Waspada penipuan kod QR untuk wakaf

Waspada penipuan kod QR untuk wakaf

ORANG awam perlu sentiasa berwaspada serta tidak terburu-buru dalam membuat sebarang transaksi kewangan yang melibatkan pewakafan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YAYASAN Waqaf Malaysia (YWM)  menerima aduan berhubung penyalahgunaan kod QR DuitNow produk-produk wakaf YWM oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi tujuan penipuan dan memperdaya orang awam untuk membuat transaksi kewangan ke akaun yang bukan milik YWM. 

Sehubungan itu, YWM sedang mengambil tindakan sewajarnya bagi melindungi kepentingan pewakaf serta orang awam daripada menjadi mangsa penipuan. 

YWM menasihatkan orang awam supaya sentiasa berwaspada serta tidak terburu-buru dalam membuat sebarang transaksi kewangan yang melibatkan pewakafan. 

Setiap transaksi hendaklah disemak dan dipastikan terlebih dahulu nama penerima yang dipaparkan adalah Yayasan Waqaf Malaysia sebelum pembayaran disahkan. 

Antara langkah keselamatan yang perlu diberi perhatian: 

  • Pastikan nombor akaun dan nama penerima yang dipaparkan semasa transaksi adalah nama Yayasan Waqaf Malaysia atau nama produk wakaf Yayasan Waqaf Malaysia.
  • Jangan membuat sebarang pembayaran sekiranya nama penerima yang tertera tidak sepadan dengan nama rasmi atau mana-mana nama produk wakaf Yayasan Waqaf Malaysia. 
  • Elakkan mengimbas kod QR DuitNow yang diterima daripada sumber yang tidak sah atau meragukan.
  • Dapatkan pengesahan melalui saluran rasmi YWM sekiranya terdapat sebarang keraguan sebelum membuat transaksi. 

Semua transaksi pewakafan hendaklah dibuat melalui saluran rasmi yang disediakan YWM bagi memastikan sumbangan yang diberikan sampai kepada penerima sah dan digunakan untuk tujuan pewakafan yang ditetapkan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti tersebut diminta untuk segera membuat laporan kepada pihak berkuasa dan memaklumkan kepada YWM bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.

Orang ramai yang mengesyaki wujud unsur penipuan atau mempunyai maklumat berkaitan penyalahgunaan kod QR DuitNow yang menggunakan nama YWM diminta untuk segera melaporkannya kepada pihak berkuasa serta memaklumkan melalui saluran komunikasi rasmi kami.

YWM terus memperkukuh keselamatan saluran transaksi pewakafan serta memastikan setiap sumbangan wakaf yang diamanahkan oleh para pewakaf dilindungi dan disalurkan kepada tujuan yang sah serta memberi manfaat kepada ummah.

Kerjasama dan keprihatinan semua pihak amat dihargai dalam usaha memastikan integriti pengurusan wakaf negara terus terpelihara serta melindungi masyarakat daripada menjadi mangsa penipuan kewangan.  –UTUSAN

 

YAYASAN WAQAF MALAYSIA

Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN