Taasub beri kesan buruk pada ekonomi

Taasub beri kesan buruk pada ekonomi

ASEAN Mall merupakan sebahagian daripada projek Madinatussalam yang dibangunkan oleh Syarikat Patanijaya melalui kerjasama usahawan dan pemodal tempatan serta Malaysia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEDUNG besar ASEAN Mall yang berdiri megah di pinggir bandar Pattani, Thailand, sepatutnya menjadi simbol kebanggaan masyarakat Islam di wilayah tersebut. Setiap produk yang ditawarkan adalah halal, termasuk barangan keluaran Malaysia yang dibawa masuk bagi memenuhi keperluan dan cita rasa pengguna tempatan.

Pada peringkat awal operasi, pusat membeli-belah itu menerima sambutan menggalakkan. Namun, keadaan berubah apabila kunjungan pelanggan semakin berkurangan sehingga menjadikan gedung tersebut semakin lengang.

Antara faktor yang sering dikaitkan dengan kemerosotan sambutan ialah dakwaan ASEAN Mall mempunyai kaitan dengan gerakan Wahabi-Salafi yang dikatakan menggunakan hasil keuntungan perniagaan untuk tujuan penyebaran fahaman tertentu. 

Walaupun dakwaan tersebut menjadi perdebatan dalam masyarakat, namun persepsi berkenaan akhirnya mempengaruhi sebahagian pengguna yang memilih untuk menjauhkan diri daripada gedung berkenaan.

Dalam masyarakat yang majoritinya berpegang kepada aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah, terdapat kebimbangan terhadap penyebaran fahaman yang dianggap berbeza daripada pegangan tradisional. Kebimbangan itu menyebabkan sebahagian masyarakat mengambil pendekatan memboikot ASEAN Mall kerana khuatir mempunyai kaitan dengan aliran tertentu.

Namun, keadaan ini menimbulkan persoalan sama ada keputusan tersebut dibuat berdasarkan maklumat yang tepat atau sekadar dipengaruhi persepsi yang belum disahkan. Akibatnya, sebuah pusat perniagaan yang dibangunkan untuk memperkukuh ekonomi masyarakat tempatan turut terpalit dengan polemik berkaitan perbezaan kefahaman agama.

Hakikatnya, ASEAN Mall dibangunkan bukan sekadar sebagai pusat jual beli tetapi membawa konsep perniagaan berteraskan wakaf. Setiap pembelian yang dibuat menyumbang 10 peratus kepada tabung wakaf yang kemudiannya disalurkan semula melalui pelbagai bentuk bantuan, termasuk zakat serta sokongan kepada golongan kurang berkemampuan.

Keistimewaan inilah yang membezakan ASEAN Mall daripada pusat perniagaan biasa. Selain menawarkan produk halal pada harga berpatutan, konsep tersebut turut menggabungkan aktiviti ekonomi dengan tanggungjawab sosial terhadap masyarakat.

ASEAN Mall merupakan sebahagian daripada projek Madinatussalam yang dibangunkan oleh Syarikat Patanijaya melalui kerjasama usahawan dan pemodal tempatan serta Malaysia. Matlamat utamanya adalah meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat Pattani selain menyediakan ruang pemasaran kepada produk halal dari rantau ASEAN.

Namun, usaha tersebut berdepan cabaran apabila niat pembangunan ekonomi disalah tafsir akibat perbezaan pandangan berkaitan isu agama. Kesannya, masyarakat tempatan sendiri kehilangan peluang untuk menyokong sebuah inisiatif yang berpotensi memberikan manfaat kepada komuniti mereka.

Dalam apa juga perbezaan pandangan, penilaian terhadap sesuatu usaha perlu dibuat berdasarkan fakta dan bukti, bukan semata-mata persepsi. Apabila emosi mengatasi pertimbangan rasional, sesuatu yang membawa manfaat kepada masyarakat boleh bertukar menjadi peluang yang terlepas begitu sahaja.

Akhirnya, pihak yang paling terkesan bukan sahaja pengusaha atau pemodal tetapi masyarakat tempatan yang kehilangan sebuah platform ekonomi yang dibina untuk kepentingan bersama. –UTUSAN

 

ABDUL MALIK LUAR

Selatan Thailand

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×