Perpaduan jangan dipolitikkan

Perpaduan jangan dipolitikkan

USAHA memperkukuh perpaduan memerlukan pendekatan yang menyeluruh, sama ada untuk jangka pendek mahupun jangka panjang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAYSIA ialah sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian bangsa, agama dan budaya. Namun, masyarakat mudah bergolak apabila isu sensitif berkaitan kaum atau keagamaan dimainkan oleh pihak tidak bertanggungjawab. Jika tidak ditangani secara bijaksana, keadaan ini boleh mencetuskan ketegangan, merenggangkan hubungan sosial serta melemahkan semangat kebersamaan.

Justeru, usaha memperkukuh perpaduan memerlukan pendekatan yang menyeluruh, sama ada untuk jangka pendek mahupun jangka panjang. Program dan inisiatif berkaitan integrasi nasional perlu berteraskan Perlembagaan Persekutuan serta Rukun Negara supaya setiap rakyat memahami hak, tanggungjawab dan batas dalam kehidupan bersama.

Dasar Perpaduan Negara turut menekankan pembentukan identiti nasional melalui jati diri, patriotisme, toleransi, sikap prihatin, saling menghormati dan rasa bertanggungjawab. Nilai tersebut perlu diterjemahkan dalam kehidupan seharian, bukan sekadar menjadi ungkapan dalam dokumen atau slogan rasmi.

Sebahagian besar konflik berkaitan kaum dan agama sebenarnya boleh dielakkan sekiranya masyarakat memahami serta menghayati prinsip yang termaktub dalam Perlembagaan. Sebarang usaha politik atau gerakan berasaskan kepentingan kelompok tidak seharusnya melampaui batas yang telah dipersetujui bersama.

Dalam hal ini, pihak berkuasa juga perlu menunjukkan teladan. Usaha mempertahankan keharmonian akan kehilangan wibawa sekiranya tindakan pemerintah sendiri bercanggah dengan semangat Perlembagaan dan Rukun Negara. Reformasi yang sebenar mestilah berasaskan keadilan, tertib serta kepentingan nasional.

Sejarah negara membuktikan pemimpin terdahulu memahami kepentingan kerjasama merentas kaum. Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj memperjuangkan permuafakatan sehingga terbentuk Parti Perikatan, manakala Tun Abdul Razak Hussein meneruskan pendekatan tersebut melalui Barisan Nasional (BN). Pada 1961, beliau turut mengingatkan mengenai ancaman komunisme, korupsi dan komunalisme yang dikenali sebagai 3K.

Hari ini, peningkatan polemik agama dan perkauman perlu menjadi peringatan kepada semua pihak. Ahli politik tidak wajar menggunakan sentimen tersebut demi kepentingan tertentu kerana tindakan sedemikian boleh merosakkan kepercayaan masyarakat serta menghakis keharmonian yang dibina sejak sekian lama.

Jawatankuasa Pengurusan Isu Perpaduan yang diterajui Kementerian Perpaduan Negara bersama agensi berkaitan juga perlu menangani isu secara holistik, adil dan berlandaskan kepentingan nasional.

Seluruh rakyat termasuk ahli politik wajar memperbaharui tekad untuk memperkukuh kebersamaan. Kepelbagaian perlu diraikan dengan berpegang pada Perlembagaan, Rukun Negara serta semangat permuafakatan yang menjadi asas pembentukan Malaysia.

Pengalaman sejarah hendaklah dijadikan pedoman agar keharmonian tidak sekadar diwarisi tetapi terus dipelihara bersama untuk generasi akan datang. –UTUSAN

MOHD. AYOP ABD. RAZID
Penganalisis sosiopolitik bebas

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×