DALAM masyarakat majmuk seperti Malaysia, rumah ibadat memainkan peranan yang jauh lebih besar daripada fungsi spiritual semata-mata. Ia menjadi simbol identiti, ruang komuniti serta medium interaksi sosial antara pelbagai kaum dan agama.
Justeru, pembinaan rumah ibadat perlu dirancang dengan teliti agar tidak menimbulkan sensitiviti, sebaliknya menyumbang kepada perpaduan nasional.
Kerajaan melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa serta pihak berkuasa tempatan (PBT) menyediakan garis panduan bagi memastikan pembangunan rumah ibadat dilaksanakan secara tersusun dan inklusif.
Namun, dalam konteks semasa, pendekatan ini perlu diperkasakan dengan cadangan yang lebih praktikal dan menyentuh realiti masyarakat setempat.
Antara cadangan utama ialah memperkenalkan model perancangan inklusif berasaskan zon komuniti. Dalam kawasan pembangunan baharu, penyediaan tapak rumah ibadat boleh dirancang secara bersepadu mengikut keperluan pelbagai agama. Pendekatan ini bukan sahaja mengelakkan konflik lokasi, malah membuka ruang interaksi sosial yang lebih sihat antara komuniti.
Selain itu, mekanisme libat urus awal perlu dijadikan amalan wajib sebelum sesuatu projek diluluskan. Dialog terbuka antara pemaju, komuniti setempat dan pihak berkuasa mampu meredakan kebimbangan serta membina persefahaman sejak awal. Pendekatan ini jauh lebih berkesan berbanding menyelesaikan konflik selepas pembinaan bermula.
Dari sudut reka bentuk, pendekatan seni bina kontekstual dan sederhana wajar diberi penekanan. Reka bentuk yang harmoni dengan persekitaran bukansahaja meningkatkan penerimaan masyarakat, malah mencerminkan sensitiviti sosial yang tinggi dalam pembangunan.
Cadangan lain yang praktikal ialah pelaksanaan pelan pengurusan operasi rumah ibadat, termasuk kawalan bunyi, pengurusan trafik dan penyediaan tempat letak kenderaan mencukupi. Dengan pengurusan yang baik, pastinya potensi gangguan kepada komuniti dapat diminimumkan.
Yang lebih penting, terdapat beberapa contoh kejayaan yang boleh dijadikan rujukan. Di George Town dan Melaka, kewujudan pelbagai rumah ibadat dalam jarak yang berdekatan seperti masjid, tokong dan gereja telah lama menjadi simbol keharmonian. Walaupun berlatarbelakangkan agama dan budaya yang berbeza, masyarakat setempat berjaya hidup dalam suasana saling menghormati.
Malah, konsep seperti Masjid Kampung Kling yang menggabungkan elemen seni bina tempatan dan pengaruh luar menunjukkan bagaimana identiti boleh disatukan tanpa menimbulkan konflik.
Di Pulau Pinang pula, keharmonian di sekitar Jalan Harmoni yang menempatkan masjid, kuil Hindu, tokong Cina dan gereja dalam satu kawasan sering dijadikan contoh toleransi yang berjaya.
Contoh-contoh ini membuktikan dengan perancangan yang baik dan sikap saling memahami, rumah ibadat bukan sahaja tidak menimbulkan konflik, malah menjadi simbol perpaduan yang kukuh.
Dalam era digital, penggunaan teknologi juga boleh dimanfaatkan melalui platform komunikasi komuniti bagi meningkatkan ketelusan dan mengurangkan salah faham. Pada masa sama, rumah ibadat boleh berperanan sebagai pusat komuniti dengan menganjurkan program kebajikan dan dialog antara agama.
Akhirnya, pembinaan rumah ibadat bukan sekadar soal fizikal tetapi mencerminkan tahap kematangan masyarakat dalam mengurus kepelbagaian.
Dengan pendekatan yang lebih praktikal, inklusif dan berpandangan jauh, rumah ibadat mampu menjadi pemangkin kepada keharmonian yang berpanjangan dalam kerangka Malaysia Madani. –UTUSAN
DR. MUHAMMAD AZIZI AZIZAN & DR. NURFADZILLAH ISHAK
Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Awam,
Universiti Malaysia Perlis










