INSIDEN kemalangan maut membabitkan pelatih industri dari Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) awal tahun ini, serta kejadian terbaharu melibatkan pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM), perlu menjadi peringatan serius kepada semua pihak untuk menilai semula aspek keselamatan latihan industri di Malaysia.
Latihan industri bukan sekadar syarat akademik untuk melengkapkan pengajian tetapi satu pengalaman pembelajaran yang melibatkan keselamatan, kebajikan dan masa hadapan mahasiswa. Oleh itu, keselamatan pelajar tidak boleh dianggap sebagai perkara sampingan.
Sejak Dasar Latihan Industri diperkenalkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada 2010, latihan industri menjadi komponen penting dalam banyak program pengajian tinggi bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan.
Tempoh latihan juga diperluaskan sehingga antara enam hingga 12 bulan bagi memberi pendedahan lebih luas kepada pelajar terhadap dunia pekerjaan.
Namun, selepas lebih sedekad pelaksanaannya, masih terdapat kelemahan yang perlu ditangani, khususnya dari aspek perlindungan keselamatan dan kebajikan pelatih.
Kedudukan pelajar latihan industri yang tidak dikategorikan sebagai ‘pekerja’ di bawah Akta Kerja 1955 turut menimbulkan persoalan mengenai tahap perlindungan undang-undang yang mereka terima.
Antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah ketiadaan penilaian risiko yang seragam terhadap organisasi hos, pemantauan keselamatan yang terhad serta prosedur kecemasan yang belum cukup jelas.
Keadaan ini boleh mendedahkan pelatih kepada risiko kemalangan, terutama apabila mereka menjalankan tugasan tanpa latihan keselamatan yang mencukupi.
Justeru, kerajaan dan institusi pengajian tinggi (IPT) perlu memperkukuh dasar sedia ada melalui audit keselamatan tempat latihan, taklimat keselamatan sebelum penempatan, perlindungan insurans yang lebih menyeluruh serta pemantauan berkala.
Pada masa sama, organisasi hos perlu memahami menerima pelatih bukan sekadar tanggungjawab menyediakan pengalaman kerja tetapi juga memastikan persekitaran yang selamat.
Usaha melahirkan graduan berkualiti tidak boleh dicapai dengan mengabaikan keselamatan mereka. Jangan tunggu tragedi baharu berlaku sebelum tindakan lebih tegas diambil. –UTUSAN
ZURINA MD. NEN
Ketua Pusat Pengajian Program Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Sains Pentadbiran & Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi,
Universiti Teknologi Mara (UiTM), Cawangan Negeri Sembilan.










