TVET perlu penuhi keperluan industri, pasaran semasa

TVET perlu penuhi keperluan industri, pasaran semasa

PENDIDIKAN dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) melahirkan tenaga kerja mahir serta separa mahir yang menjadi tulang belakang pembangunan negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Malaysia yang sedang menuju status negara berpendapatan tinggi memerlukan tenaga kerja mahir dalam pelbagai sektor strategik seperti pembuatan, teknologi maklumat, automotif, pembinaan, tenaga boleh diperbaharui, pertanian moden dan industri kreatif.

Justeru, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) memainkan peranan penting dalam memastikan negara mempunyai tenaga kerja berkualiti yang mampu memenuhi keperluan industri semasa dan masa hadapan.

Antara kepentingan utama TVET ialah melahirkan tenaga kerja mahir dan separa mahir yang menjadi tulang belakang pembangunan negara.

Kemajuan negara tidak hanya bergantung kepada golongan profesional, malah memerlukan juruteknik, mekanik, operator teknologi, pakar automasi dan pelbagai tenaga mahir lain.

TVET menyediakan latihan praktikal dan kemahiran teknikal yang selari dengan keperluan industri, sekali gus membantu meningkatkan produktiviti dan kecekapan sektor ekonomi.

TVET memberi penekanan kepada pembelajaran berasaskan amali dan pengalaman industri. Pelajar bukan sahaja mempelajari konsep asas, malah didedahkan kepada penggunaan teknologi terkini serta latihan di tempat kerja.

Pendekatan ini menjadikan graduan TVET lebih bersedia untuk memasuki alam pekerjaan sebaik sahaja tamat pengajian.

TVET juga membantu mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan belia. Ketidaksepadanan antara kelayakan akademik dan keperluan pasaran kerja sering menyebabkan graduan sukar memperoleh pekerjaan.

Sebaliknya, graduan TVET mendapat permintaan yang tinggi kerana kemahiran mereka lebih relevan dengan kehendak industri.

Pelajar TVET akan menerima tawaran pekerjaan sebelum menamatkan pengajian kerana latihan yang mereka lalui memenuhi keperluan majikan.

TVET juga membuka peluang kepada graduan untuk menceburi bidang keusahawanan. Kemahiran dalam bidang seperti kulinari, automotif, pendawaian elektrik dan teknologi digital membolehkan mereka membina kerjaya serta menjana pendapatan secara berdikari.

Ini bukan sahaja meningkatkan taraf hidup individu, malah menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

TVET turut memainkan peranan penting dalam meningkatkan daya saing negara. Pelabur asing lazimnya memilih negara yang memiliki tenaga kerja mahir dan mampu mengendalikan teknologi moden.

Jika Malaysia gagal menyediakan tenaga kerja sedemikian, negara akan kehilangan peluang pelaburan dan pertumbuhan ekonomi.

Justeru, TVET membantu menyediakan tenaga kerja yang mampu menyesuaikan diri dengan perubahan melalui latihan yang lebih fleksibel dan responsif terhadap perkembangan teknologi.

TVET turut memberi peluang kepada pelajar yang mempunyai kecenderungan dan bakat dalam bidang teknikal untuk membina masa depan yang lebih baik. Pendidikan kemahiran membuktikan kejayaan tidak hanya bergantung kepada laluan akademik semata-mata.

TVET juga penting dalam menyokong agenda pembangunan mampan negara. Peralihan kepada teknologi hijau, tenaga boleh diperbaharui dan ekonomi rendah karbon memerlukan tenaga kerja yang memiliki kemahiran khusus.

Oleh itu, institusi TVET perlu terus menyediakan latihan yang selari dengan keperluan masa hadapan agar negara mampu mencapai matlamat pembangunan lestari.

TVET merupakan elemen penting dalam menjamin masa depan negara. Melalui TVET, Malaysia mampu melahirkan tenaga kerja mahir, mengurangkan pengangguran, meningkatkan daya saing ekonomi dan menghadapi cabaran teknologi masa hadapan.

Dengan sokongan semua pihak, TVET akan terus menjadi pemacu utama pembangunan modal insan dan kemajuan negara. – UTUSAN

MOHD KHAIRULAZMAN ABU BAKAR
Ketua Unit Komunikasi Korporat,
Politeknik Hulu Terengganu

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN