PERKEMBANGAN pesat teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), automasi dan analitik data mengubah landskap industri global.
Selaras dengan itu, Malaysia melalui Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) menyasarkan pembangunan 3,000 kilang pintar menjelang 2030.
Sasaran ini menuntut sistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi keperluan industri masa depan.
Cabaran utama bukan lagi melahirkan graduan semata-mata tetapi memastikan kemahiran yang dimiliki benar-benar sepadan dengan kehendak pasaran.
Laporan Bank Negara Malaysia menunjukkan negara perlu memperkukuh padanan bakat tempatan dengan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi agar produktiviti dan daya saing ekonomi terus meningkat.
Kerjasama tidak boleh lagi terhad kepada latihan industri atau memorandum persefahaman, sebaliknya industri perlu menjadi sebahagian daripada ekosistem akademi.
Pendekatan ini selari dengan saranan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) yang menekankan kepentingan integrasi antara institusi latihan dan pemain industri bagi melahirkan tenaga kerja yang relevan.
Melalui pendekatan ini, institusi TVET perlu sentiasa mengemas kini kurikulum, teknologi dan kemudahan latihan mengikut perkembangan semasa industri.
Pada masa sama, syarikat pula boleh menyumbang kepakaran, teknologi, peralatan moden serta tenaga pengajar profesional. Bengkel latihan bukan lagi sekadar tempat pembelajaran, malah berfungsi sebagai pusat latihan industri yang mencerminkan persekitaran kerja sebenar.
Kerjasama erat ini turut membuka peluang kepada pelajar memperoleh pensijilan profesional dan pentauliahan mikro yang diiktiraf industri. Nilai tambah tersebut meningkatkan kebolehpasaran graduan, sekali gus membolehkan mereka menikmati gaji permulaan yang lebih kompetitif.
Pengalaman menunjukkan banyak syarikat sanggup melabur dalam institusi TVET dengan menyediakan peralatan, bahan latihan dan biasiswa apabila latihan yang diberikan memenuhi keperluan operasi mereka.
Selain kemahiran teknikal, penguasaan bahasa Inggeris teknikal juga perlu diberi perhatian. Kebanyakan manual teknologi, perisian automasi dan dokumentasi industri menggunakan bahasa tersebut. Oleh itu, pelajar perlu dilatih untuk berkomunikasi secara profesional, menyediakan laporan teknikal serta berinteraksi dalam persekitaran kerja antarabangsa.
Transformasi TVET tidak akan berjaya tanpa komitmen semua pihak. Institusi pendidikan perlu bertindak sebagai pemangkin ilmu sementara industri pula berperanan sebagai rakan strategik yang melabur dalam pembangunan bakat.-UTUSAN
NURUL NISHA MOHD. SHAH & MOHD. FOZI HAFIZ HASSAN
Universiti Teknologi Mara (UiTM),
Cawangan Negeri Sembilan & Institut Kemahiran
Belia Negara, Pekan, Pahang










