedudukannya dapat diterjemahkan secara konsisten dalam dokumen, kalendar dan kerangka perundangan Sabah.

31 Ogos 1957 ialah sebahagian daripada sejarah Malaysia. 31 Ogos 1963 juga demikian, manakala 16 September 1963 menyatukan perjalanan tersebut melalui pembentukan Malaysia.

Memahami setiap tarikh dalam konteksnya bukan memecahkan naratif sejarah kebangsaan, sebaliknya melengkapkannya. –UTUSAN

DR. ASZLAN SELAMAT
Pensyarah Kanan,
Unit Sejarah dan Kenegaraan Malaysia,
Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun,
dan Falsafah (SLCP),
Universiti Utara Malaysia (UUM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini