ISU harga nasi ayam yang dijual RM26 sebungkus oleh ibu kepada seorang personaliti terkenal mencetuskan pelbagai reaksi masyarakat. Ada yang menganggap harga tersebut terlalu tinggi bagi hidangan biasa, manakala sebahagian lain berpandangan peniaga berhak menentukan harga berdasarkan kos operasi, lokasi, kualiti serta nilai yang ditawarkan kepada pelanggan.
Dalam ekonomi Islam, asas utama dalam urusan jual beli ialah kerelaan antara penjual dan pembeli. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Nisa’, ayat 29 bahawa perniagaan hendaklah berlaku atas dasar suka sama suka dan bukan melalui cara yang batil.
Ini bermakna sesuatu transaksi dianggap sah apabila pembeli mengetahui harga ditawarkan, memahami perkara dibeli dan membuat keputusan tanpa paksaan. Islam memberikan ruang kepada peniaga untuk menentukan harga berdasarkan keadaan pasaran selagi tiada unsur penipuan, manipulasi atau penganiayaan.
Islam tidak melihat isu harga hanya dari sudut mahal atau murah. Perkara yang lebih penting ialah proses penetapan harga itu dilakukan secara telus dan adil. Peniaga boleh memperoleh keuntungan melalui kebijaksanaan berniaga, kemahiran serta nilai yang diberikan kepada pelanggan.
Hal ini dapat dilihat melalui kisah Urwah al-Bariqi RA yang diberikan satu dinar oleh Rasulullah SAW untuk membeli seekor kambing. Dengan kepakaran berniaga, beliau berjaya mendapatkan keuntungan daripada urusan tersebut. Rasulullah kemudian mendoakan keberkatan dalam perniagaannya.
Walaupun begitu, kebebasan pasaran bukan bermaksud peniaga boleh mengambil kesempatan. Islam menolak tindakan seperti penipuan, monopoli, sorokan barang atau mengenakan harga secara melampau sehingga membebankan pengguna.
Realitinya, harga sesuatu produk tidak hanya bergantung kepada kos bahan mentah. Peniaga perlu mengambil kira pelbagai faktor seperti sewaan premis, gaji pekerja, utiliti, pengangkutan, pemasaran dan kos operasi lain. Faktor lokasi, jenama serta pengalaman pelanggan turut mempengaruhi nilai sesuatu produk.
Namun, Islam tetap mengingatkan peniaga supaya tidak menjadikan keuntungan sebagai satu-satunya matlamat. Keuntungan yang tinggi tidak salah jika diperoleh secara jujur tetapi keuntungan yang datang daripada eksploitasi dan penindasan bertentangan dengan nilai keadilan dalam Islam.
Pada masa sama, pengguna bebas membuat pilihan berdasarkan kemampuan dan nilai yang diterima. Jika harga sesuatu produk dianggap tidak berbaloi, pengguna boleh memilih alternatif lain. –UTUSAN
DR. KHAIRUL JANNAH SAMSUDIN
Pensyarah Kanan
Jabatan Perdagangan
Politeknik Sultan Idris Shah










