SAMBUTAN Hari Kebangsaan pada 31 Ogos bukan sekadar perbarisan, kibaran Jalur Gemilang atau laungan kemerdekaan. Tarikh bersejarah ini sepatutnya menjadi ruang untuk kita menilai sejauh mana kebebasan yang diwarisi dimanfaatkan bagi membina masyarakat yang adil, bersatu dan sejahtera.
Tahun ini, tema ‘Malaysia Madani: Kesejahteraan Dinikmati’ membawa mesej kemajuan negara tidak hanya bergantung pada pencapaian ekonomi tetapi turut menuntut kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.
Gagasan Malaysia Madani yang mengangkat nilai kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan mempunyai hubungan rapat dengan prinsip Islam. Kesejahteraan juga selari dengan maqasid syariah yang menekankan pemeliharaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.
Dalam konteks ini, kemerdekaan tidak hanya bermaksud bebas daripada penjajahan fizikal tetapi turut membebaskan masyarakat daripada kemiskinan, kejahilan, ketidakadilan dan perpecahan.
Al-Quran mengingatkan dalam Surah al-A‘raf, ayat 96 bahawa keimanan dan ketakwaan membawa keberkatan kepada sesebuah negeri.
Prinsip ini menunjukkan pembangunan yang kukuh perlu berjalan seiring dengan nilai moral, keadilan dan tanggungjawab sosial. Kesejahteraan pula mesti dapat dirasai rakyat melalui peluang ekonomi yang adil, perlindungan sosial serta kehidupan yang aman tanpa mengira kaum dan fahaman politik.
Dalam membina perpaduan, pemikiran Ibnu Khaldun mengenai al-Asabiyyah juga relevan. Konsep ini merujuk kepada semangat kekitaan, solidariti dan ikatan sosial yang mampu mengukuhkan sesebuah masyarakat. Namun, Islam menolak asabiyyah yang berasaskan fanatisme sehingga mendorong seseorang membela kelompok sendiri walaupun melakukan kezaliman.
Bagi Malaysia yang mempunyai masyarakat berbilang kaum, semangat kekitaan perlu dibina atas dasar kewarganegaraan dan nilai kemanusiaan. Perpaduan tidak seharusnya bergantung kepada persamaan kaum atau agama semata-mata. Sebaliknya, rakyat perlu berkongsi rasa tanggungjawab terhadap negara serta menghormati perbezaan yang wujud.
Pemikiran Tan Sri Dr. Mohd. Kamal Hassan turut menekankan pembangunan negara tidak boleh hanya mengukur pencapaian material. Kemajuan mesti disertai pembinaan insan yang mempunyai kekuatan akhlak dan kesedaran moral.
Sementara itu, konsep Fiqh al-Ta‘ayush yang diketengahkan Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri menekankan kepentingan hidup bersama secara aman, adil dan saling menghormati dalam masyarakat majmuk.
Cabaran membina perpaduan kini semakin kompleks dengan kemunculan kecerdasan buatan (AI). Media sosial yang digerakkan algoritma boleh membentuk ruang gema apabila pengguna hanya menerima pandangan yang selari dengan kecenderungan sendiri. Keadaan ini boleh menguatkan sikap fanatik, prasangka dan permusuhan terhadap kelompok yang berbeza.
Jika disalahgunakan, teknologi juga boleh mempercepat penyebaran berita palsu, ucapan kebencian dan sentimen perkauman. Sebab itu, prinsip tabayyun dalam Surah al-Hujurat, ayat 6 amat penting. Setiap maklumat perlu disemak sebelum dipercayai atau disebarkan.
Pada masa sama, AI tidak seharusnya dilihat sebagai ancaman semata-mata. Teknologi ini boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan perkhidmatan kesihatan, memperkukuh sistem pendidikan, membantu menangani kemiskinan dan memperbaiki penyampaian perkhidmatan awam.
Penggunaan teknologi secara bertanggungjawab mampu membina keyakinan serta memperkukuh hubungan antara masyarakat dengan institusi negara.
Justeru, kemerdekaan pada zaman digital menuntut kita menguasai teknologi tanpa membiarkan ia menguasai pemikiran.
Semangat patriotisme perlu diterjemahkan melalui perpaduan, keadilan, integriti dan tanggungjawab bersama.
Apabila setiap rakyat berasa dihargai, dilindungi dan mendapat peluang yang adil, barulah ‘kesejahteraan dinikmati’ benar-benar membawa makna. –UTUSAN
MOHD. AMMYRUL ASHRAF SAIRAN
Pensyarah Kanan, Unit Pengajian Islam dan Falsafah
Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah
Universiti Utara Malaysia (UUM)











