LATIHAN industri memainkan peranan penting dalam menyediakan pelajar institusi pengajian tinggi menghadapi alam pekerjaan sebenar.
Melalui program ini, pelajar dapat mengaplikasikan ilmu yang dipelajari di bilik kuliah, memahami budaya organisasi serta membangunkan kemahiran profesional yang sukar diperoleh melalui pembelajaran akademik semata-mata.
Namun, insiden kemalangan yang melibatkan pelajar ketika menjalani latihan industri menimbulkan persoalan penting, sejauh manakah pelajar boleh dianggap kompeten untuk memikul tanggungjawab seperti pekerja sebenar?
Persoalan ini semakin relevan kerana ratusan ribu pelajar menjalani latihan industri setiap tahun dalam pelbagai sektor seperti pembuatan, pembinaan, teknologi, kesihatan dan perkhidmatan awam.
Dalam sesetengah organisasi, pelajar sering dianggap sebahagian daripada tenaga kerja dan diberikan tugasan yang hampir setara dengan pekerja tetap.
Walaupun pendekatan ini mampu meningkatkan keyakinan dan pengalaman, namun organisasi perlu memahami tujuan utama latihan industri ialah pembelajaran, bukannya menggantikan tenaga kerja sedia ada. Pelajar masih berada dalam fasa membina kompetensi dan memerlukan bimbingan serta pemantauan yang berterusan.
Dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH), prinsip kompetensi mendahului tanggungjawab menegaskan seseorang hanya wajar diberikan tanggungjawab selepas memiliki pengetahuan, kemahiran dan pengalaman yang mencukupi.
Walaupun cemerlang dalam akademik, namun pelajar masih kekurangan pengalaman lapangan yang penting untuk mengenal pasti bahaya, menilai risiko dan membuat keputusan dalam situasi sebenar.
Oleh itu, organisasi tidak seharusnya membenarkan pelajar melaksanakan tugasan berisiko tinggi secara bersendirian seperti kerja elektrik, pengendalian bahan kimia berbahaya, operasi jentera berat atau kerja dalam ruang terkurung.
Sebaliknya, pelajar perlu didedahkan secara berperingkat melalui pemerhatian, latihan amali dan penyeliaan rapat sebelum diberikan tanggungjawab yang lebih besar.
Pada masa sama, organisasi perlu menyediakan induksi keselamatan, latihan penggunaan peralatan perlindungan diri (PPE), penerangan prosedur kecemasan serta penyelia yang mampu membimbing proses pembelajaran pelajar.
Institusi pengajian tinggi (IPT) pula perlu memantau penempatan pelajar agar mereka berada dalam persekitaran yang selamat dan sesuai dengan tahap kompetensi.
Pelajar latihan industri ialah individu yang sedang dibentuk, bukannya pekerja yang telah siap dibentuk. Mereka memerlukan ruang untuk belajar, berkembang dan membina keyakinan.
Tanggungjawab industri bukan sekadar memberi pengalaman kerja tetapi memastikan pengalaman itu berlangsung dalam persekitaran yang selamat dan benar-benar menyumbang kepada pembangunan masa hadapan pelajar. –UTUSAN
SITI FATIMAH MOHD. NOOR
Pensyarah Kanan,
Jabatan Sains Dan Matematik,
Pusat Pengajian Diploma,
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)










