Pendidikan membentuk ilmu, nilai insan

Pendidikan membentuk ilmu, nilai insan

SISTEM pendidikan negara memberi penekanan kepada pembangunan sahsiah, namun pelaksanaannya memerlukan sokongan menyeluruh.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP kali timbul isu melibatkan pelajar, sama ada kes buli, pergaduhan, salah laku atau hilangnya adab, masyarakat sering bertanya di mana silapnya.

Ada yang menyalahkan sekolah, ada yang menuding ibu bapa dan tidak kurang juga yang mengaitkannya dengan pengaruh media sosial.

Namun, hakikatnya tiada satu punca tunggal. Setiap insiden ini mengingatkan kita pendidikan tidak boleh dilihat sebagai proses menyampaikan ilmu semata-mata tetapi turut berperanan membentuk nilai, akhlak dan tanggungjawab manusia.

Saya teringat kepada drama Korea berjudul Teach You a Lesson yang walaupun bersifat fiksyen dan sarat elemen dramatik, namun tetap mengangkat persoalan penting, apa akan terjadi apabila pendidikan gagal membentuk manusia dan siapa yang harus bertanggungjawab memperbetulkannya?

Walaupun latar ceritanya bukan di Malaysia, persoalan yang dibangkitkan sangat dekat dengan realiti masyarakat kita hari ini.

Sejak sekian lama, masyarakat mengukur kejayaan pendidikan berdasarkan keputusan peperiksaan, bilangan pelajar cemerlang, serta kemasukan ke institusi pengajian tinggi (IPT) ternama. Penilaian ini tidak salah kerana pencapaian akademik tetap membuka ruang masa depan yang lebih luas.

Namun, dalam dunia moden yang serba mencabar, kita perlu bertanya semula, adakah kecemerlangan akademik semata-mata sudah cukup untuk melahirkan insan yang seimbang?

Hari ini, ilmu berada di hujung jari. Teknologi membolehkan sesiapa sahaja mengakses maklumat dengan pantas, mempelajari kemahiran baharu dan berhubung tanpa sempadan. Namun, dalam masa sama, kita masih menyaksikan gejala buli, penipuan siber, penyebaran berita palsu, budaya benci dan ketidaksopanan dalam media sosial. Keadaan ini membuktikan ilmu tanpa nilai tidak menjamin lahirnya individu yang berintegriti.

Cabaran pendidikan abad ke-21 kini bukan lagi sekadar melahirkan pelajar cemerlang dalam peperiksaan tetapi membentuk manusia yang mampu berfikir secara kritis, membuat keputusan beretika, serta menggunakan ilmu untuk kebaikan bersama.

Nilai seperti empati, amanah, hormat dan tanggungjawab tidak mudah diukur melalui kertas peperiksaan tetapi itulah asas yang menentukan kualiti seseorang apabila berhadapan dengan realiti kehidupan.

Di Malaysia, sistem pendidikan memang memberi penekanan kepada pembangunan sahsiah, namun pelaksanaannya memerlukan sokongan menyeluruh. Ibu bapa perlu memainkan peranan sebagai pendidik pertama, manakala masyarakat perlu menjadi contoh yang baik kepada generasi muda.

Apa yang dipelajari di sekolah mesti selari dengan apa yang dilihat di rumah dan persekitaran sosial. Tanpa kesepaduan ini, usaha membentuk insan seimbang akan menjadi lebih sukar.

Hakikatnya, pendidikan tidak terhenti apabila tamat sesi persekolahan atau pengajian tinggi. Ia merupakan proses sepanjang hayat yang membentuk cara seseorang berfikir, bertindak dan membuat keputusan.

Nilai murni seperti jujur, hormat, empati dan tanggungjawab tidak lahir secara spontan, sebaliknya dibentuk melalui pengalaman, didikan dan teladan yang berterusan. Justeru, kejayaan pendidikan wajar diukur bukan hanya melalui pencapaian akademik tetapi juga melalui impaknya terhadap pembentukan insan.

Mungkin sudah tiba masanya kita menilai semula makna sebenar kejayaan dalam pendidikan. Selain meraikan kecemerlangan akademik, kita juga perlu menilai sejauh mana sistem pendidikan berjaya melahirkan individu yang berakhlak, berintegriti dan bertanggungjawab terhadap masyarakat.

Negara tidak hanya memerlukan individu yang bijak tetapi juga insan yang mempunyai nilai kemanusiaan yang tinggi.

Akhirnya, pendidikan bukan sekadar mengisi minda dengan ilmu tetapi membentuk hati, sikap dan peribadi.

Apabila ilmu dan nilai berjalan seiring, barulah pendidikan benar-benar mencapai matlamatnya untuk melahirkan generasi yang bukan sahaja cerdas tetapi juga beradab dan bermakna kepada masa depan negara. –UTUSAN

DR. NUR SYAZWANI AHMAD
Pensyarah Kanan,
Jabatan Sains Sosial,
Pusat Asasi Sains,
Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN