Rapatkan jurang komuniti Orang Asli

Rapatkan jurang komuniti Orang Asli

ORANG Asli boleh diposisikan sebagai rakan strategik dalam rantaian bekalan negara melalui kerjasama erat kerajaan, sektor swasta, universiti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOMUNITI Orang Asli sebahagian besarnya mendiami kawasan pedalaman dan separa pedalaman masih berdepan cabaran ketara dari sudut akses ekonomi, pendidikan, kesihatan serta peluang pasaran. 

Dari sudut sosioekonomi, ramai Orang Asli terlibat dalam aktiviti ekonomi tradisional seperti pertanian kecil-kecilan, pengumpulan hasil hutan, perikanan sungai dan penghasilan kraftangan. 

Namun, ketiadaan sistem logistik baik dan sistematik menyebabkan hasil ini sukar menembusi pasaran, mudah rosak dan sering dijual pada harga rendah. 

Dengan mewujudkan pengurusan logistik terancang, membolehkan nilai tambah produk dapat dipertingkatkan. Inisiatif bersepadu termasuk pusat pengumpulan setempat, penyelarasan jadual pengangkutan berkala, penggunaan pembungkusan bersesuaian serta penjenamaan asas. Ia membina keyakinan komuniti untuk mengembangkan aktiviti keusahawanan secara lestari.

Akses kepada pendidikan berkualiti bukan hanya bergantung kepada sekolah dan tenaga pengajar. Ia juga didukung kecekapan menghantar buku teks, peralatan pembelajaran, kemudahan digital dan sokongan pemakanan sekolah ke kawasan pedalaman. 

Sistem logistik tersusun membantu memastikan bekalan ini sampai tepat pada masanya, sekali gus mengurangkan kadar keciciran dan meningkatkan kehadiran pelajar. 

Dalam jangka panjang, pendedahan kepada kemahiran asas seperti pengurusan stok, literasi kewangan dan pemasaran digital boleh membuka laluan kerjaya baharu kepada belia Orang Asli.

Banyak penempatan masih berdepan kesukaran mendapatkan rawatan asas, pemeriksaan berkala dan bekalan ubat akibat faktor jarak serta kos perjalanan. Di sinilah peranan Kementerian Kesihatan (KKM) menjadi amat signifikan. 

Perkhidmatan kesihatan dapat disampaikan secara lebih konsisten dan berkesan melalui penyelarasan logistik kesihatan efisien dan terancang, termasuk klinik bergerak, pasukan perubatan outreach, pengurusan inventori ubat sistematik serta penggunaan telekesihatan.

Keterjaminan dan kesejahteraan kesihatan menjadi prasyarat penting kepada produktiviti ekonomi, pembelajaran serta kesejahteraan sosial komuniti.

Namun begitu, kekangan infrastruktur fizikal seperti jalan tidak berturap, laluan sungai bergantung kepada musim serta keterbatasan kenderaan sesuai meningkatkan kos dan risiko gangguan bekalan. 

Isu penyelarasan antara agensi juga sering timbul apabila program pembangunan dilaksanakan secara berasingan dan tidak bersepadu. Kekurangan data logistik menyeluruh menyukarkan perancangan rantaian bekalan yang tepat dan berkesan.

Di peringkat komuniti pula, kekangan literasi kewangan, kemahiran pengurusan dan pendedahan pasaran menyebabkan sebahagian Orang Asli masih bergantung kepada orang tengah. 

Pendekatan pembangunan tidak sensitif kepada budaya dan struktur sosial tempatan turut berisiko menjejaskan kepercayaan komuniti. Oleh itu, model logistik bersifat satu saiz untuk semua perlu dielakkan, digantikan dengan pendekatan berasaskan komuniti dan rundingan bersama.

Kerajaan perlu menyediakan dasar sokongan, peruntukan kewangan dan infrastruktur asas seperti jalan perhubungan serta hab logistik mikro. 

Sektor swasta pula boleh memindahkan teknologi, kepakaran rantaian bekalan dan akses pasaran melalui kerjasama awam-swasta. Institusi pengajian tinggi (IPT) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berperanan sebagai penghubung ilmu, latihan serta pemerkasaan sosial bagi memastikan pembangunan dilaksanakan secara inklusif lagi mampan.

Dengan kerjasama erat kerajaan serta agensinya, sektor swasta, universiti dan NGO, komuniti Orang Asli boleh diposisikan sebagai rakan strategik dalam rantaian bekalan negara. Inilah asas sebenar pembangunan inklusif, jaminan ekonomi adil, pendidikan saksama, kesihatan terjamin dan masa hadapan lebih sejahtera untuk semua. –UTUSAN

 

PROFESOR MADYA DR. MOHD. HAFIZ ZULFAKAR 

 

Jabatan Teknologi dan Pengajian Rantaian Bekalan,

Fakulti Pengurusan dan Perniagaan,

Universiti Teknologi Mara, Puncak Alam

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN