Adilkah naik pangkat saat akhir?

Adilkah naik pangkat saat akhir?

LEBIH wajar kenaikan pangkat memangku dipertimbangkan dalam tempoh yang lebih awal, sekurang-kurangnya dua hingga tiga tahun sebelum persaraan wajib.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KENAIKAN pangkat dalam perkhidmatan awam dianggap sebagai kemuncak pengiktirafan terhadap pengorbanan dan khidmat seorang penjawat awam. Namun, apabila kenaikan tersebut diberikan secara memangku kurang setahun sebelum bersara, timbul persoalan yang lebih besar daripada sekadar ucapan tahniah.

Dari sudut kewangan, pegawai berkenaan tidak menikmati manfaat jangka panjang. Pencen penjawat awam dikira berdasarkan gaji hakiki terakhir sebelum bersara.

Oleh sebab jawatan memangku bukan jawatan hakiki, maka gaji pokok tidak berubah dan jumlah pencen bulanan kekal pada gred asal.

Pegawai hanya menerima elaun memangku untuk tempoh singkat, sedangkan tanggungjawab dipikul meningkat selaras dengan jawatan lebih tinggi.

Keadaan itu mewujudkan ketidakseimbangan apabila beban kerja bertambah tanpa ganjaran yang setimpal dalam jangka panjang. Ada yang menggelar situasi ini sebagai ‘pangkat strawberi’ kerana kelihatan manis di hujung perkhidmatan tetapi tidak memberi kesan bermakna selepas bersara.

Kenaikan pangkat pada saat akhir turut memberi kesan kepada keberkesanan jabatan. Pegawai yang memangku jawatan tertinggi dalam tempoh singkat tidak mempunyai masa mencukupi untuk merancang dasar, melaksanakan penambahbaikan atau memastikan kesinambungan kepimpinan secara tersusun.

Banyak perancangan tergendala, manakala pegawai bawahan pula berdepan ketidaktentuan arah pengurusan. Tidak lama selepas itu, jawatan tersebut kembali diisi pelantikan baharu.

Bahkan, keadaan ini meningkatkan kos elaun tanpa pulangan kerja yang optimum.

Amalan ini juga memberi kesan kepada motivasi penjawat awam lain. Apabila kenaikan pangkat dilihat sebagai ganjaran simbolik di hujung perkhidmatan, hanya menyebabkan golongan lebih muda mungkin merasakan usaha dan prestasi jangka panjang kurang dihargai.

Lama-kelamaan, budaya kerja cemerlang boleh terhakis dan digantikan dengan sikap bekerja sekadar memenuhi keperluan minimum. Ini akhirnya menjejaskan kualiti penyampaian perkhidmatan awam secara keseluruhan.

Sehubungan itu, lebih wajar kenaikan pangkat memangku dipertimbangkan dalam tempoh yang lebih awal, sekurang-kurangnya dua hingga tiga tahun sebelum persaraan wajib. Tempoh ini membolehkan pegawai memberi sumbangan yang lebih bermakna, manakala jabatan dapat memanfaatkan pengalaman dan kepimpinan mereka secara lebih efektif. –UTUSAN

SAKTI UNA
Bagan Datuk, Perak

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN