Bahasa Melayu nadi identiti nasional

Bahasa Melayu nadi identiti nasional

KEDUDUKAN bahasa Melayu terus diperkukuh melalui Perlembagaan Persekutuan serta pelbagai dasar negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAHASA Melayu menjadi asas pembentukan identiti nasional, jati diri rakyat serta lambang kedaulatan negara. Sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa perpaduan, kedudukannya tidak dapat dipisahkan daripada peranan Institusi raja-raja Melayu yang menjadi simbol kesinambungan sejarah, pelindung Perlembagaan Persekutuan serta pemelihara warisan bangsa.

Sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka, bahasa Melayu berkembang sebagai bahasa pentadbiran, diplomasi, perdagangan dan perhubungan antarabangsa di bawah naungan pemerintahan raja-raja Melayu.

Kelangsungan martabat bahasa Melayu sehingga hari ini membuktikan hubungan erat antara bahasa, sejarah pemerintahan Melayu dan pembentukan identiti negara.

Sejarah membuktikan bahasa Melayu pernah mencapai zaman kegemilangannya sebagai lingua franca utama di rantau alam Melayu.

Pada era Kesultanan Melayu Melaka, bahasa Melayu digunakan secara meluas oleh pedagang dari China, India, Asia Barat dan Eropah dalam urusan perdagangan serta komunikasi.

Walaupun alam Melayu terdiri daripada pelbagai wilayah yang mempunyai bahasa pertuturan masing-masing, masyarakat menerima bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan yang menyatukan hubungan ekonomi, sosial dan budaya.

Keupayaan bahasa Melayu menjadi bahasa perhubungan utama bukan berlaku secara kebetulan. Kedudukan Melaka sebagai pusat perdagangan antarabangsa menjadikan bahasa Melayu satu keperluan dalam urusan jual beli, pentadbiran dan diplomasi.

Pedagang yang ingin menjalankan perniagaan di Melaka perlu menguasai bahasa Melayu bagi memudahkan urusan perdagangan serta membina kepercayaan dengan masyarakat tempatan.

Pengaruh bahasa Melayu ketika itu juga melangkaui sempadan alam Melayu apabila digunakan dalam hubungan perdagangan dengan beberapa pusat ekonomi antarabangsa.

Perkembangan ini membuktikan bahasa Melayu bukan sekadar bahasa komunikasi harian tetapi pernah menjadi bahasa ekonomi yang mempunyai nilai strategik dalam membangunkan jaringan perdagangan serantau dan antarabangsa.

Selepas negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, kedudukan bahasa Melayu terus diperkukuh melalui Perlembagaan Persekutuan serta pelbagai dasar negara.

Bahasa Melayu diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi menerusi Akta Bahasa Kebangsaan 1967, selain diperkasakan dalam sistem pendidikan melalui pelbagai dasar seperti Penyata Razak 1956 dan Akta Pendidikan 1996.

Dalam konteks ini, institusi raja-raja Melayu memainkan peranan penting sebagai pelindung Perlembagaan dan warisan negara.

Peranan institusi ini bukan sahaja berkaitan dengan kesinambungan sejarah pemerintahan Melayu tetapi turut mencerminkan tanggungjawab dalam memastikan nilai dan identiti bangsa terus dipelihara.

Namun, perkembangan globalisasi membawa cabaran baharu terhadap kedudukan bahasa Melayu.

Penggunaan bahasa Inggeris yang semakin dominan dalam sektor ekonomi, teknologi, sains dan dunia korporat menyebabkan sebahagian masyarakat mula melihat bahasa Melayu kurang sesuai digunakan dalam bidang profesional dan antarabangsa.

Penguasaan bahasa asing tetap penting dalam menghadapi persaingan global. Namun, kemajuan negara tidak seharusnya menyebabkan masyarakat mengabaikan bahasa Melayu sebagai asas identiti dan kedaulatan negara.

Bahasa Melayu perlu terus diperkasakan agar mampu berkembang seiring dengan perubahan zaman.

Cabaran utama hari ini bukan sekadar memastikan rakyat menggunakan bahasa Melayu tetapi memperluaskan penggunaannya dalam bidang ilmu, penyelidikan, teknologi dan ekonomi.

Bahasa Melayu perlu dilihat sebagai bahasa yang mampu membawa kemajuan, bukan hanya sebagai bahasa warisan.

Usaha memartabatkan bahasa Melayu tidak boleh dipikul oleh kerajaan semata-mata.

Semua pihak termasuk institusi pendidikan, sektor swasta, media, masyarakat dan institusi raja-raja Melayu perlu memainkan peranan masing-masing dalam memastikan bahasa ini terus dihormati dan digunakan secara meluas.

Institusi pendidikan perlu terus memperkukuh penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, manakala sektor swasta perlu memberi ruang kepada bahasa Melayu dalam urusan profesional dan perniagaan.

Media pula mempunyai tanggungjawab besar dalam membentuk penggunaan bahasa yang baik serta meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap keupayaan bahasa Melayu.

Institusi raja-raja Melayu sebagai payung kedaulatan negara turut mempunyai peranan simbolik dalam memperkukuhkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan warisan bangsa.

Sokongan berterusan daripada institusi ini mampu meningkatkan kesedaran masyarakat memelihara bahasa Melayu bermaksud mempertahankan identiti dan sejarah negara.

Bahasa Melayu perlu bergerak seiring dengan kemajuan tanpa kehilangan nilai asalnya. Penggunaan bahasa Melayu dalam bidang moden seperti teknologi, ekonomi digital dan penyelidikan perlu terus diperluaskan supaya bahasa ini kekal relevan dalam kehidupan masyarakat.

Bahasa Melayu bukan sekadar alat komunikasi tetapi lambang sejarah, identiti dan kedaulatan negara.

Kedudukannya yang dibina sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka hingga hari ini menunjukkan bahasa Melayu mempunyai kekuatan tersendiri sebagai pengikat masyarakat dan asas pembinaan negara bangsa. – UTUSAN

PROFESOR DR. ZAFIR KHAN
MOHAMED MAKHBUL
Pusat Pengajian Siswazah Peniagaan (UKM-GSB) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN