Undi18 perlu celik demokrasi

Undi18 perlu celik demokrasi

DEMOKRASI yang matang memerlukan rakyat yang memahami sistem negara, menghormati perbezaan pandangan, berfikiran kritis dan mampu membuat keputusan berdasarkan fakta.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAYSIA kini berada dalam fasa penting perkembangan demokrasi apabila pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran pemilih secara automatik membawa perubahan besar terhadap landskap pengundi negara.

Perkara ini menjadi fokus utama dalam Program Meja Bulat Sosialisasi Politik dan Demokrasi dalam Kalangan Pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Malaysia yang berlangsung di Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia (UPM), anjuran Akademi Profesor Malaysia dan Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP), UPM.

Program yang menghimpunkan ahli akademik, pembuat dasar, pemimpin mahasiswa serta pelbagai pihak berkepentingan itu membincangkan cabaran dan hala tuju pendidikan politik serta demokrasi dalam kalangan mahasiswa.

Perbincangan tersebut menunjukkan Malaysia memerlukan pendekatan yang lebih tersusun dalam membangunkan literasi politik generasi muda. Keperluan ini semakin penting apabila teknologi digital dan media sosial mengubah cara masyarakat mendapatkan maklumat serta membentuk pandangan politik.

Demokrasi yang matang tidak hanya bergantung kepada pilihan raya tetapi memerlukan rakyat yang memahami sistem negara, menghormati perbezaan pandangan, berfikiran kritis dan mampu membuat keputusan berdasarkan fakta.

Dalam konteks ini, pendidikan politik tidak bermaksud menggalakkan sokongan kepada mana-mana parti politik. Sebaliknya, bertujuan memberi kefahaman tentang Perlembagaan Persekutuan, institusi demokrasi, proses pentadbiran negara serta kepentingan semak dan imbang.

Mahasiswa yang memahami perkara ini lebih bersedia menjadi pengundi yang bertanggungjawab, pemimpin yang berintegriti serta anggota masyarakat yang aktif menyumbang kepada pembangunan negara.

Sebaliknya, kekurangan pendidikan politik boleh menyebabkan golongan muda mudah dipengaruhi emosi, sentimen sempit atau maklumat tidak sahih.

Pendidikan politik perlu diperluas dengan literasi digital. Anak muda bukan sahaja perlu mengetahui isu semasa, malah perlu mempunyai kemahiran menilai sumber, membezakan fakta dan memahami sesuatu isu secara matang.

Universiti pula mempunyai peranan besar dalam membentuk generasi pemimpin masa hadapan. Institusi pengajian tinggi bukan sekadar tempat memperoleh ilmu akademik tetapi medan membina nilai, karakter dan jati diri.

Kampus perlu menjadi ruang latihan demokrasi yang membolehkan mahasiswa berbahas, berdialog, mengurus organisasi serta membuat keputusan secara beretika.

Pengalaman ini akan membentuk budaya demokrasi yang sihat sebelum mereka memasuki masyarakat lebih luas.

Dalam masa sama, pendidikan politik tidak boleh dipisahkan daripada semangat patriotisme.

Generasi muda yang memahami sejarah negara, prinsip Rukun Negara dan asas pembentukan Malaysia akan lebih menghargai keamanan serta kestabilan yang dinikmati hari ini. Mereka juga lebih mampu menolak politik kebencian, ekstremisme dan tindakan yang boleh menggugat perpaduan.

Antara cadangan penting yang diketengahkan ialah pembangunan Model Sosialisasi Politik dan Demokrasi Mahasiswa IPT Malaysia sebagai panduan nasional. Model ini perlu menggabungkan pendidikan kewarganegaraan, literasi politik digital, kepimpinan, pemikiran kritis, kesukarelawanan dan patriotisme.

Pendekatan menyeluruh ini mampu melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari sudut akademik tetapi juga matang dari segi pemikiran politik dan kesedaran sivik. –UTUSAN

PROFESOR DR. ISMI ARIF ISMAIL
Universiti Putra Malaysia (UPM)
& Akademi Profesor Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN