STEM dilema antara realiti dan aspirasi

STEM dilema antara realiti dan aspirasi

PERKEMBANGAN Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta kecerdasan buatan (AI), perlu dilihat bersama cabaran pasaran pekerjaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA permohonan kemasukan ke institusi pengajian tinggi (IPT) melalui Unit Pusat Universiti (UPU) dibuka, ramai ibu bapa dan pelajar mula memikirkan hala tuju pendidikan yang terbaik.

Persoalannya, adakah perlu memilih bidang yang selari dengan agenda negara seperti Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta kecerdasan buatan (AI), atau memilih laluan berdasarkan keadaan pasaran pekerjaan semasa?

Kerajaan kini memberi penekanan terhadap STEM dan AI sebagai asas pembangunan negara. Melalui Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 dan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035, usaha digerakkan untuk melahirkan generasi yang bukan hanya menggunakan teknologi tetapi mampu mencipta inovasi.

Universiti tidak lagi hanya berperanan menghasilkan graduan, sebaliknya menjadi pusat pembangunan bakat yang memenuhi keperluan industri masa hadapan.

Pelbagai inisiatif turut dilaksanakan untuk meningkatkan minat terhadap STEM sejak peringkat sekolah, termasuk Pusat Pendidikan STEM, Program STI 1003 serta Kerjasama Saintis-Guru-Pelajar (STSP) yang menghubungkan saintis, guru dan murid dalam pembelajaran berasaskan pengalaman.

Bidang seperti sains data, kejuruteraan perisian, pembelajaran mesin, bioteknologi dan tenaga boleh diperbaharui pula dilihat mempunyai potensi besar dalam ekonomi masa hadapan.

Kebimbangan ibu bapa terhadap masa depan graduan mempunyai asas apabila isu kebolehpasaran masih menjadi perhatian.

Ramai graduan baharu berdepan cabaran mendapatkan pekerjaan yang setimpal dengan kelayakan. Selain pengangguran, isu pekerjaan yang tidak sepadan dengan tahap pendidikan turut menjadi cabaran apabila graduan tidak dapat memanfaatkan sepenuhnya kemahiran yang dimiliki.

Tekanan kos sara hidup juga menyebabkan golongan muda perlu membuat pertimbangan lebih teliti sebelum memilih bidang pengajian.

Cabaran utama bukan sekadar melahirkan lebih ramai graduan STEM tetapi memastikan ekonomi negara mampu menyediakan peluang pekerjaan berkualiti.

Malaysia masih dalam usaha beralih daripada pengguna teknologi kepada pengeluar teknologi. Sebahagian pelaburan masih tertumpu kepada aktiviti operasi dan pemasangan berbanding pembangunan teknologi teras serta inovasi tempatan.

Walaupun begitu, perkembangan sektor digital, semikonduktor dan syarikat pemula menunjukkan potensi negara untuk membina ekonomi berasaskan teknologi dan kemahiran tinggi.

Dalam menentukan bidang pengajian, pelajar dan ibu bapa perlu melihat aspek yang lebih luas. Faktor seperti kebolehpasaran graduan, jaringan industri universiti serta peluang latihan praktikal perlu diberi perhatian. Gabungan kemahiran teknikal dengan kemahiran komunikasi, kreativiti dan pengurusan juga penting bagi melahirkan graduan yang lebih fleksibel.

Selain itu, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tidak lagi boleh dianggap sebagai pilihan kedua. Laluan ini menawarkan bidang moden seperti robotik, AI, internet kebendaan (IoT) dan teknologi kenderaan elektrik yang semakin diperlukan industri.

Malaysia sedang bergerak ke arah ekonomi berteknologi tinggi melalui penekanan terhadap STEM, AI dan inovasi. Namun, kejayaan agenda ini bergantung kepada kemampuan negara menyediakan peluang pekerjaan berkualiti kepada graduan.

Jurang antara aspirasi negara dan realiti pasaran kerja perlu dirapatkan melalui pembangunan teknologi tempatan, peningkatan penyelidikan serta pengukuhan industri.

Akhirnya, kejayaan agenda STEM bukan hanya diukur berdasarkan jumlah pelajar yang memilih bidang tersebut tetapi apabila graduan mampu memperoleh pekerjaan yang baik, menerima pendapatan setimpal dan menyumbang kepada perubahan Malaysia daripada pengguna teknologi kepada pengeluar teknologi.-UTUSAN

 

DR. MOHAMAD HISYAM ISMAIL
Pensyarah Kanan, Jabatan Pendidikan Sains, Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN