Kuantan belum perlukan SkyTrain

Kuantan belum perlukan SkyTrain

PEMBANGUNAN SkyTrain di bandaraya Kuantan masih belum menjadi keperluan mendesak. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CADANGAN pembangunan sistem pengangkutan awam moden seperti SkyTrain di Kuantan pernah menjadi perhatian selepas kerajaan negeri menyatakan hasrat untuk merealisasikannya beberapa tahun lalu.

Baru-baru ini, isu tersebut kembali diperkatakan apabila beberapa pihak meminta penjelasan mengenai status cadangan berkenaan.

Sudah tentu pandangan masyarakat terhadap projek ini berbeza. Ada yang menyambut baik kerana melihatnya sebagai langkah memodenkan sistem pengangkutan awam bandar, manakala sebahagian lagi berpandangan keperluannya perlu dinilai dengan lebih teliti berdasarkan keadaan semasa Kuantan.

Pada pandangan saya, pembangunan SkyTrain di bandaraya Kuantan masih belum menjadi keperluan mendesak. Kajian menyeluruh perlu dilakukan terlebih dahulu bagi memastikan projek ini benar-benar berdaya maju, walaupun sekiranya pelaksanaannya dilakukan melalui kaedah penswastaan dan tidak melibatkan peruntukan kerajaan secara langsung.

Faktor pertama yang perlu dipertimbangkan ialah jumlah penduduk. Ketika ini, jumlah penduduk dalam kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) masih belum mencapai 600,000 orang.

Dalam tempoh 10 tahun akan datang, belum pasti jumlah tersebut mampu mencecah 800,000 orang. Jumlah pengguna yang mencukupi amat penting bagi memastikan operasi SkyTrain mampu menampung kos penyelenggaraan dan tidak menjadi projek yang kurang berdaya maju.

Selain itu, keluasan kawasan pentadbiran MBK juga perlu diberi perhatian. Kawasan Kuantan meliputi kawasan yang luas, dari arah utara berhampiran sempadan Kemaman, Terengganu, ke selatan berhampiran sempadan Pekan serta ke barat menuju kawasan Maran.

Pembinaan laluan SkyTrain yang meliputi kawasan luas sudah tentu memerlukan kos pembangunan dan operasi yang tinggi, sedangkan kepadatan penduduk di sesetengah kawasan masih rendah.

Jika laluan SkyTrain hanya tertumpu di pusat bandar, manfaatnya pula mungkin terhad kerana tidak semua penduduk dapat menikmati kemudahan tersebut. Pada masa sama, kos pembinaan infrastruktur seperti landasan bertingkat dan kemudahan sokongan perlu diambil kira sebelum keputusan dibuat.

Mungkin dalam tempoh 15 hingga 30 tahun akan datang, apabila jumlah penduduk meningkat dan pembangunan bandar semakin berkembang, barulah keperluan SkyTrain boleh dinilai semula. Ketika itu, laluan yang lebih menyeluruh boleh dirancang dengan menghubungkan kawasan strategik seperti Kuantan Sentral, Kota Sultan Ahmad Shah (KotaSAS), stesen Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), kawasan industri, pusat pendidikan, lapangan terbang serta kawasan pelancongan.-UTUSAN

CICIT AKI BAJI
Mentakab, Pahang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN