Segerakan pembinaan Masjid Warisan

Segerakan pembinaan Masjid Warisan

PEMBINAAN Masjid Warisan di tengah-tengah kawasan metropolis seperti berdekatan Menara Tun Razak Exchange (TRX) mencerminkan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara yang menjunjung Islam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEKIRANYA benar terdapat cadangan untuk membangunkan Masjid Warisan di tapak berhadapan Menara Tun Razak Exchange (TRX), maka usaha tersebut wajar diberikan perhatian serius dan dipercepatkan melalui proses kelulusan yang bersesuaian.

Kewujudan masjid ini di tengah-tengah kawasan metropolis seperti TRX bukan sahaja memenuhi keperluan masyarakat Islam, malah mampu menjadi simbol penting mencerminkan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara yang menjunjung Islam sebagai agama Persekutuan seperti termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

Lokasi strategik berkenaan juga berpotensi menjadikan masjid tersebut sebagai mercu tanda Islam yang dikenali di peringkat antarabangsa, khususnya dalam kalangan negara-negara Islam. Ia boleh menjadi gambaran pembangunan moden dan nilai keagamaan mampu bergerak seiring dalam membentuk identiti sebuah negara yang maju.

Dalam masa sama, sebarang pandangan negatif terhadap cadangan pembangunan masjid tersebut perlu ditangani dengan matang. 

Kewujudan rumah ibadah bukan sepatutnya dilihat sebagai ancaman, sebaliknya sebagai sebahagian daripada landskap masyarakat majmuk yang menghormati kepelbagaian agama dan budaya.

Malah, Malaysia sejak sekian lama membuktikan pembangunan rumah ibadah pelbagai agama boleh berjalan seiring dengan keharmonian masyarakat. Justeru, usaha memperkukuh syiar Islam tidak wajar disalah tafsir sebagai tindakan yang menjejaskan perpaduan kaum.

Dalam konteks ini, sebarang kebimbangan operasi atau aktiviti di kawasan tersebut perlu dihentikan apabila azan berkumandang adalah tanggapan yang tidak berasas. Laungan azan merupakan amalan ibadah umat Islam dan tidak pernah menjadi penghalang kepada aktiviti masyarakat secara keseluruhannya.

Semua pihak perlu memahami pembangunan sebuah masjid tidak hanya berkaitan dengan tempat beribadah tetapi juga boleh menjadi pusat komuniti, ilmu, kebajikan dan penyatuan masyarakat.

Masjid yang dibina dengan konsep warisan dan nilai keterbukaan mampu menjadi ruang yang menyumbang kepada keharmonian sosial.

Oleh itu, cadangan pembangunan Masjid Warisan di atas tapak tersebut, sama ada melibatkan tanah milik mana-mana pihak berkaitan, perlu dilihat dari sudut kepentingan yang lebih besar. 

Projek seperti ini bukan sahaja membawa nilai keagamaan tetapi juga mencerminkan identiti Malaysia sebagai sebuah negara yang menghargai sejarah, budaya dan agama.

Pihak kerajaan serta semua agensi berkaitan wajar mempertimbangkan cadangan ini secara positif dan memastikan proses pelaksanaannya berjalan lancar. 

Jika direalisasikan, Masjid Warisan berpotensi menjadi simbol kebanggaan negara serta lambang keharmonian antara pembangunan moden dan nilai spiritual. –UTUSAN

RAHMAD ISAHAK 

Aktivis politik

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN